BH Online
Ringkasan Berita

'Dunia saya dibina oleh buku'

KUALA LUMPUR: Pemikiran yang matang tidak lahir secara kebetulan, sebaliknya dibentuk melalui apa yang dibaca, dihayati dan direnungi. Justeru bagi seseorang yang mahu bergelar penulis, selain membaca, kemampuan memilih bahan bacaan berkualiti juga menjadi asas pembentukan kepengarangan.
'Dunia saya dibina oleh buku'

SM Zakir merungkai sejarah permulaan ke dunia sastera sebelum diangkat sebagai Sasterawan Kelantan. (Foto Amirudin Sahib/BH)

bhsastera@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pemikiran yang matang tidak lahir secara kebetulan, sebaliknya dibentuk melalui apa yang dibaca, dihayati dan direnungi. Justeru bagi seseorang yang mahu bergelar penulis, selain membaca, kemampuan memilih bahan bacaan berkualiti juga menjadi asas pembentukan kepengarangan.

Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2011, Syed Mohd Zakir Syed Othman atau lebih dikenali sebagai SM Zakir, untuk menjadi lebih berilmu dan berfikiran kritis, seseorang perlu memilih buku yang berkualiti, sama ada berbentuk fiksyen mahupun bukan fiksyen, dan tidak hanya membaca untuk hiburan semata-mata.

Katanya, penulis ibarat cermin kepada masyarakat kerana apa yang berlaku di sekelilingnya akan diangkat dalam karya.

"Meskipun penulis tidak bertanggungjawab mengubah masyarakat, tetapi menjadi tugas penulis membantu masyarakat melihat perkara yang kadangkala mereka sendiri tidak sedari.

"Bagi saya, menulis sama seperti seorang pelakon yang perlu masuk ke dalam wataknya. Saya juga perlu berada dalam karakter puisi, cerpen, novel atau esei sebelum mula menulis.

"Sebelum menulis, saya akan membaca mengikut genre yang ingin saya hasilkan. Kalau mahu menulis puisi, saya akan membaca puisi. Kalau mahu menulis cerpen atau novel, saya akan membaca karya genre berkenaan. Saya bukan hendak meniru, tetapi untuk meletakkan diri dalam mood yang sesuai," katanya kepada BH.

SM Zakir yang diangkat sebagai Sasterawan Kelantan keempat pada 2023 berkata, permulaan langkahnya sebagai penulis adalah secara spontan dan tidak sengaja.

Malah katanya, beliau tidak berniat pun hendak menjadi penulis, mengikut jejak langkah bapanya, Sasterawan Negara S Othman Kelantan.

"Saya belajar dalam aliran sains, dan sejak kecil memang suka membaca kerana rumah saya dipenuhi buku.

"Ayah saya seorang guru dan kemudiannya pensyarah, jadi selepas pulang dari sekolah saya akan menghabiskan masa dengan membaca. Dari situlah minat itu lahir, boleh dikata saya ini hanya 'tertulis', dan bila saya mula melakukannya, ia terasa lancar, sebab pembacaan memperkayakan kosa kata, cara berbahasa dan susunan ayat. Sebab itu apabila menulis, semuanya terasa lebih lancar," katanya.

Kata SM Zakir, titik permulaan perjalanannya sebagai seorang penulis apabila beliau menyedari kegembiraan datang apabila menulis.

Bagaimanapun, beliau menyedari pengalaman hidupnya agak terhad dan 'miskin' kerana dibesarkan di kawasan bandar.

"Saya membesar di bandar, berpindah dari Pulau Pinang ke Bangi dan kehidupan saya banyak berkisar di kawasan perumahan moden.

" Saya tidak pernah melalui pengalaman hidup di kampung, di sawah atau di sungai. Jadi, saya membina kekuatan melalui pembacaan, malah di peringkat awal pengkaryaan, tulisan saya lebih dipengaruhi pengalaman membaca berbanding pengalaman hidup.

"Saya banyak memasukkan unsur sejarah, falsafah dan pelbagai pemikiran yang diperoleh daripada buku-buku yang saya baca," katanya.

Namun kongsi SM Zakir, pada sisi yang lain pembacaan yang luas membantu membentuk penulisan dan membantu membentuk diri seseorang penulis sepanjang tempoh pengkaryaannya.

bkkbsd
Antara karya berkualiti SM Zakir.

Jangan letak harapan

Bagaimanapun katanya, cabaran terbesar kepada penulis apabila berada di satu titik kepengarangan, ada yang mula meletakkan harapan dan jangkaan-jangkaan.

"Kita mahu karya dibaca ramai, menang anugerah dan diiktiraf. Tetapi harapan yang terlalu tinggi selalunya membawa kepada kekecewaan.

"Jadi saya belajar untuk tidak meletakkan sebarang harapan. Saya menulis kerana saya menikmati proses itu. Orang baca atau tidak, menang atau kalah, orang suka atau tidak, saya tetap menulis. Kita akan lebih gembira menikmati penulisan, tanpa jangkaan-jangkaan sebegitu," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai proses penulisannya, SM Zakir berkata, proses kerjanya subjektif dan biasanya bergantung kepada 'mood', masa dan keadaan diri.

Katanya, secara umum beliau akan mengambil masa untuk menghasilkan karya, misalnya memperuntukkan sejam dua dalam sehari. Sebaik siap, karya itu akan dibaca berkali-kali sebelum proses penerbitan dan semakan dibuat termasuk oleh pengarang luar.

"Umumnya tempoh penghasilan mengikut genre juga namun sentiasa berubah. Misalnya saya ambil masa sehingga empat tahun untuk siapkan novel. Kalau cerpen mungkin makan masa selama seminggu, kalau puisi mungkin sehari, tapi itu hanya proses menulis. Proses lain-lain termasuk penerbitan mungkin ambil masa hingga tiga bulan," katanya.

Berkongsi lanjut mengenai kepengarangannya SM Zakir berkata, beliau suka membaca karya yang baik tetapi tidak terinspirasi secara spesifik kepada mana-mana pengarang. Keutamaannya adalah menikmati karya yang baik kerana percaya setiap orang penulis punya kekuatan sendiri.

Katanya, dalam apa juga bidang, sama ada sastera, pekerjaan atau perniagaan, setiap orang yang melangkah masuk ke dunia itu seharusnya bersedia untuk menjadi lasak, tidak mudah mengalah dan bertindak secara matang.

"Kadangkala kita perlu bersuara dan ada masanya kita perlu diam. Kita perlu tahu bila waktu yang sesuai untuk kedua-duanya.

"Berdasarkan pengalaman saya, ada masalah yang akhirnya diselesaikan oleh masa. Untuk menunggu masa itu, kita perlu kuat, tahan dan terus bertahan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan