KUALA LUMPUR: Sastera yang besar tidak lahir daripada kata-kata yang indah semata-mata. Nilainya diukur melalui gagasan yang dibawa, ilmu yang dikembangkan dan kesannya terhadap cara masyarakat melihat dunia.
Atas dasar itulah konsep Makna Siratan dan Persuratan Baru diketengahkan dalam Sarasehan Sastera: Ilmuwan, Teori dan Terapan (Siri 2) anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).
Meskipun lahir daripada kerangka pemikiran yang berbeza, kedua-dua gagasan itu bertemu pada satu titik yang sama, iaitu mengangkat kembali sastera sebagai wahana ilmu, pemikiran dan pembinaan tamadun.
Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Madya Dr Ariff Mohamad, berkata tradisi kritikan dalam karya Melayu tidak pernah bergantung kepada bahasa yang keras atau kecaman secara terbuka.
Sebaliknya, pengarang memilih perlambangan, metafora, sindiran dan kiasan untuk menyampaikan teguran yang tajam tanpa mengorbankan adab.
"Cara Melayu mengkritik sejak dahulu ialah melalui bahasa yang halus. Kritikan disampaikan secara tersirat dalam bentuk kiasan untuk menjaga adab dan harmoni.
"Pendekatan itu, memperlihatkan kebijaksanaan masyarakat Melayu menggunakan bahasa sebagai jambatan yang merapatkan. Sebab itu, peribahasa seperti menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri atau bagai menarik rambut dalam tepung masih terus hidup kerana kritikan yang dibawanya tidak pernah kehilangan makna," katanya.
Tambah Ariff, hal ini boleh dilihat jelas dalam kajian beliau terhadap lima buah novel politik Melayu, iaitu Sebelas Rejab, Anak Mat Lela Gila, Tunggul-Tunggul Gerigis, Nagogho Astana dan Naratif Ogonshoto.
Katanya, walaupun lahir dalam latar sejarah yang berbeza, kesemuanya memanfaatkan bahasa simbolik untuk mengulas persoalan kepemimpinan, penyalahgunaan kuasa, penjajahan, pertentangan ideologi dan perubahan sosial.
"Makna siratan bukan muncul secara kebetulan, sebaliknya lahir daripada kebijaksanaan pengarang menghubungkan pengalaman hidup dengan seni penceritaan. Berpandukan gagasan Kritika Melayu , makna itu dapat ditelusuri melalui tiga dimensi utama, iaitu perlakuan manusia, peristiwa dan alam.
"Setiap tindakan watak, pilihan latar dan unsur alam membawa lapisan makna yang melangkaui cerita di permukaan. Alam bukan sekadar hiasan naratif, sebaliknya menjadi bahasa simbolik yang menghidupkan kritikan dan pemikiran.
"Dalam konteks itu, pembaca tidak hanya mengikuti jalan cerita, tetapi turut diajak mentafsir, menimbang dan berfikir,"katanya.
Ariff berkata, kekuatan sesebuah karya tidak bergantung pada lambakan ungkapan bombastik atau permainan bahasa yang berlebihan.
Sebaliknya, keindahan bahasa hanya mencapai fungsinya apabila lahir secara organik daripada cerita dan menjadi medium yang memperjelas gagasan, bukannya menenggelamkannya.

Sementara itu, penekanan terhadap hubungan antara estetika dan ilmu itu turut menjadi asas kepada gagasan Persuratan Baru yang dihuraikan Pensyarah, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Zariat Abdul Rani, yang menyebut persoalan paling asas yang perlu dijawab oleh setiap pengarang ialah tujuan seseorang menghasilkan karya.
Katanya, cerita bukan tujuan utama sesebuah karya, tetapi alat untuk menyampaikan ilmu dan pemikiran.
"Gagasan yang diasaskan Mohd Affandi Hassan itu bukan bertujuan mengehadkan kreativiti pengarang, sebaliknya mengajak mereka kembali kepada tradisi persuratan Melayu yang meletakkan ilmu sebagai teras penciptaan.
"Dalam tradisi Melayu-Islam, bahasa berkembang bukan sekadar sebagai medium yang indah, tetapi sebagai bahasa ilmu yang melahirkan kitab, hikayat, syair dan syarah.
"Keindahan bahasa ketika itu sentiasa bergerak seiring dengan penghuraian akidah, falsafah dan pemikiran sehingga membentuk tradisi intelektual yang kukuh," katanya.
Mohd Zariat berkata, perubahan mula berlaku apabila sistem pendidikan kolonial Barat memperkenalkan konsep sastera moden yang bertunjangkan fiksyen realisme. Novel, cerpen dan drama menjadi ukuran utama kesusasteraan, manakala karya yang menumpukan penghuraian ilmu semakin terpinggir. Sedikit demi sedikit, ukuran terhadap karya beralih daripada nilai ilmu kepada kekuatan plot, konflik dan pembangunan watak.
Katanya, atas sebab itu, Persuratan Baru mengembalikan perhatian kepada kedudukan ilmu dalam karya kreatif. Penceritaan tidak ditolak, tetapi berfungsi sebagai alat yang menggerakkan wacana dan pemikiran, bukannya menjadi matlamat akhir sesebuah karya.
Pandangan yang dikongsikan oleh dua sarjana ini memperlihatkan kedua-dua gagasan ini saling melengkapi. Jika Makna Siratan menekankan kebijaksanaan pengarang menyampaikan pemikiran melalui perlambangan dan bahasa simbolik, Persuratan Baru pula mengingatkan bahawa segala siratan itu perlu berpaksikan ilmu yang benar serta gagasan yang tersusun.
Tanpa asas itu, keindahan bahasa hanya tinggal sebagai pesona yang memukau pembaca seketika, tetapi gagal meninggalkan kesan yang berkekalan.
























