UMAIRAH termenung. Suasana rumah teres dua tingkat yang didiaminya sejak dua dasawarsa yang lalu kini dicengkam sunyi. Dua puluh tahun yang lalu, suaminya membeli rumah ini setelah kelahiran putera pertama mereka. Rumah ini kemudiannya diubah suai dengan menggabungkan elemen tradisional dan moden agar sentuhan kontemporari terserlah. Panel hiasan dinding yang diperbuat daripada kayu dan pemasangan pemanis di bahagian hujung bumbung menyebabkan rumah kediamannya nampak semakin mewah. Landskap yang menghijau dan pancuran air di dinding umpama taman mini tempat dia dan keluarga bersantai. Kini, rumah yang dahulunya riuh dengan tawa dan tangis anak-anak serta gurau senda daripada suaminya telah berubah menjadi sepi serta rapuh dengan kemesraan.
Umairah masih lagi berada di ruang bilik khas tempat dia menjahit. Di situlah tempat Umairah mengubat kesunyian dengan mengambil upah menjahit baju kurung Teluk Belanga. Setelah mempunyai tiga cahaya mata, Umairah telah berhenti kerja sebagai pegawai bank atas permintaan suaminya agar dia dapat menjaga anak-anak sepenuh masa. Saat itulah kerjaya sampingannya itu bermula kerana dia mewarisi kemahiran menjahit daripada arwah ibunya.
Tangannya masih memegang gunting untuk memotong kain mengikut pola berbentuk pesak dan kekek dengan penuh ketelitian. Dia seperti sedang menjaga maruah sebuah warisan yang tidak mahu pupus ditelan zaman. Kehalusan jahitannya menyebabkan dia mempunyai pelanggan yang tetap. Walaupun tidak ramai, tetapi sudah cukup untuk dia melupakan sejenak permasalahan yang bersempang siur dalam kehidupannya.
Arwah ibunya pernah berpesan kepadanya, "Umairah, baju tradisi ini jangan dibiarkan hilang. Kalau orang lupa pakaian bangsanya, lama-lama dia akan lupa akar jati dirinya."
Pesanan itu masih hidup dalam hati Umairah. Sebab itulah dia tetap menjahit baju kurung Teluk Belanga walaupun tempahan semakin berkurangan. Sekarang ini baju kurung tidak perlu lagi disembat dan leher baju tidak perlu ditikam belut atau mata lalat. Kadang-kadang dia berasa dirinya umpama baju warisan lama yang sedang cuba dipertahankan dalam dunia yang semakin melupakan nilai-nilai akar budaya. Dewasa ini anak-anak muda lebih suka memakai pakaian yang berbentuk moden. Dua orang anak lelakinya hanya memakai baju kurung pada waktu hari raya pertama sahaja. Selepas itu pakaian tersebut menjadi penghuni almari di stor dalam tempoh yang panjang sehingga pernah dimamah anai-anai. Anak gadisnya pula tidak meminati baju kurung dan kebaya kerana dia beranggapan fesyen sedemikian sudah ketinggalan zaman.
Umairah menghela nafas yang panjang. Dia melihat jam di dinding. Hampir jam dua belas malam tetapi suami dan anak-anaknya masih belum pulang ke rumah.
Setiap kali hujung minggu, rumahnya seperti tiada berpenghuni. Dia seperti sudah tidak mampu untuk menegur sikap anak-anaknya yang semakin hanyut dibuai arus kelekaan dunia remaja. Anak sulungnya Lokman, berusia dua puluh tahun, sedang belajar di sebuah kolej yang terletak tidak jauh dari kawasan perumahan mereka. Anak keduanya telah tamat Sijil Pelajaran Malaysia dan sedang menunggu keputusan peperiksaan. Anak gadisnya pula berada dalam tingkatan empat dan tinggal di asrama.
Umairah tiba-tiba meletakkan gunting yang dipegangnya sejak tadi di atas kain sutera berwarna ungu milik seorang setiausaha yang tinggal tidak jauh dari kawasan perumahannya. Dia terdengar bunyi yang sering mengganggunya ketika dihimpit kesunyian. Dia cuba mengamatinya sambil memejam mata. Bunyi yang halus seperti ada sesuatu yang sedang mengunyah perlahan-lahan di dalam gelap. Dia tahu musuh yang dibencinya sejak beberapa tahun lalu kini kembali menyerang rumahnya. Setiap kali musuh yang halus itu muncul, dia dan suaminya pasti akan bertelagah.
Pada mulanya Umairah hanya menemukan serbuk-serbuk halus di penjuru stor. Setiap pagi dia menyapu serbuk itu dengan perasaan hairan kerana seolah-olah ada sesuatu yang sedang hidup dan membiak dalam diam. Dia membeli ubat semburan dan menyemburnya di ruang stor dan dapur dengan harapan segala kerosakan dapat dihentikan. Beberapa ekor anai-anai bertaburan di lantai. Namun beberapa hari kemudian, serangga itu muncul kembali dengan lebih rakus. Tidak ubah seperti permasalahan dalam hidupnya yang semakin merebak dalam diam.
"Abang, rak di stor dimakan anai-anai. Kayu di bahagian dalam sudah mereput."
"Awak belilah ubat penyembur anai-anai. Habis cerita. Itu pun nak beritahu saya?" bentak suaminya.
"Bang…"
"Apa lagi? Setiap kali saya balik awak asyik cakap tentang anai-anai. Awak tak tahu tak? Saya ni keletihan balik dari kerja! Rumah kita ni teguh lagi. Tak runtuh!"
"Saya tahu bang. Sekarang saya bukan nak cakap tentang anai-anai tetapi tentang anak kita. Saya cuma nak beritahu abang, nasihatlah anak-anak kita tu. Lokman dan Rizman asyik tidak ada di rumah. Kadang-kadang dua tiga hari baru balik. Yang satu merempit tengah-tengah malam, yang satu lagi saya tak tahu dia pergi ke mana. Anak-anak kita perlukan perhatian daripada kita bang. Abang sebagai bapa perlu menegur supaya mereka tidak hanyut dengan lebih jauh."
"Tugas mendidik anak-anak, saya sudah serah kepada awak! Apa guna awak duduk di rumah ini jika perkara seumpama ini awak tak boleh selesaikan? Saya penat mencari rezeki! Awak jangan asyik mengadap mesin jahit tu sahaja sampai abaikan anak-anak kita! Saya sudah beri yang secukupnya untuk keluarga kita. Rumah, kereta dan duit!" bentak Ramzan lalu dia menghala ke pintu dan keluar dalam kegelapan malam.
Mengingatkan itu semua, dada Umairah seperti sempit. Nafasnya seperti tersekat di kerongkong. Sejak itu suaminya sering balik lewat dan kadang kala hanya sekali seminggu sahaja menunjukkan wajahnya dengan alasan sibuk bekerja di luar kawasan. Sebagai seorang Pengurus Projek Pemaju Hartanah suaminya sememangnya sibuk kerana kerap berada di tapak projek dan urusan-urusan yang berkaitan dengan perumahan. Umairah semakin pilu kerana suaminya sentiasa sibuk menguruskan projek pembinaan rumah tetapi tidak menyedari rumah kebahagiaan mereka sudah semakin goyah dan hampir rebah.
Dia teringat suatu ketika dahulu, sewaktu anak-anaknya masih kecil, mereka pernah tidur di ribanya ketika dia menjahit baju. Anak bongsunya Rania pula akan bermain cebisan kain sambil ketawa kecil. Kini rumah yang pernah hidup dengan kasih sayang dan cinta seakan padam sumbu kebahagiaannya. Suaminya semakin menjauh. Dia telah menghidu kecurangan suaminya kerana dia pernah terpandang suaminya di sebuah restoran mewah bersama-sama dengan seorang wanita muda berusia dua puluhan. Pertengkaran demi pertengkaran berlaku sehingga Umairah akhirnya tidak mahu lagi memikirkan tentang apa yang dilakukan oleh suaminya.
Pada suatu pagi, Umairah menemukan sarang anai-anai yang baharu di belakang almari bilik anak perempuannya. Sarang itu menjalar pada dinding seperti urat penyakit yang membesar dalam senyap. Dengan tangan yang menggigil, dia mengetuk perlahan sarang tersebut menggunakan kayu pengelap lantai. Sarang anai-anai itu pecah dan ratusan anai-anai keluar bertempiaran. Umairah memandang sarang itu lama-lama dengan dada yang sesak kerana sarang itu telah menjalar hingga ke siling bilik tersebut. Tiba-tiba dia terasa seperti sedang melihat cermin kehidupannya sendiri. Segala permasalahan yang berlaku telah bercantum menjadi sarang kehancuran yang membesar secara perlahan-lahan.
Tahun lalu dia menerima surat daripada kolej dan pihak Hal Ehwal Pelajar telah memaklumkan bahawa Lokman sudah lama tidak menghadiri kuliah sehingga namanya akan digugurkan sebagai pelajar. Umairah telah bertemu dengan pihak kolej dan membuat rayuan agar Lokman diberi peluang meneruskan pengajian. Belum hilang kisah Lokman, guru disiplin sekolah Rania pula menghubunginya. Rania telah bergaduh di asrama. Umairah terpaksa ke sekolah Rania untuk bertemu dengan pengetua dan unit disiplin. Dia benar-benar lelah dan keletihan.
Dalam fikiran yang kusut, Umairah meneruskan usaha untuk memusnahkan sarang anai-anai di stor pula. Apabila musim hujan, masalah anai-anai semakin menjadi-jadi. Dia menjolok sarang anai-anai yang semakin menjalar hingga ke siling dan tanpa disangka di bahagian hujung siling tersebut runtuh. Umairah teringat, seminggu yang lalu jirannya ada memberi dia nombor telefon sebuah syarikat pemusnah anai-anai. Segera dia mencapai telefon untuk menghubungi syarikat tersebut. Belum sempat dia menekan butang di skrin, deringan telefon pula memecah keheningan pagi yang menjengkelkan.
"Puan, saya buat panggilan dari hospital. Anak puan bernama Lokman bin Razin telah mengalami kemalangan. Dia terlibat dalam pelumbaan haram. Motosikal yang ditunggangnya telah bertembung dengan kereta, Dia parah. Sila datang ke hospital sekarang."
Dia tergamam. Pandangannya berpinar. Namun dia gagahi juga untuk tegak berdiri. Dia segera menelefon suaminya dan menghantar pesanan ringkas tetapi tidak menerima apa-apa balasan Dia segera mengenakan tudung dan mencapai kunci kereta untuk segera ke hospital. Apabila pintu dibuka, Umairah tersentak kerana ada kereta polis di perkarangan rumahnya. Dua orang pegawai polis telah keluar dari kereta tersebut dan menuju ke arahnya.
"Assalamualaikum. Puan ibu kepada Rizman bin Razin?"
"Ya, tuan. Kenapa dengan anak saya?"
"Anak puan berada di balai polis sekarang. Beliau berada dalam keadaan khayal kerana menghisap rokok elektronik yang mengandungi dadah. Kami berjaya menangkap dia dan dua orang kawannya kerana merakam aksi menghisap vape di media sosial."
Umairah kebingungan. Ketika luka kesedihan lama masih lagi berdarah timbul pula berita tentang Rizman. Ke manakah yang harus dituju dahulu? Hospital atau ke balai polis? Semua persoalan hadir seperti panahan kilat yang sambar menyambar dan membakar atmanya. Telefon bimbitnya sekali lagi berdering. Tangannya menggigil kerana dia menjadi cemas apabila menerima perkhabaran demi perkhabaran yang menakutkan.
Kini dia menerima panggilan daripada Pegawai Penguat Kuasa Agama. Suaminya telah ditangkap khalwat dan Umairah perlu ke balai polis untuk hadir sebagai penjamin. Sukmanya benar-benar telah dirobek.
"Maafkan abang. Abang diperangkap. Abang tidak tahu kenapa tiba-tiba abang sudah ada di hotel kerana sebelum ini abang dan kawan-kawan bersantai-santai di restoran."
Di dalam kereta, berulang kali suaminya memohon kemaafan. Umairah hanya membisu. Air mataya sudah kering. Kesetiaannya telah dicurangi oleh sikap suaminya yang sering berfoya-foya. Dia kemudian memandu untuk menuju ke balai polis tempat Rizman ditahan. Dia mahu suaminya menyaksikan sendiri keculasan dirinya sebagai ketua keluarga. Setelah itu Umairah menuju pula ke hospital. Lokman mengalami kecederaan parah kerana patah kaki kiri dan tangan kanan.
"Abang, rumah kita hampir runtuh kerana serangan anai-anai. Rumah tangga kita hampir rebah kerana kelalaian abang. Abang saksikanlah sendiri apa yang berlaku dalam keluarga kita," Umairah bersuara dalam nada sebak.
Razin menangis teresak-esak, persekitaran yang negatif mampu menjadi anai-anai yang boleh menghancurkan kehidupan dia. Dia telah lama lalai dengan suruhan Tuhan dan mengabaikan anak-anak sehingga menjadi punca segala permasalahan berlaku.
Umairah pula percaya, setiap kerosakan masih mempunyai harapan untuk dipulihkan sebelum semuanya habis dimakan anai-anai pancaroba.
- Pengarang berasal dari Johor dan penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015 dan Anugerah Sastera Johor 2026.
Nota: Pengarang kreatif dipelawa menghantar cerpen dan puisi ke halaman Sanggar Sastera, Perspektif, BH Ahad melalui e-mel bhsastera@bh.com.my. Sertakan biodata, nombor kad pengenalan, alamat lengkap, nombor telefon, gambar serta nombor akaun. Cerpen mestilah antara 1500-2000 patah perkataan dan tiada bayaran untuk karya tanpa maklumat lengkap.
























