BH Online
Ringkasan Berita

Cerpen BH Ahad: Pada suatu cinta kala langit menyala

LAMPU pasangkan tali pinggang keledar dalam pesawat dipadamkan ketika Mirzan membaca kembali mesej editornya: ‘Revisit darurat Kelantan 1977, isu tanah dan balak, Datuk Mat Nasir anggap dia MB BN bukan MB PAS, percaturan Datuk Asri dan krisis parti, curiga pada UMNO, usul undi tak percaya pada MB, PAS ditendang keluar dari BN, tunjuk perasaan, MAGERAN, BERJASA dan pilihan raya 1978, PAS tumbang.’
Cerpen BH Ahad: Pada suatu cinta kala langit menyala

LAMPU pasangkan tali pinggang keledar dalam pesawat dipadamkan ketika Mirzan membaca kembali mesej editornya: 'Revisit darurat Kelantan 1977, isu tanah dan balak, Datuk Mat Nasir anggap dia MB BN bukan MB PAS, percaturan Datuk Asri dan krisis parti, curiga pada UMNO, usul undi tak percaya pada MB, PAS ditendang keluar dari BN, tunjuk perasaan, MAGERAN, BERJASA dan pilihan raya 1978, PAS tumbang.'

Selesai membaca mesej itu, berita ringkas seorang penulis wanita di Kelantan bakal melepasi usia satu abad. Dia menguis notifikasi itu ke atas skrin kerana mengerti stringer Kelantan akan melaporkan berita kecil itu.

Mirzan mengitari ruang kabin, pramugari masih di tempat duduk. Biasanya sudah menolak troli sambil mengedar minuman dan kacang, namun entah mengapa mereka semacam enggan bergerak.

Penumpang di sebelah, berserban dan berbaju Melayu dengan sampin melebihi paras lutut, mengambil akhbar terlipat di poket kerusi.

Tajuk utama akhbar terpampang: 'Saya MB BN, bukan MB PAS – Mohd Nasir'. Mirzan pasti akhbar itu cetakan 1977 tetapi masih baharu.

"Maafkan saya…."

Pesawat merudum, ditarik gelora udara, membuatkan perut Mirzan terasa terangkat sedangkan kerusi seperti terhenyak.

Lampu kabin padam. Di luar tingkap, jalur cahaya putih, biru dan merah berpintal-pintal.

Dalam fikirnya, hanya ada syahadah. Sebelum sempat Mirzan mengucap, pandangannya gelap.

Mirzan merasakan pesawat itu terhentak di tanah tetapi tidak terhempas. Ia bergerak hingga akhirnya berhenti.

Mirzan membuka mata, lelaki di sebelahnya melipat akhbar dan berkata: "Alhamdulillah, kita sampai!"

Lelaki itu bangkit, mengambil beg dari atas, tetapi seorang penumpang berbaju kot dan bertali leher terlanggar bahunya.

"Eh, you pun balik hari ini?"

Lelaki itu menoleh, separuh menjerit, "Allahu akbar! Anta ada."

Menepuk bahu, dia berbisik, "Kita pulang perangat semula semangat. Baru sedap nak masuk gelanggang pilihan raya."

"Ya, ya. Baru dapat sebut dengan yakin tidak akan dipatuk ular dua kali dari lubang sama," balas lelaki berserban.

Sebelum sempat Mirzan mencelah, pintu pesawat dibuka. Bayu panas menyerbu. Mirzan cuba mengejar kedua-dua lelaki itu.

Mirzan terpana melihat tangga pesawat bergerak menanti, bukannya garbarata menghubungkan pesawat terus ke balai ketibaan.

Mirzan menyedari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di hadapannya sederhana. Kedua-dua lelaki itu sudah masuk ke perut terminal lewat daun pintu dibuka manual. Lapangan terbang itu persis seperti ingatannya ketika pertama kali menaiki pesawat ketika kanak-kanak pada pertengahan 1980-an!

Sebaik sahaja masuk ke dalam terminal, dia melihat karusel beg, sama seperti ingatannya dahulu. Poster besar dengan sosok pramugari berkebaya di sisi pesawat Fokker F27 Friendship digunakan syarikat penerbangan dekad 1970-an terpapar di dinding.

Mirzan keluar dengan ragu-ragu. Pandangannya jatuh kepada seorang wanita memegang plakad tertera namanya. Tidak pernah sepanjang kerjaya sebagai wartawan, kepulangannya di Kelantan ditunggu. Biasanya dia sendiri menyewa kereta untuk kegunaan sepanjang bertugas di negeri kelahirannya.

Usia wanita itu sekitar 50, ketika kecantikan dan kematangan bergabung pada diri seorang perempuan yang setiap unsur tidak saling bertingkah, bahkan melengkapi.

Wanita itu mengenakan kebaya merah potongan Kota Bharu lama, lidah baju menutup dada, kemas berkancing seperti busana menyimpan mekar perempuan Kelantan. Rambutnya jatuh ke bahu, sedikit mengembang di tepi dengan belahan tengah mengingatkannya kepada potret hitam putih almarhum ibu bersama rakan sekerjanya pada 1970-an.

Mirzan menyedari penumpang, kakitangan lapangan terbang mahupun wanita lain ramai tidak bertudung, kecuali selendang di atas rambut atau bahu.

Ketakjuban kepada kejelitaan itu dan kehairanan dengan suasana saling bertingkah hingga dia terlupa menyapa perempuan masih setia memegang plakad.

"Enche Mirzan?!" Suara lembut menjadikannya tergegau. Wanita itu sempurna pada wajah dan suara – segala keindahan perempuan Kelantan terpadu.

"Ya, ya saya," ujar Mirzan cuba memegang kewarasannya.

"Saya tahu terlalu banyak tanda tanya dalam fikiran Enche. Saya dikirimkan Tuan Sejarah untuk menemani Enche sepanjang di sini," balas wanita itu.

Bagai disihir, Mirzan mengekorinya menuju ke kereta Datsun 120Y diparkir tidak jauh.

Wanita itu menghidupkan enjin kereta, cekatan memandunya, melalui jalan sederhana lebar.

"Siapa nama awak?" Mirzan baru menemukan suaranya.

Wanita itu ketawa. "Maafkan saya. Saya bertaruh dengan Tuan Sejarah berapa lama Enche dapat bercakap. Nama saya Mariam, Enche boleh panggil saja Che Yam."

Kenderaan mereka masuk ke pusat bandar.

"Kota Bharu terlalu sederhana. Jauh berbeza…." kata Mirzan terlopong, seperti rusa masuk kampung.

"Ya, itulah tanggapan awal sesiapa yang kali pertama merentas masa, pulang ke tahun ini. Kita sampai tepat pada masanya." Mariam menghentikan kereta di tepi bangunan lekas dicam sebagai Ibu Pejabat PAS Kelantan di Jalan Dato' Pati.

Mirzan teragak-agak keluar. Apakah perlu dilakukannya?

"Enche ada janji temu dengan Dato' Asri. Beliau baru ada di KB sejak krisis tercetus tengah bulan lepas…." Sebelum sempat wanita itu menghabiskan kata-kata, Mirzan memintas, "Dan hari ini berapa hari bulan?"

"9 Oktober. Cepatlah, Dato' Asri akan pulang ke KL, esok ada mesyuarat Jawatankuasa Agung PAS Pusat," balas Mariam.

Mirzan keluar dengan pengertian dia berada pada kemuncak sejarah. PAS akan memecat Dato' Mat Nasir selepas mesyuarat sebelum ini tersilap teknikal dalam pengiraan undi. Esok, 13 pemimpinnya akan menyokong usul pemecatan, manakala tujuh menentang dan dua berkecuali. Lima hari kemudian krisis itu akan memercikkan api terbesar dalam sejarah politik moden bermula usul undi tidak percaya diluluskan semua ADUN PAS Kelantan, sedangkan ADUN UMNO dan MCA keluar dewan.

Sosok Dato' Asri menyambut salamnya tidak dapat digambarkan kata-kata. Yang Dipertua PAS itu meninggal dunia ketika Mirzan masih remaja dan sejarah kegemilangannya sudah lama berlalu, termasuk parti diasasnya, Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM).

Setiap soalan diutarakannya, dijawab lancar tokoh yang kelak akan dicemuh pemimpin partinya sendiri hingga menggelar 'Parti Asri Sekeluarga'. Setiap tutur kata dan gerak-geri Dato' Asri itu seperti apa disampaikan sesiapa pernah mengenalinya.

Mirzan keluar dari Bangunan PAS, berselisih dengan seorang lelaki yang lebih sedekad kemudian bakal menjawat Menteri Besar, tetapi kini masih Ketua Dewan Ulama PAS.

Mariam menyambut dengan senyuman manis, lalu berkata: "Kita ke SUK pula," kata Mariam tetapi kenderaan berhenti tidak jauh di persimpangan Jalan Hospital dengan Jalan Doktor.

Sebelum sempat Mirzan bertanya, dia teringat Kota Darul Naim hanya dibuka pada 1987.

Mariam turut mengiringi Mirzan, masuk tanpa banyak soal jawab polis di pos pengawal. Mirzan tidak tahu apakah kawalan keselamatan zaman itu longgar atau wanita tersebut memiliki kuasa besar terlindung di balik kebayanya.

Kedatangan mereka disambut Dato' Mat Nasir. Pertemuan itu berlangsung sekejap tetapi Mirzan mengesani ketegasan dan ketekalan pemimpin yang kemudiannya menubuhkan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA).

Ketika keluar dari SUK dan berselisih dengan seorang pemimpin kem Menteri Besar dan menghulurkan beberapa pamplet perhimpunan raksasa menyokong Dato' Mat Nasir, Mirzan menyedari pertentangan antara kedua-dua tokoh berkenaan sudah berkerat rotan, berpatah arang.

Mirzan menyimpan pamplet itu, bersama perca kertas dihulur Mariam ke dalam poket beg sandang yang sudah rosak zipnya.

Hari-hari seterusnya ketika Mariam membawanya bertemu dengan pemimpin lain termasuk Pesuruhjaya PAS Kelantan, Datuk Ishak Lotfi Omar mahupun Timbalan Yang Dipertua PAS, Hassan Adl, Mirzan tahu api tidak mungkin terpadam.

Mirzan dibawa bertemu Ku Li, Menteri Kewangan yang juga Ketua Badan Perhubungan UMNO Kelantan dan Hussein Ahmad, ketua ADUN UMNO.

Hati Mirzan gulana – dia menyaksikan peristiwa sejarah selama ini hanya dibaca dalam riwayat sejarah.

"Enche nampak berduka lara," tegur Mariam ketika minum petang, sehari sebelum sidang dewan 15 Oktober.

"Saya belum menemukan jawapan mengapa carik-cari bulu ayam antara Dato' Asri dengan Dato' Mat Nasir tidak bercantum dan mengapa PAS dengan UMNO sukar bermuafakat," balas Mirzan, mengacau teh wanginya.

Mariam tersenyum – satu-satunya kemanisan memberikan sedikit sinar di bawah langit guram Kota Bharu.

"Kalau begitu, kita ke rumah saya!" Tingkah Mariam, menarik tangan Mirzan dan masuk ke dalam kereta.

Mirzan bagaikan tersihir, tidak menemukan perkataan 'tidak'.

Azan Maghrib berkumandang ketika sampai di rumah Mariam, tidak jauh dari Masjid Muhammadi.

"Mari…." pelawa Mariam. Mirzan meningkah, "Tidak manis kita berdua-duaan."

Mariam ketawa, sebelum menyambung: "Enche fikir saya ini wanita apa, berani-berani mengundang lelaki ke rumah remang-remang senja begini? Ibu bapa saya ada!"

Mirzan berkenalan dengan ibu bapa Mariam, solat berjemaah diimami lelaki lebih tua daripada Perjanjian Inggeris-Siam dan makan malam dengan juadah enak dimasak wanita pernah menyertai demonstrasi membantah Malayan Union ketika Harold MacMichael sampai di Kota Bharu.

"Ayah, ibu, Enche ini berduka lara dengan apa disaksikan di sini," luah Mariam di tengah-tengah perbualan mereka di ruang tamu diisi kerusi rotan dan sebuah televisyen hitam putih.

Lelaki memperkenalkan diri sebagai Pok Loh ketawa, lalu berkata: "Kedua-dua parti sebenarnya tidak pernah menjauh, hanya sahaja pemimpinnya memilih jalan berbeza. Sama juga dengan manusia di dalamnya walaupun dalam satu jemaah."

"Maafkan saya Pok Loh. Sejak lahirnya PAS dari rahim UMNO, terlalu banyak pertembungan. Begitu juga antara Dato' Asri dengan Dato' Mat Nasir," balas Mirzan.

"Kalau begitu, beritahu saya jika PAS dan UMNO terlalu berbeza, mengapa ia boleh bersama selepas PRU 1969?" tingkah lelaki itu.

Mirzan terpana.

"Kita berada dalam rumah yang sama," sampuk ibu Mariam, "seperti pak cik dan mak cik."

Mirzan tidak mengerti.

"Ayah sebenarnya ahli UMNO tegar, ibu pula Muslimat PAS." Mariam memintas dengan mata bulat bercahaya.

"Bagaimana mungkin pak cik dan mak cik boleh menguruskan perbezaan tajam separuh abad?" Tanya Mirzan.

Dia ketawa, sebelum menjawab: "Ah, kami sudah berkahwin sebelum UMNO dan PAS lahir lagi. Mengapa mahu berantakan hanya kerana sesuatu muncul selepas kami?"

"Ada juga berselisih pandangan. Sedangkan lidah lagi tergigit," sampuk wanita mengenakan selendang.

Mirzan tersandar, kemudian bertanya, "Lalu bagaimana sekarang? PAS terbelah dua, retak itu pasti sampai kepada BN, terutama UMNO?"

Pasangan suami isteri, saling memandang, lelaki itu mengambil tangan surinya, tersenyum dan berkata: "Rumah ini terlalu besar untuk kita sempitkan dengan pertelingkahan. Kisah hidup kami terlalu mahal untuk dimurahkan dengan pertikaian berpanjangan. Dan jika kami terus berebutan, apakah nasib rumah ini, Mariam dan anak cucu kami."

"Ayuh ikut saya masuk ke bilik," pelawa Mariam, menuntun tangan Mirzan bagaikan tersihir.

Kamar itu gelap. Mirzan meraba-raba kata-katanya.

"Enche bersedia?" Tanya Mariam ketika tangan Mirzan tersentuh bahu wanita itu.

Ketika jari-jemari mulus Mariam menyentuh dada Mirzan, dia tersentak. Naluri lelakinya mendebarkan rasa.

"Selamat pulang. Moga Enche sempat menemukan…." Bisik Mariam, sambil menolak dada Mirzan.

Tubuh Mirzan tersorong ke belakang. Lantai terbuka, berubah menjadi lohong hitam menariknya jatuh. Lututnya hilang kekuatan, tangan terkapai mencari tempat berpaut, sebelum dia terduduk keras di atas kerusi.

Kerusinya bergegar dan tubuhnya terdorong sedikit ke hadapan.

Mirzan membuka mata. Pesawat berhenti di pintu jambatan udara. Penumpang berserban dan berbaju Melayu melipat akhbar dan menaruhnya di poket kerusi.

Lelaki itu bangkit, menjingkit dan mengambil beg. Seorang penumpang berbaju kot dan bertali leher sedikit tergesa-gesa, terlanggar bahunya.

Mereka saling membalas pandangan dan berdengus. Ada pancaran kemarahan di antara mata mereka, sebelum keluar dari perut kapal terbang.

Mirzan masih kebingungan, menghidupkan telefon pintarnya. Notifikasi berturut-turut masuk. Dia membacanya sambil tangan meraba-raba bagasi di tempat penyimpanan bagasi.

'Sudah mendarat di KB?' Pertama yang masuk adalah dari isterinya. Mesej berikutnya daripada editornya menambah tugasan biasa beranak-pinak selepas mesyuarat editorial.

Satu mesej berita masuk: 'KOTA BHARU: Penulis wanita tertua Kelantan, Tuan Mariam Tuan Sejarah, 100, meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Jalan Merbau di sini, sebentar tadi.'

Mirzan terhenyak di kerusinya.

"Encik tidak apa-apa?" Seorang pramugari menyerbunya. Mirzan geleng dan mengucapkan terima kasih, perlahan-lahan bangkit kembali, sambil menjinjit begnya.

Kepalanya terawang-awang.

"Encik, encik… encik tercicir ini." Pramugari tadi mengejarnya ketika Mirzan berada di pintu pesawat.

Mirzan berpaling. Di tangan pramugari itu, beberapa pamplet perhimpunan besar-besaran di depan DUN Kelantan pada 15 Oktober 1977 dan sehelai kertas kosong bertulis tangan yang cantik: 'Mariam' diikuti nombor telefon lima angka.

@ pengarang asal Kelantan ini sudah menghasilkan novel Lambaian Huda dan Merentas Sungai Sejarah serta kumpulan cerpen Suria Baghdad Berwarna Biru dan terkini, Seberat Tangan Tuan Pengarang.

Video Terkini

Berita Berkaitan