I
SULTAN Muhammad Al-Fatih turun dari kuda. Debu Constantinople berpusar-pusar laksana TĂ¼rk alfabesi yang belum menjadi sejarah. Tentera menunggu titah. Sebahagian dinding merekah, ada juga yang sudah pecah. Burung perang terbang rendah bagaikan lambang warga langit yang kelelahan.
Di hadapannya, Hagia Sophia berdiri dengan merahnya yang tua, besar, keras, namun ada diam yang ganjil pada kubahnya. Diam yang tidak tunduk kepada pedang.
"Tuanku boleh mengambilnya. Hukum perang memberi hak," kata seorang panglima.
Al-Fatih menyeluruhi pintu besar itu kemudian melangkah ke dalam. Terpampang di depannya lukisan. Indera hidunya mencium bau lilin usang. Telinganya mendengar gema doa orang yang tidak serupa lafaznya dengan doa baginda.
"Tidak semua yang boleh diambil patut dirampas," titah baginda.
Baginda menabur debu ke atas serban, lalu sujud ke hadrat Allah yang mengizinkan manusia menang tanpa menjadi mabuk.
Barangkali kerana menginsafi usianya baru 21 tahun, ketika membuka Constantinople dan pada usia semuda itu juga, namanya mula dipahat pada takdir Aya Sofya sebagai amanah wakaf yang panjang umurnya melebihi kerajaan, maka Sultan Al-Fatih tidak memerintahkan bangunan itu dibakar. Tidak menjadikannya istana. Tidak berkata, "Aku menang, maka semua ini milikku." Sebaliknya baginda memanggil jurutulis, saksi dan penjaga catatan.
"Catat, aku membeli bangunan ini dengan hartaku sendiri. Selepas itu, aku wakafkan sebagai masjid. Jangan biarkan masa depan memakan amanah ini tanpa tersedak," titah baginda.
Jurutulis mengangkat kalam. Dakwat hitam jatuh pada kulit gazel. Huruf pertama tidak tahu bahawa ia akan hidup lebih panjang daripada banyak kerajaan.
"Tuanku, mengapa perlu dibeli? Bukankah kota telah dibuka?" Tanya jurutulis.
Al-Fatih memandang kubah. Kubah seperti menahan nafas.
"Kerana pedang membuka kota, dokumen pula menjaga amanah. Orang yang menang hari ini boleh mati esok. Kertas yang benar boleh bangkit di mahkamah selepas 500 tahun."
Di hujung dokumen itu, Al-Fatih meletakkan syarat. Bangunan itu masjid. Wakaf itu tidak dijual, tidak diwarisi, tidak ditukar sesuka hati. Siapa mengubah amanah, dia ingkar perintah seorang sultan dan langgar hak yang telah diserahkan kepada Allah.
Malam tiba diiringi Maghrib dan Aya Sofya mendengar azan pertamanya sebagai masjid. Batu-batunya belajar bahasa baharu tanpa memadam semua lapisan lamanya.
Al-Fatih menoleh lalu berkata,
"Jika sesiapapun hidup di negeri lain berabad-abad kemudian, jangan pertahankan agama hanya dengan suara yang tinggi. Pertahankan dengan ilmu, wasiat, adab dan keberanian yang tahu tempatnya."
II
NUBLI NUKMAN, 21 tahun, duduk di bangku belakang mahkamah sambil memeluk fail nipis pada dadanya. Pada kulit fail itu tertulis dengan pen biru dakwat kekal: Wakaf Masjid Tua Kampung Mimlamalifyawau. Tulisan itu miring sedikit ke kanan, seperti graf keberaniannya pada pagi itu.
Sedang dia leka memerhati gerak geri hadirin di mahkamah, pengerusi NGO menepuk bahunya sebelum masuk ke kamar bicara.
"Bawa fail ni. Jangan hilang. Perjuangan bukan semuanya poster."
Nubli mengangguk, walaupun perkataan "wakaf khas", "istibdal" dan "kaveat" berlegar-legar dalam kepalanya seperti burung tersesat. Dia malu kerana tidak faham. Dia lebih biasa dengan butang post daripada klausa undang-undang kerana tugas kesukarelawanannya sinonim dengan menampal poster dan mereka cipta kapsyen gambar aktiviti gotong royong.
Dia perasan, di sebelahnya sejak dia sampai pukul 8,00 pagi tadi, duduk seorang lelaki tua berjubah kelabu. Janggutnya putih, matanya bening, dan pada keningnya ada parut kecil seperti bekas huruf yang dipadam.
"Kamu bawa amanah?" tanya lelaki itu tanpa memberi salam.
"Fail saja, tok," balas Nubli ringkas kemudian menghulur tangan untuk bersalaman.
"Fail yang betul lebih berat daripada pedang yang salah."
Bulu tengkok Nubli tiba-tiba meremang sejurus mendengar kata-kata lelaki itu.
Di hadapan hakim, peguam pihak pemaju bangun dengan senyum kemas. Kemejanya putih, suaranya licin.
"Yang Arif, cadangan anak guam saya bukan rampasan. Ini pemuliharaan warisan. Masjid lama itu akan dikekalkan sebagai elemen visual dalam pusat komuniti baharu. Kita bercakap tentang inklusiviti ruang awam, pelancongan rohani dan nilai tambah ekonomi kepada penduduk."
Pada skrin besar, muncul slaid bangunan kaca. Kubah kecil masjid lama diletakkan di tengah-tengah kafe, kedai cenderamata dan parkir bertingkat. Di bawah gambar itu tertulis: Warisan Dinamik Untuk Semua.
Nubli berasa perutnya sejuk, 'mungkin ini hijrah pertamaku ke alam bijaksana sebenar. Perkataan cantik rupa-rupanya boleh membawa pisau dalam sarung sutera,' suara kalbu Nubli membersit.
Peguam NGO berdiri. "Yang Arif, harta ini diwakafkan khusus untuk masjid. Dokumen asal ada bersama saksi utama."
Seorang lelaki pertengahan umur di barisan depan tunduk. Peguam NGO berbisik kepadanya. Lelaki itu menggeleng perlahan.
"Yang Arif," suara peguam NGO berubah serak, "dokumen asal… belum dapat dikesan."
Dewan tiba-tiba menjadi sempit. Peguam pemaju terus menyambar.
"Tanpa dokumen asal, kita hanya dengar sentimen. Pembangunan tak boleh ditahan oleh nostalgia."
Telefon Nubli bergetar. Mesej kawannya masuk, "Live sekarang. Mesti viral."
Ibu jarinya sudah hampir menekan kamera. Dalam fikirannya, dia nampak dirinya menjadi orang pertama menyebarkan "isu panas". Tatkala itulah lelaki tua di sebelahnya berbisik, "sultan muda di Constantinople tak menang dengan sorak. Baginda panggil jurutulis."
Nubli tersentak.
Hakim bertanya, "Ada sebarang salinan sokongan?"
Peguam NGO berpaling panik. Mata pengerusi NGO mencari-cari Nubli.
"Nubli, gambar lama tu. Yang kamu ambil masa gotong-royong," ujar pengerusi NGO dalam nada bercampur pertanyaan dan kenyataan.
Semua mata menikamnya.
Nubli berdiri dengan lutut longgar. "Saya… saya ada, Yang Arif."
Dia membuka fail. Sekeping gambar masjid lama terjatuh. Dalam gambar itu, cat dinding mengelupas, di papan kayu di sisi mimbar tulisan tangan dalam skrip jawi masih jelas: Tanah ini diwakafkan oleh Haji Abdullah bin Abdul Hak untuk masjid selama-lamanya. Bertarikh 1 Muharam 1348 Hijriah.
Lelaki tua di sebelahnya menghela nafas panjang. Nubli perasan jari tua itu menggigil ketika nama Haji Abdullah disebut.
"Tok kenal?" bisik Nubli.
Lelaki itu tersenyum sayu. "Dalam darah."
Sebelum Nubli sempat bertanya lagi, lelaki tua menghulurkan pensel kontot kepadanya.
"Catat. Dakwat boleh kering. Pensel boleh diasah semula."
Hakim menerima gambar itu sebagai bahan sokongan sementara dan mengarahkan carian arkib dilakukan. Keputusan ditangguhkan.
Di luar mahkamah, azan Zuhur merafak perlahan dari masjid lama yang belum tentu menang. Nubli tercari-cari lelaki tua itu tadi. Dia berlari ke koridor mahkamah, kembali ke surau dan masuk ke kamar perbicaraan semula.
Yang ditemui hanya sebatang pensel pandak di atas bangku tempat mereka duduk tadi. Dia pun mengambil alat tulis yang tertinggal itu lalu membelek-belek seperti mencari sesuatu. Yang dia nampak, mata kalam sejengkal itu tumpul. Dia mengasah pensel itu perlahan-lahan sampai hujungnya tajam. Serpihan kayu berkeruping jatuh ke tapak tangannya bak kulit masa yang terkopek.
Nubli membuka buku catatannya yang kosong. Lama dia memandang halaman pertama. Akhirnya dia menulis satu perkataan: Saksi.
Kemudian dia diam. Dan untuk pertama kali, Nubli terasa diamnya itu kelihatan sangat berani.
III
AKU… Aya Sofya, kubah tua di jantung Konstantiniyye, pernah menyimpan gema Yunani pada rusuk batuku, pernah menadah Arab pada puncak menaraku. Pada lantai marmarku, raja-raja datang dengan sepatu keras, fakir datang dengan kaki berdebu. Aku mengenal bau lilin, bau peluh tentera, bau hujan di jubah para derviÅŸ, dan bau dakwat tua pada vakfiye yang disorong dengan tangan menggigil.
Manusia menukar namaku berkali-kali. Gereja. Masjid. Muzium. Masjid kembali. Mereka menyangka aku berubah setiap kali papan tanda diganti. Padahal akulah yang melihat wajah mereka berubah di hadapan pintuku.
86 tahun aku dipakaikan kerudung sunyi. Pelancong masuk berbaris. Kamera mengerdip seperti kelip mata serangga. Mereka mendongak ke arah mosaikku, berbisik kagum, lalu berlalu.
Bagiku, kagum tidak pernah berat. Lainlah sujud sebab perbuatan itu datang dengan tulang belakang manusia yang patah di hadapan Tuhan.
Pada suatu pagi Julai, kertas lama bangun daripada lena yang panjang. Di mahkamah, namaku disebut sebagai amanah. Aku mendengar helaian dibuka, kerusi berkeriut, suara lelaki membaca klausa dengan dada tertahan. Di luar, ada yang menangis. Ada yang menggenggam marah. Ada yang takut sejarahnya dipadam. Aku tidak menjawab. Batu yang terlalu tua tidak pantas memaki manusia.
Kemudian aku dengar suara muazzin merayap dari menara, menyentuh kubahku perlahan-lahan umpama tangan anak kesayangan menyentuh dahi ibu yang lama demam. Mosaik tetap pada tempatnya. Tiang tetap memikul silam. Cahaya jatuh ke lantai, pecah menjadi kepingan emas kecil. Seorang tua meletakkan dahinya. Di belakangnya, seorang pemuda menahan tangis.
Jauh dari Bosphorus, aku melihat Nubli.
Di sebuah mahkamah kecil di tanah hujan dan azan, anak muda itu duduk dengan fail di riba. Fail itu nipis, tetapi jari-jarinya memegangnya seperti memegang tali perahu dalam ribut. Di hadapannya, orang bercakap tentang parkir, nilai tanah, pelan warisan, sewa kedai kopi, laluan pelancong. Nubli menelan liur. Matanya turun pada gambar masjid lama dalam fail itu: cat mengelupas, tingkap senget, sejadah lusuh, kipas tua berpusing malas.
Telefon di tangannya bergetar.
"Viral tak?"
Nubli memandang skrin lama-lama. Ibu jarinya hampir menekan butang siaran langsung. Kemudian dia terdengar pensel kontot jatuh dari tangan lelaki tua di sebelahnya. Bunyi kecil itu menebuk bising mahkamah.
"Anak muda… amanah tak perlu dijadikan tontonan kepada orang yang belum faham," bisik lelaki tua itu sambil menghulurkan pensel.
Nubli mematikan skrin.
Di meja hadapan, peguam NGO membuka geran. Kertas itu berwarna teh cair, hujungnya reput, tetapi apabila diletakkan di bawah lampu mahkamah, dakwatnya masih berdiri seperti askar yang enggan pulang. Hakim menunduk. Pihak lawan saling berbisik. Seorang lelaki berkot mahal mengetuk pen pada fail biru, semakin cepat, semakin resah.
Nubli mengambil pensel. Tangannya menggigil ketika menulis pesan lelaki tua itu di belakang salinan gambar masjid:
Pedang membuka kota. Dokumen menjaga amanah. Adab menjaga kedua-duanya.
Dari jauh, aku teringat sultan muda yang tawaduk berdiri di ambangku, debu pada serban dan matanya yang tidak mabuk dek kemenangan.
Mahu aku bisikkan, "masa bukan garis, wahai anak tanah hujan. Masa ialah sejadah panjang. Satu hujungnya tersangkut pada batuku di Konstantiniyye; satu hujung lagi terbentang di bawah lututmu, Nubli."
Aku tidak maksudkan amanah sentiasa menang. Aku hanya mahu dia tahu amanah pandai tidur lama.
Pada hari manusia menyangka ia mati, seseorang akan membuka fail. Seseorang akan mengasah pensel. Seseorang akan diam kerana sedang belajar menjadi saksi yang berani.
Di luar mahkamah, selepas azan Zuhur disambut sujud abdi, Nubli berdiri. Fail nipis itu dikelek rapi di sisi rusuk kiri.
Dan aku, Aya Sofya, kubah tua yang tidak tergesa-gesa menghukum manusia, mendengar bunyi pensel diasah dari sebuah negeri jauh. Ketiknya renik. Namun daripada ketik seremeh itulah amanah belajar bangkit.
@ Norzana Razaly berkelahiran Pasir Mas, Kelantan ialah lulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian Sains Politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Nota: Pengarang kreatif dipelawa menghantar cerpen dan puisi ke halaman Sanggar Sastera, Perspektif, BH Ahad melalui e-mel bhsastera@bh.com.my. Sertakan biodata, nombor kad pengenalan, alamat lengkap, nombor telefon, gambar serta nombor akaun. Cerpen mestilah antara 1500-2000 patah perkataan dan tiada bayaran untuk karya tanpa maklumat lengkap.
























