BH Online
Ringkasan Berita

120 karya semarak Sayembara Penulisan Puisi Pahang 1st

KUANTAN: Sebanyak 120 puisi diterima sekretariat Sayembara Penulisan Puisi Pahang 1st: Suara Jiwa Anak Pahang anjuran Kelab Deklamator Pahang (KDP) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Pahang, baru-baru.
120 karya semarak Sayembara Penulisan Puisi Pahang 1st

Arul Malik (kiri) menerima hadiah tempat pertama disampaikan oleh EXCO Kerajaan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim. - Foto ihsan KDP

KUANTAN: Sebanyak 120 puisi diterima sekretariat Sayembara Penulisan Puisi Pahang 1st: Suara Jiwa Anak Pahang anjuran Kelab Deklamator Pahang (KDP) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Pahang, baru-baru.

Jumlah itu sangat menggalakkan dan mencerminkan minat masyarakat terhadap seni sastera.

Bertemakan "Aspirasi Pahang 1st", sayembara berkenaan memberi ruang kepada rakyat kelahiran Pahang, anak jati, pemastautin serta mereka yang menetap di negeri ini berusia 18 tahun ke atas untuk menzahirkan pandangan terhadap pembangunan negeri menerusi karya kreatif.

Pengerusi KDP, Amaruszati Noor Rahim berkata, penganjuran sayembara itu adalah langkah awal kelab berkenaan selepas penubuhannya pada Februari 2026.

Katanya, inisiatif itu diwujudkan bagi menyediakan ruang kepada anak-anak Pahang menzahirkan kecintaan terhadap negeri menerusi karya puisi.

"Segala-galanya bermula dengan niat yang murni. Kami mempunyai matlamat yang jelas, bukan untuk bersaing dengan sesiapa.

"Walaupun penganjurannya sederhana, kami berharap ia meninggalkan kesan yang memberi impak kepada pencintanya," katanya.

Amaruszati berkata, KDP juga merancang menghimpunkan karya peserta dalam sebuah antologi puisi sebagai dokumentasi suara kreatif anak-anak Pahang.

Sayembara itu dimenangi Kamarul Arifin Abdul Malik atau Arul Malik yang menerima membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta sijil.

Arul Malik ketika ditemui berkata, puisi yang ditulisnya berjudul Suara Nadi Pahang, dihasilkan berinspirasikan Sungai Tembeling, Sungai Pahang dan gunung-ganang sebagai lambang jati diri masyarakat Pahang.

"Puisi ini menegaskan bahawa kemajuan perlu bergerak seiring dengan pemeliharaan budaya, agama dan nilai tradisi, manakala pendidikan menjadi asas melahirkan generasi yang beretika serta mampu memimpin negeri pada masa hadapan," katanya.

Tempat Naib Johan dimenangi Abdul Rahman Janai atau Kelompen, manakala tempat ketiga menjadi milik Muhammad Basiron Aiman Abdul Rahman.

Empat hadiah saguhati pula dimenangi Norashikin Azmi; Mazfadilah Mat Dewa ; Daniel Irfan Ismail dan Muhammad Asri Karim.

Video Terkini

Berita Berkaitan