1.
DINDING Facebook tidak lagi bergerak dengan algoritma biasa, tetapi dengan aksara yang tajam. Di skrin yang bercahaya malap, Alif melihat namanya dilapah hidup-hidup. Setiap kali butang 'refresh' ditekan, setiap kali itulah maruahnya disiat-siat oleh gerombolan yang menganggap diri mereka sebagai pemegang kunci pintu syurga. Cahaya biru dari telefon pintar itu memantul pada anak matanya yang letih, merakam setiap caci maki yang menderu masuk seperti peluru sesat.
"Kau ini memang ejen kafir, Alif! Tak habis-habis nak dengki dengan perjuangan agama bangsa sendiri!" – Taa. Komen itu terpacak kukuh dengan tanda seru yang angkuh, seolah-olah Taa baru sahaja memenangi debat peringkat antarabangsa.
"Kenapa diam bila bangsa lain kumpul dana? Kenapa bila Ustaz Baa buat, kau sibuk nak audit? Kau ni anjing yang menggigit bangsa sendiri!" – Saa. Saa menggunakan emotikon anjing, namun bahasanya lebih busuk daripada kandang Sang Sungkur.
"Siapa bagi kau hak tanya pasal duit pertubuhan kami? Itu urusan Tuhan dengan hamba-Nya. Kau sibuk cari salah orang, padahal diri sendiri entah solat ke tidak!" – Jim. Jim, dengan nada polis moral, cuba mematikan hujah dengan serangan peribadi.
Alif menarik nafas panjang. Udara di dalam bilik terasa mampat, seolah-olah oksigen telah dibakar oleh kebencian yang meluap-luap di alam maya. Dia sudah maklum tentang risiko menyentuh sarang tebuan taasub agamawan. Di luar sana, di dunia realiti, Ustaz Baa adalah ikon. Seorang lelaki dengan janggut yang rapi, sentiasa tersungging senyuman, tutur kata dibalut dengan ayat-ayat suci yang dialunkan dengan nada sayu, dan senyuman yang seolah-olah mampu memadamkan api neraka bagi para pentaasubnya. Namun, di sebalik tabir 'sedekah jariah' dan 'wakaf pendidikan' itu, Alif melihat sebuah mesin penyedut wang yang rakus, sebuah sistem yang menukar air mata fakir menjadi emas di jemari sang penunggang agama.
Konflik itu memuncak lewat petang itu apabila Alif, dengan keberanian yang di luar jangkaan, memuat naik sebuah hantaran ringkas namun berbisa:
"Amanah bukan sekadar lafaz; ia adalah angka yang perlu dipertanggungjawabkan. Di mana laporan audit terbuka Pertubuhan Al-Najah bagi tahun 2023-2025? Penderma berhak tahu ke mana perginya RM15 juta yang dikutip."
Responnya? Sebuah letupan kebencian yang cukup untuk meruntuhkan tembok persepsi warga maya.
2.
Taa, Saa, dan Jim adalah tiga serangkai yang mewakili suara 'pentaasub' yang paling vokal. Bagi mereka, logik adalah musuh dan fakta adalah fitnah. Mereka tidak memerlukan bukti hitam putih; mereka hanya memerlukan persona yang berwibawa. Di mata mereka, Ustaz Baa bukan sekadar manusia, tetapi 'representasi' agama yang mutlak. Maka, mencabar Ustaz Baa bermakna mencabar Islam. Logik mereka songsang, dibalut dengan sentimen taasub yang tebal, menjadikannya perisai yang kalis hujah.
"Aku minta audit terbuka, bukan aku minta tutup pertubuhan," balas Alif di ruang komen. Jarinya sedikit menggeletar. Bukan kerana takut akan gertakan mereka, tetapi kerana sebak melihat betapa mudahnya akal diperbodohkan oleh sentimen. Dia melihat bagaimana agama dijadikan alat untuk membungkam integriti.
"Alah, alasan! Kenapa tak minta audit kuil? Kenapa tak minta audit gereja? Kau memang pengecut! Berani dengan bangsa sendiri saja," balas Jim pantas. Komen itu mendapat ratusan 'likes' dalam masa seminit. Bagi Jim dan kumpulannya, kejahatan bangsa sendiri harus ditelan sebagai 'kekhilafan kecil', manakala pendedahan pihak lain harus dipandang sebagai konspirasi besar.
Alif tersenyum pahit. Sebuah senyuman yang lebih mirip dengan kejengkelan. Inilah dilema masyarakatnya yang kronik. Apabila integriti dipersoalkan, mereka akan mengeluarkan kad 'tertindas' atau 'dengki sesama bangsa'. Seolah-olah agamawan berbangsa Mim-Muslim diberikan lesen besar untuk menjadi penyamun tanpa perlu disoal siasat. Mereka lebih rela disamun oleh orang yang berkopiah dan jubah daripada diselamatkan oleh orang yang memakai 'jeans' dan kemeja T biasa.
Di sebalik skrin yang berbeza, di sebuah vila yang terlindung daripada hiruk-piruk kota, Ustaz Baa sedang duduk di atas kerusi kulit import yang harganya mungkin setara dengan gaji setahun para pentaasubnya. Dia membaca komen-komen itu dengan senyuman sinis. Baginya, Alif hanyalah seekor nyamuk yang mengganggu tidur lenanya. Dia tidak perlu mengotorkan tangannya; dia mempunyai tentera digital yang setia, yang akan membakar siapa sahaja yang cuba menyalakan lilin kebenaran di dalam gua kegelapan yang dibinanya.
3.
Namun, kebenaran miliki cara yang aneh untuk menyelinap keluar. Ia seperti air yang mencari celah di carik-carik daun keladi.
Satu notifikasi masuk ke peti pesanan peribadi (DM) Alif. Pengirimnya bernama Haa.
"Saudara Alif, jangan berhenti. Saya ada apa yang saudara cari. Saya penat bersubahat. Saya sedih melihat makcik-makcik di kampung menggadai emas dan mengeluarkan wang simpanan haji demi 'saham akhirat', sedangkan tuan guru kita menukar kereta mewah baharu."
Haa adalah 'orang dalam'. Dia yang selama ini menyusun fail, mencetak resit, dan melihat bagaimana dana awam dikomoditikan. Haa adalah kerani yang menyediakan hamparan Excel yang saban hari dihantui oleh angka-angka yang tidak masuk akal. Dia melihat bagaimana aliran tunai dari tabung pertubuhan dialirkan ke akaun peribadi Ustaz Baa dengan label yang sangat kreatif: 'Komisen Khas Kutipan Derma'. Komisen yang jauh lebih besar daripada jualan insurans!
Haa mengirimkan beberapa keping tangkapan skrin yang dahsyat. Penyata bank yang menunjukkan pemindahan wang berjumlah ratusan ribu ringgit ke akaun peribadi Baa setiap kali bulan berakhir. Ada juga invois pembelian jam tangan mewah jenama Swiss dan bayaran ansuran bulanan untuk sebuah banglo yang didaftarkan atas nama isteri ketiga Ustaz Baa – isteri yang kewujudannya disorok rapi.
"Ini bukan fitnah, Alif. Ini adalah nanah yang pekung. Tolong, jadikan ini sebagai penawar," tulis Haa. Pesanan itu berakhir dengan pemadaman akaun Haa secara serta-merta. Dia sudah memberikan pelurunya; kini terpulang kepada Alif untuk menarik picunya.
4.
Alif tidak menunggu lama. Dia bukan budak mentah yang mahu mengejar viral. Dia menyusun bukti-bukti tersebut dengan teliti, memastikan setiap dokumen saling menyokong antara satu sama lain. Dia tidak mahu sekadar bertekak di ruang komen yang dipenuhi lalat-lalat pentaasub. Dia mahu meruntuhkan struktur penipuan itu dari akarnya.
Tepat pukul 10 malam, satu hantaran baharu muncul di profil Alif. Kali ini, nadanya bukan lagi bertanya, tetapi menghukum. Hantaran itu disertai dengan dokumen yang dikaburkan bahagian sensitifnya, tetapi cukup jelas untuk menunjukkan aliran wang yang tidak sepatutnya.
"Inikah yang dikatakan perjuangan agama? Membeli kemewahan di atas keringat air mata fakir miskin? Membina mahligai peribadi dengan bata yang dibayar dengan wang zakat dan sedekah? Sila beri penjelasan, Ustaz Baa. Dan jangan lupa, saya telah 'tag' SPRM di bawah untuk membantu ustaz menjelaskan segalanya di bilik siasatan."
Media sosial menjadi 'huru-hara'. Ia bukan lagi sekadar perdebatan, tetapi sebuah rusuhan digital. Taa, Saa, dan Jim mula menyerang dengan lebih ganas, kali ini dengan kata-kata yang lebih kesat, seolah-olah kesucian mereka telah dicabul oleh kebenaran.
"Ini gambar edit! Budak sekolah pun boleh buat guna A.I! Jangan percaya ejen kafir ni!" jerit Taa di ruang komen dengan huruf besar semua.
"Kau dah melampau, Alif. Kau dah fitnah ulama. Tunggu balasan Tuhan! Kau akan mati dalam keadaan yang hina!" kata Saa, mendoakan kematian sesama saudara demi membela seorang pencuri yang berkopiah.
Namun, di tengah-tengah ribuan komen itu, satu akaun dengan tanda sah biru muncul. Akaun rasmi SPRM meninggalkan komen ringkas yang menggegarkan seluruh garis masa:
"Terima kasih atas maklumat dan dokumen yang dikemukakan. Tindakan lanjut akan diambil serta-merta. Kerjasama orang awam amat dihargai."
Tiba-tiba, keangkuhan di ruang komen menjadi sunyi seketika. Seolah-olah ada malaikat maut yang baru melintas di tengah-tengah pesta maksiat. Ustaz Baa mula berkeringat. Penghawa dingin tidak lagi mampu meredakan bahang ketakutan yang menjalar. Dia cuba menghubungi 'orang-orang atas', namun panggilannya tidak dijawab.
5.
Dua hari kemudian, skrin televisyen dan portal berita memaparkan wajah yang sangat dikenali, namun dalam naratif yang berbeza. Ustaz Baa tidak lagi berada di Studio TV Al-Muhajirin. Dia berdiri di lobi bangunan mahkamah, memakai gari dan berbaju oren lagenda – seragam rasmi orang kena tuduh berbuat jenayah pecah amanah dan salah guna dana awam.
Alif duduk di beranda rumahnya, mendengar hujan yang turun membasahi bumi dengan nada yang melankolik. Seharusnya dia rasa menang. Seharusnya ada kepuasan yang meledak di dadanya. Tetapi hatinya terasa sesak seolah-olah ditindih batu. Dia membuka telefon, melihat ke ruang komen hantarannya yang lama. Harapannya untuk melihat kesedaran ternyata meleset.
"Ini semua konspirasi! Ustaz Baa, mangsa sabotaj kerajaan yang benci Islam! Ini taktik nak jatuhkan institusi agama!" tulis Jim. Bagi Jim, tangkapan itu hanyalah konspirasi jahat.
"Tengoklah nanti, mahkamah dunia boleh tipu, mahkamah akhirat Alif takkan lepas sebab jatuhkan maruah agamawan. Kami tetap di belakang ustaz!" tambah Taa.
Mereka tidak peduli pada penyata bank yang sudah terpampang sebagai bukti di mahkamah. Mereka tidak peduli pada tangisan Haa yang melihat dana awam disongsongkan untuk membayar hantaran isteri ketiga. Bagi mereka, kebenaran tidak sepenting 'imej'. Mereka lebih rela dipimpin oleh penyamun yang fasih ber-ana-enta daripada seorang yang jujur berhujah dalam memandaikan umat.
6.
Bulan demi bulan berlalu dengan kepahitan yang berpanjangan. Proses mahkamah mendedahkan segala kekotoran yang selama ini dibalut dengan wangian kasturi. Haa muncul sebagai saksi utama. Wajahnya tidak lagi disembunyikan. Dia berdiri tegak, walaupun bergetar. Dia menceritakan bagaimana setiap sen dikira dengan penuh ketelitian untuk diselewengkan. Dia menceritakan bagaimana Ustaz Baa akan berang, membaling fail, dan mengugut dengan 'dosa derhaka kepada guru' jika ada staf yang mempersoalkan pembelian peribadinya menggunakan dana awam.
"Ustaz kata, itu adalah 'hadiah' daripada Tuhan atas kepenatan dia berdakwah. Dia kata dia adalah wakil Tuhan, maka harta Tuhan adalah hartanya juga," kata Haa di kandang saksi dengan suara yang berat. Seluruh mahkamah terdiam. Satira agama yang paling ngeri adalah apabila manusia mula menganggap diri mereka sebagai wakil Tuhan dalam urusan perbendaharaan.
Akhirnya, tukul hakim diketuk dengan bunyi yang padat dan muktamad. Bersalah. Penjara bertahun-tahun dan denda yang mencecah jutaan ringgit. Keadilan, dalam bentuknya yang paling nyata, akhirnya ditegakkan di atas kertas dan undang-undang manusia.
Namun, di dunia digital yang fana, perang itu tidak pernah tamat. Alif masih menerima caci maki secara berkala. Taa, Saa, dan Jim telah membentuk kumpulan 'Penyelamat Ustaz Baa'. Mereka mengumpul dana pula sekali lagi atas nama agama untuk membayar denda ustaz tersebut dan membiayai peguam-peguam mahal. Mereka mendakwa itu adalah ujian 'Nabi Yusuf' di zaman moden, menyamakan sebuah kes pecah amanah dengan perjuangan para nabi.
Alif menutup skrin telefonnya dengan perlahan. Dia bersandar pada pangkin kayu. Dia sedar sekarang, dengan sejelas-jelasnya, bahawa dia boleh mengalahkan seorang penyamun dengan bukti, tetapi dia tidak akan pernah menang melawan ketaasuban yang telah menjadi darah daging. Penyamun boleh dikurung, tetapi kebodohan tidak. Benarlah kata Zainal Rashid Ahmad, "Bodoh memang sentiasa memerlukan ruang yang besar, sebab bodoh adalah baja yang membiak."
Dalam dunia yang penuh dengan lakonan, kejujuran adalah watak yang paling sukar untuk dimainkan. Dan selalunya, watak itulah yang pertama akan dibunuh oleh penonton yang lebih mahukan dongeng yang indah tentang syurga. Walaupun tiketnya dibeli dengan wang haram yang dicuri daripada poket mereka sendiri. Alif memejamkan mata, membiarkan bunyi cengkerik menggantikan bisingnya notifikasi, mencari damai dalam sebuah kekalahan yang bermaruah.
@ Sanusi Din, berasal dari Kedah dan kini menetap di Pulau Pinang, sudah menghasilkan tujuh kumpulan puisi dan tiga kumpulan cerpen.
Nota: Pengarang kreatif dipelawa menghantar cerpen dan puisi ke halaman Sanggar Sastera, Perspektif, BH Ahad melalui e-mel bhsastera@bh.com.my. Sertakan biodata, nombor kad pengenalan, alamat lengkap, nombor telefon, gambar serta nombor akaun. Cerpen mestilah antara 1500-2000 patah perkataan dan tiada bayaran untuk karya tanpa maklumat lengkap.
























