BH Online
Ringkasan Berita

Persatuan penulis perlu jadi wadah wacana intelektual

KUALA LUMPUR: Persatuan penulis di Malaysia selalu terperangkap dalam pandangan stereotaip yang mengaitkannya sebagai kelab sastera pasif, iaitu wadah untuk sekumpulan penulis veteran berkumpul, membacakan puisi, menguruskan mesyuarat agung dan bersosial sambil menikmati hidangan ringan.
Persatuan  penulis perlu jadi wadah wacana intelektual

Zainal Abidin (kiri) ketika tampil sebagai panel Sesi Audio Siar Kupas Sastera bertajuk Gerakan Sastera dan Peranan Persatuan Penulis yang disiarkan menerusi laman Facebook rasmi DBP, yang dikendalikan Saifullizan (tengah) dan Ahmad Sayuti. Gambar ihsan DBP

KUALA LUMPUR: Persatuan penulis di Malaysia selalu terperangkap dalam pandangan stereotaip yang mengaitkannya sebagai kelab sastera pasif, iaitu wadah untuk sekumpulan penulis veteran berkumpul, membacakan puisi, menguruskan mesyuarat agung dan bersosial sambil menikmati hidangan ringan.

Bagaimanapun, jika kita menelusuri sejarah ketamadunan bangsa dengan mata hati yang mendalam, sebuah persatuan penulis yang berpaksikan gerakan sastera tulen sebenarnya memikul fungsi yang jauh lebih besar.

Ia adalah sebuah kilang pemikiran, menaungi sasterawan yang bertindak sebagai ejen penggerak serta "pemikir zaman." Malah, sejarah membuktikan bahawa gerakan mencintai bahasa dan sastera di tanah air sentiasa bergerak seiring dengan denyut nadi perjuangan menuntut maruah serta kemerdekaan negara.

Bermula daripada penubuhan Pakatan Belajar Mengajar Pengetahuan Bahasa (PBMPB) di Johor pada tahun 1888, gerakan Sahabat Pena sebelum Perang Dunia Kedua, hinggalah kepada kelahiran Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) yang melaungkan slogan "Sastera Untuk Masyarakat," persatuan penulis tidak pernah bersifat neutral.

Mereka sentiasa berada di barisan hadapan dalam mencorakkan hala tuju sosio-politik dan pemikiran masyarakat.

Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan, berkata ”‹dalam konteks pasca-merdeka dan landskap moden hari ini, peranan itu dipecahkan kepada satu falsafah yang sangat mendalam, adakah persatuan penulis mahu ditakrif oleh zaman, atau mereka yang bangkit untuk mentakrif zaman?

"”‹Sekiranya sesebuah persatuan penulis sekadar memilih untuk 'ditakrif oleh zaman' ia akan menjadi sebuah entiti yang hanyut dan pasif. Ia hanya akan mengikut arus persekitaran, tunduk kepada trend semasa tanpa ada jati diri, dan akhirnya hilang taring dalam mempertahankan prinsip asasi.

"Sebaliknya, sebuah gerakan sastera yang dinamik mesti mempunyai keberanian untuk 'mentakrif zaman', penulis dan kepimpinan persatuan harus menjadi pencorak landskap masa hadapan, memandu pemikiran rakyat, dan memberikan makna serta nilai baru kepada perjuangan budaya berteraskan tiga pilar utama iaitu Bahasa Kebangsaan, Sastera Kebangsaan, dan Kebudayaan Kebangsaan," katanya dalam Sesi Audio Siar Kupas Sastera bertajuk Gerakan Sastera dan Peranan Persatuan Penulis menerusi YouTube Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dimudahcarakan oleh Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, Saifullizan Yahaya dan Editor Tunas Cipta, Ahmad Sayuti Mohd Yusob.

Zainal Abidin berkata, ”‹untuk mempunyai kekuatan mentakrif zaman, persatuan penulis memerlukan sandaran ideologi dan intelektual yang kukuh.

Kekuatan ini tegasnya, tidak hadir daripada ruang kosong, melainkan digali semula daripada khazanah teks-teks sejarah dan naskhah lama Alam Melayu.

Jelasnya dengan mengadunkan kefahaman tekstual bersama data arkeologi dan sains moden persatuan penulis mampu membina naratif keyakinan bahawa kita adalah pewaris bangsa yang besar.

Menurutnya sastera yang lahir daripada kesedaran akar sejarah inilah yang akan membentuk karya berjiwa dan berakar tunjang, bukan sekadar tulisan picisan yang rapuh.

Perakam zaman

Tambahnya lagi”‹, peranan persatuan penulis sebagai perakam semangat zaman (zeitgeist) dibuktikan menerusi penghasilan novel-novel agung tempatan yang lahir daripada rahim sayembara yang dianjurkan oleh badan induk seperti GAPENA.

" Sebagai contoh, novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman karya Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan secara halus merakamkan konflik keperitan masyarakat tradisional Melayu yang sedang mendepani arus pemodenan, yang disimbolkan melalui watak seorang pelipur lara dan kehadiran sebuah radio.

" Begitu juga dengan novel Empangan karya Zakaria Ali yang memaparkan pergolakan jati diri seorang anak muda yang pulang dari luar negara demi mempertahankan integriti serta nilai murni di kampung halamannya.

" Karya-karya seumpama ini membuktikan sastera bertindak sebagai cermin kritikal yang merakam perubahan nilai masyarakat secara kreatif dan intelek,"katanya.

Jelasnya ”‹di era digital dan kebebasan internet masa kini, gerakan sastera mendepani cabaran yang amat getir.

Hal ini katanya kewujudan media sosial mencetuskan kebimbangan terhadap kealpaan generasi muda yang semakin luntur pegangan jati diri dan bahasanya.

Zainal Abidin menegaskan di sinilah persatuan penulis perlu memainkan peranan intervensi bukan dengan cara berpolemik secara emosi atau bersifat eksklusif, tetapi dengan menyediakan wadah perbincangan intelektual (intellectual discourse).

Katanya melalui penganjuran sayembara penulisan bertemakan maruah, kedaulatan, dan masa hadapan bangsa, persatuan penulis berjaya menarik minat anak muda untuk mengekspresikan pemikiran kritis mereka dalam bentuk kreatif yang matang.

"Relevansi gerakan sastera dan persatuan penulis di negara ini tidak pernah pudar selagi landasan kepimpinannya memiliki visi yang futuristik dan komited.

"Persatuan penulis bukanlah sebuah muzium yang menyimpan barang-barang lama yang kaku, tetapi ia medan perjuangan yang sentiasa hidup dan dinamik.

"Dengan terus menyuburkan bakat baharu, mempertahankan kedaulatan bahasa, dan menyongsong arus globalisasi dengan minda yang merdeka, persatuan penulis akan terus kekal relevan sebagai benteng terakhir yang memelihara akal budi, maruah, dan kedaulatan jiwa bangsa,"katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan