BH Online
Ringkasan Berita

Antara populariti dan prinsip seorang pengarang

KUALA LUMPUR: Lambakan kandungan dalam era digital menjadikan dunia penulisan semakin terbuka, namun pada masa sama mencetuskan persoalan mengenai nilai dan tanggungjawab seorang pengarang.
Antara populariti dan prinsip seorang pengarang

Seorang pengarang mempunyai pengaruh besar dalam mencorakkan pemikiran masyarakat, justeru karya dihasilkan perlu mempunyai nilai, adab dan akhlak yang mampu membina bangsa. Gambar janaan AI

KUALA LUMPUR: Lambakan kandungan dalam era digital menjadikan dunia penulisan semakin terbuka, namun pada masa sama mencetuskan persoalan mengenai nilai dan tanggungjawab seorang pengarang.

Ketika sesiapa sahaja berpeluang menghasilkan tulisan atau kandungan untuk khalayak, ukuran sebenar pengarang bukan hanya terletak pada kreativiti, tetapi sejauh mana karya yang dihasilkan membawa kebenaran, nilai dan manfaat kepada masyarakat.

Perubahan landskap media serta kemunculan pelbagai platform digital turut menjadikan peranan pengarang semakin mencabar apabila mereka perlu bersaing dengan kandungan pantas yang mudah mendapat perhatian.

Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Pembangunan Sabah, Prof Datuk Dr Ramzah Dambul, berkata pengarang tidak seharusnya dilihat dalam kalangan penulis karya kreatif atau sastera, sebaliknya merangkumi seluruh bidang persuratan termasuk sains dan teknologi, ekonomi, kemanusiaan, akademik serta pelbagai cabang ilmu lain.

Beliau berkata, setiap bentuk penulisan mempunyai tanggungjawab yang sama terhadap masyarakat kerana karya mampu mempengaruhi cara manusia berfikir dan melihat dunia.

"Ciri paling utama seorang pengarang bermaruah ialah kejujuran terhadap apa yang ditulis dan dipersembahkan kepada khalayak.

"Segala idea, fakta dan pemikiran yang dikomunikasikan kepada masyarakat mestilah berasaskan kebenaran serta dilaksanakan dengan penuh amanah," katanya ketika Siri Webinar IPSAS anjuran Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), mengupas berkenaan 'Siapa Pengarang Bermaruah' yang dimudahcarakan oleh Pensyarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof Madya Dr Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali menerusi Facebook IPSAS, baru-baru ini.

panel ipsas
Ramzah ketika tampil dalam Siri Webinar IPSAS anjuran UPM yang dimudahcarakan okeh Prof Madya Tengku Intan Marlina Tengku Ali, dan disiarkan secara langsung dalam Facebook rasmi IPSAS, minggu lalu.

Ramzah berkata, sejarah membuktikan tradisi persuratan menjadi asas penting kepada pembinaan tamadun kerana karya intelektual mencerminkan pemikiran dan kemajuan sesuatu bangsa.

"Karya itu tidak semestinya berbentuk sastera seperti hikayat, tetapi turut merangkumi penulisan dalam bidang geografi, sains, falsafah serta pelbagai disiplin ilmu lain dan karya-karya inilah yang menjadi asas pembentukan pemikiran dan kemajuan sesuatu bangsa," katanya.

Menurutnya, pengarang mempunyai pengaruh besar dalam mencorakkan pemikiran masyarakat, justeru karya dihasilkan perlu mempunyai nilai, adab dan akhlak yang mampu membina bangsa.

"Pada hemat saya, ciri paling penting seorang pengarang bermaruah ialah menghasilkan karya yang mempunyai isi yang mampu membina bangsa dan masyarakat.

"Kandungan karya itu perlu berpaksikan kebenaran, sarat dengan nilai, adab, akhlak serta budaya yang baik," katanya.

Mengulas hubungan antara karya dan peribadi pengarang, Ramzah berkata terdapat keadaan tertentu yang membolehkan karya dinilai secara berasingan daripada latar belakang penciptanya, khususnya karya klasik atau warisan.

Beliau mengambil contoh Hikayat Merong Mahawangsa yang kekal bernilai walaupun identiti pengarangnya tidak diketahui.

"Jika sesebuah karya membawa nilai yang baik dan bermanfaat, ia wajar dinilai berdasarkan isi kandungannya, bukan semata-mata latar belakang pengarang kerana nilai yang baik tetap bernilai walau datang daripada sesiapa," katanya.

Bagaimanapun, dalam konteks semasa, karya dan pengarang semakin sukar dipisahkan kerana masyarakat turut menilai keperibadian penulis, terutama apabila karya digunakan sebagai bahan pendidikan.

"Sekiranya pengarang berdepan isu moral, jenayah atau salah laku yang serius, masyarakat tentu akan mempersoalkan kewajaran menjadikan karya itu sebagai contoh atau rujukan," katanya.

Beliau berkata, ekosistem kepengarangan Melayu yang beradab perlu dibina secara menyeluruh dengan membabitkan pengarang, institusi pendidikan dan masyarakat kerana tugas pengarang bukan sekadar menghasilkan karya, tetapi membawa amanah membentuk pemikiran bangsa.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Nur Afifah Vnitha Abdullah, berkata pengarang bermaruah ialah individu yang menghasilkan karya berlandaskan falsafah, nilai, pengalaman dan tanggungjawab terhadap masyarakat.

"Sesebuah karya tidak lahir secara kebetulan, sebaliknya dipengaruhi oleh pemerhatian pengarang terhadap isu semasa, perubahan zaman dan pengalaman sekeliling yang diterjemahkan melalui ilmu, kreativiti serta teknik penulisan yang baik," katanya.

Tegasnya, karya yang kekal relevan sepanjang zaman ialah karya yang mengangkat nilai kemanusiaan sejagat dan mampu mengajak khalayak berfikir secara kritis.

"Oleh itu, pengarang bermaruah bukan hanya dinilai berdasarkan kehebatan berkarya, tetapi juga kesedaran bahawa penulisan adalah amanah untuk membentuk pemikiran masyarakat," katanya.

Sementara itu, Pensyarah IPSAS, UPM, Prof Madya Dr Kamariah Kamarudin, berkata cabaran utama pengarang hari ini ialah persaingan dengan karya popular yang mudah mendapat perhatian melalui teknologi digital.

"Seorang pengarang sebenarnya mempunyai pilihan untuk menggunakan ilhamnya bagi menghasilkan karya yang membawa nilai murni, pengajaran dan membina keperibadian pembaca atau sebaliknya mengangkat perkara yang negatif dan merosakkan," katanya.

Beliau berkata, pengarang tulen tidak mudah terjejas dengan kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan kerana kekuatan sebenar mereka terletak pada keikhlasan, pengalaman dan pemikiran manusia yang diterjemahkan dalam karya.

"Namun, cabaran besar hari ini ialah minat generasi muda terhadap sastera semakin berkurang apabila mereka lebih mudah terdedah kepada pelbagai kandungan popular melalui teknologi digital.

"Justeru, peranan ibu bapa dan masyarakat amat penting dalam membimbing generasi muda memilih bahan bacaan yang berkualiti serta memastikan sastera terus dihargai dalam era teknologi yang semakin mencabar," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan