BH Online
Ringkasan Berita

Menelusuri warisan nobat Diraja Perak

KOTA BHARU: Nobat Melayu bukan sekadar alunan muzik istana, sebaliknya menjadi satu-satunya kumpulan muzik diraja dalam dunia Islam yang masih dipersembahkan secara berterusan dalam konteks asalnya sebagai lambang kuasa, kedaulatan dan kesinambungan institusi raja.
Menelusuri warisan nobat Diraja Perak

Keunikan Nobat Melayu mendorong Raja Iskandar menjalankan penyelidikan mendalam mengenai sejarah, muzik, fungsi serta pantang larang Nobat Diraja Perak yang diterbitkan dalam buku Nobat Diraja Perak: Muzik, Fungsi dan Simbolisme.

KOTA BHARU: Nobat Melayu bukan sekadar alunan muzik istana, sebaliknya menjadi satu-satunya kumpulan muzik diraja dalam dunia Islam yang masih dipersembahkan secara berterusan dalam konteks asalnya sebagai lambang kuasa, kedaulatan dan kesinambungan institusi raja.

Malah, sesuatu istiadat pertabalan dianggap tidak sempurna tanpa iringan irama nobat yang penuh adat dan simbolisme.

Tradisi ini dipercayai berasal dari dunia Islam di Timur Tengah sebelum diperkenalkan ke Alam Melayu seawal abad ke-13 dengan tertubuhnya Kesultanan Samudera Pasai. Ia kemudiannya berkembang ke Kesultanan Melayu Melaka, Patani, Aceh dan Johor di abad ke-15 dan 16. Sehingga kini, warisan itu masih dipelihara di Kedah, Perak, Selangor dan Terengganu, menjadikannya antara khazanah budaya Melayu yang terus hidup dalam institusi kesultanan.

Keunikan inilah yang mendorong Dekan Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan (FTKW), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Madya Dr Raja Iskandar Raja Halid, menjalankan penyelidikan mendalam mengenai sejarah, muzik, fungsi serta pantang larang Nobat Diraja Perak. Hasil kajian itu diterbitkan dalam buku Nobat Diraja Perak: Muzik, Fungsi dan Simbolisme.

Sebagai anak kelahiran Perak, beliau mengakui sentiasa berasa terpanggil untuk mengenali warisan budaya negeri asalnya walaupun tidak menetap di sana.

"Semasa di bangku sekolah rendah, saya dan keluarga sering pulang ke rumah datuk dan nenek di Kota Lama Kanan serta Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Di situlah saya mula didedahkan kepada pelbagai kisah tradisi yang akhirnya menimbulkan minat mendalam terhadap warisan budaya Melayu.

"Dalam persekitaran itu juga saya pertama kali mendengar istilah 'orang kalur' yang dikaitkan dengan keluarga yang digelar 'orang muntah lembu'. Selepas diselidiki, saya mendapati kisah itu berasal daripada Sejarah Melayu dan gelaran 'orang kalur' merujuk kepada keluarga istimewa yang memainkan alat muzik diraja, iaitu nobat," katanya.

buku_nobat_1785198193.jpg
Naskhah tulisan Raja Iskandar, Nobat Diraja Perak: Muzik, Fungsi dan Simbolisme.

Sejak itu, persoalan mengenai identiti orang kalur, asal-usul mereka serta bunyi sebenar nobat terus bermain di fikirannya. Walaupun sering mendengar cerita daripada saudara-mara di Perak, beliau merasakan masih banyak persoalan yang belum terjawab.

Peluang melanjutkan pengajian Sarjana di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) membuka ruang untuk beliau menyelami bidang muzik tradisional Melayu dengan lebih mendalam. Hampir dua tahun penyelidikan dimanfaatkan bagi merungkai pelbagai misteri berkaitan nobat, termasuk memperoleh akses istimewa melalui kerjasama pihak Istana Iskandariah di Kuala Kangsar.

"Saya memohon kebenaran daripada pihak istana untuk menjalankan penyelidikan, menemubual orang kalur, ketua pemuzik nobat serta beberapa individu penting dalam institusi istana. Peluang seperti ini bukan mudah diperoleh.

"Keistimewaan Nobat Diraja Perak terserlah melalui adat istiadat dan pantang larangnya. Nobat hanya boleh dimainkan dalam istiadat yang diperkenankan oleh Sultan Perak dan tidak boleh dipersembahkan sesuka hati," katanya.

Buku setebal 260 halaman yang diterbitkan hasil kerjasama UMK dan People of Remarkable Talents (PORT) itu menghimpunkan sejarah, fungsi, alat muzik, repertoir lagu serta simbolisme Nobat Diraja Perak secara menyeluruh.

Raja Iskandar berkata, nobat memainkan peranan penting dalam pelbagai istiadat diraja termasuk keputeraan, perkahwinan, menjunjung duli, pertabalan, kemangkatan, pemakaman, tempoh berkabung serta ziarah ke makam diraja.

Malah, fungsi nobat turut melangkaui istiadat kesultanan apabila dimainkan bagi menandakan acara keagamaan penting seperti permulaan Ramadan, Aidilfitri dan Aidiladha.

"Nobat juga mengiringi acara keraian diraja seperti majlis persandingan Raja Muda Perak ketika itu, Raja Nazrin Shah, yang dipersembahkan sewaktu upacara menepung tawar di hadapan sultan-sultan negeri dan tetamu kenamaan.

"Pada suatu ketika dahulu, nobat turut digunakan dalam ritual penyembuhan sama ada untuk raja mahupun rakyat jelata, yang lazimnya dikendalikan oleh Raja Cik Muda Pawang Diraja atau Toh Setia Guna.

"Semua alat muzik nobat disimpan di tempat khas kerana ia adalah sebahagian daripada alat kebesaran diraja dan tertakluk kepada pantang larang yang ketat," katanya.

Memperluas pemahaman

Menghasilkan kajian ini bukan tanpa cabaran, justeru kata Raja Iskandar dari sudut etnomuzikologi, beliau tidak dapat mempelajari muzik nobat secara langsung melalui penyertaan aktif kerana hanya orang kalur dan kerabat diraja dibenarkan menyentuh serta memainkan alat muzik berkenaan.

Sebaliknya, dokumentasi dilakukan menerusi rakaman audio dan video sebelum transkripsi muzik disemak dan disahkan sendiri oleh pemuzik nobat di Kampung Tanjung Bidara, Perak Tengah.

"Saya turut berpeluang mengikuti sesi latihan mereka bagi memastikan setiap dokumentasi dan analisis muzik yang dilakukan benar-benar tepat," katanya.

Justeru itu beliau berharap naskhah itu dapat menjadi rujukan penting dalam usaha mendokumentasikan warisan budaya bangsa, selain memperluaskan pemahaman masyarakat terhadap Nobat Diraja Perak.

"Sebagai kajian etnomuzikologi, buku ini meneliti peranan nobat dalam adat istiadat Kesultanan Perak melalui analisis repertoir lagu yang dimainkan dalam pelbagai upacara diraja. Kesemua 16 buah lagu nobat turut ditranskripsi dan dianalisis mengikut fungsinya.

"Nobat bukan sekadar muzik istana. Ia ialah simbol kebesaran, kedaulatan raja, selain menjadi lambang identiti dan kebanggaan masyarakat Melayu yang wajar terus dipelihara untuk generasi akan datang," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan