BH Online
Ringkasan Berita

Jangan biarkan bahasa Melayu hilang wibawa

KOTA BHARU: Mutakhir ini, penggunaan bahasa selain bahasa Melayu dalam urusan rasmi, majlis, penerbitan dan komunikasi oleh sesetengah jabatan kerajaan, agensi juga universiti awam semakin ketara.
Jangan biarkan bahasa Melayu hilang wibawa

KOTA BHARU: Mutakhir ini, penggunaan bahasa selain bahasa Melayu dalam urusan rasmi, majlis, penerbitan dan komunikasi oleh sesetengah jabatan kerajaan, agensi juga universiti awam semakin ketara.

Keadaan ini dilihat berupaya menghakis kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, wahana ilmu dan pentadbiran, serta simbol jati diri negara, malah tanpa kawalan usaha memartabatkan bahasa Melayu akan semakin mencabar.

Malah hal itu turut ditegaskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui kenyataan medianya baru-baru ini yang menyebut, perkhidmatan awam perlu menjadi suri teladan dalam memelihara dan memartabatkan bahasa kebangsaan demi menjamin kedudukan bahasa Melayu dalam pentadbiran negara terus utuh serta diperkasakan.

Pensyarah Fakulti Undang-undang, Multimedia University (MMU), Prof Dr Ramalinggam Rajamanickam, menegaskan bahawa penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan bukan sekadar suatu amalan pentadbiran, tetapi adalah tanggungjawab yang lahir daripada Perlembagaan, undang-undang dan dasar kerajaan sendiri.

Bagaimanapun katanya, senario kebelakangan ini menyaksikan penggunaan bahasa Inggeris dan Indonesia juga bahasa rojak mendapat tempat dalam menamakan program, seminar, persidangan, slogan, poster, laman web dan pelbagai bentuk komunikasi rasmi.

Hal ini katanya, menimbulkan persoalan sama ada bahasa Melayu masih benar-benar dianggap sebagai bahasa rasmi pentadbiran negara atau sekadar menjadi pelengkap kepada bahasa asing.

"Ada pihak berhujah bahawa penggunaan bahasa Inggeris tidak mendatangkan masalah kerana dunia hari ini bersifat global dan memerlukan komunikasi antarabangsa.

"Hujah ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan malah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sendiri tidak melarang penggunaan bahasa lain, tetapi membezakan dengan jelas antara penggunaan bahasa lain dengan kewajipan menggunakan bahasa Melayu bagi maksud rasmi.

"Lebih penting lagi, kerajaan sendiri sudah menetapkan bahawa semua urusan rasmi seperti persidangan, konvensyen, seminar, bengkel, kursus, mesyuarat, lawatan, sidang media dan majlis rasmi hendaklah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penyampaian utama, termasuk apabila membabitkan peserta antarabangsa, manakala terjemahan dalam bahasa lain boleh disediakan apabila diperlukan," katanya.

Implikasi besar

Jelasnya, dasar itu membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah mengarahkan bahasa Inggeris menggantikan bahasa Melayu, sebaliknya mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa utama dengan sokongan terjemahan bagi tujuan komunikasi antarabangsa.

Katanya, lebih membimbangkan apabila universiti awam, yang sepatutnya menjadi institusi ilmu dan benteng pemartabatan bahasa kebangsaan, semakin cenderung menjenamakan program, persidangan, seminar dan pelbagai aktiviti rasmi menggunakan bahasa asing.

"Fenomena ini mungkin kelihatan kecil, tetapi implikasinya amat besar kerana bahasa Melayu akan kehilangan fungsi dan kewibawaannya sedikit demi sedikit apabila institusi negara sendiri tidak lagi menjadikannya bahasa utama dalam pentadbiran.

"Lama-kelamaan, masyarakat akan menganggap bahawa bahasa Melayu hanya sesuai digunakan dalam urusan harian, manakala bahasa Inggeris ialah bahasa sebenar pentadbiran, penyelidikan, teknologi dan pembangunan negara.

"Ia sekali gus menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap bahasa kebangsaan, malah boleh menghakis identiti kebangsaan," katanya.

Tambahnya, isu yang dihadapi pada hari ini bukanlah ketiadaan undang-undang atau dasar sebaliknya persoalan sebenar ialah sama ada semua kementerian, agensi kerajaan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan universiti awam benar-benar mematuhi dasar yang sudah ditetapkan oleh kerajaan sendiri.

"Adakah kita benar-benar mempunyai iltizam politik dan pentadbiran untuk melaksanakan perkara yang telah dipersetujui oleh Perlembagaan, diperincikan oleh undang-undang dan diarahkan oleh kerajaan sendiri.

"Jika kerajaan tidak menjadi teladan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan, siapakah lagi yang harus dipertanggungjawabkan?," katanya.

Keluhuran Perlembagaan

Sementara itu, Tokoh Bahasa dan Persuratan Negara, Senator Datuk Seri Profesor Dr Awang Sariyan secara umumnya situasi itu masih terkawal dalam dokumen rasmi kerajaan kerana dikatakan sudah mematuhi ketetapan penggunaan bahasa Melayu terutama sejak dilaksanakan Program Audit Bahasa Melayu mulai tahun 2012 oleh DBP dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

"JPA sendiri sudah mengeluarkan pekeliling yang menegaskan penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi, seperti pada tahun 2011, 2020 dan terkini pada Julai lalu.

"Bagaimanapun masih ada ruang penambahbaikan yang perlu dilakukan untuk meningkatkan mutu bahasa dalam urusan rasmi," katanya.

Sehubungan itu, mana-mana kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang tidak mematuhi ketetapan dalam Perlembagaan Persekutuan itu melakukan kesalahan kerana tidak mengamalkan "Keluhuran Perlembagaan" seperti prinsip ketiga Rukun Negara.

"Keadaan yang masih agak ketara ialah bahasa rasmi dalam mesyuarat dan wacana lisan yang lain, termasuk majlis rasmi yang membabitkan majlis peringkat negara.

"Bahasa asing dan percampuran bahasa yang disebut dalam ilmu bahasa sebagai percampuran kod (code mixing) masih berlaku," katanya.

Menurutnya lagi, antara isu yang masih agak ketara ialah penamaan institusi dan program yang sebahagiannya dalam bahasa asing contohnya MyBrain, Back to School, Youth Empowerment Programme, Dashboard Belia, Program MyFuture Youth Plus, Jelajah WowZoomers, Wellness HubBekenu dan Majlis Anugerah MyCHAMPION.

Hal itu menggambarkan sikap kurang peka sesetengah pihak di kementerian, jabatan dan agensi mengenai keperluan menggunakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi negara.

"Disiplin yang rendah dan sikap tidak menghormati bahasa kebangsaan seperti itu bercanggah dengan ketetapan Perlembagaan Persekutuan dan arahan dalam pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan