BH Online
Ringkasan Berita

"Kemiskinan membentuk saya"

KUALA LUMPUR: Ada penulis mengenali kemiskinan melalui halaman buku, sebahagian yang lain mungkin memerhatikannya dari kejauhan. Namun, bagi pengarang dan dramatis terkemuka, Tan Sri Johan Jaaffar, kemiskinan bukan sekadar bahan cerita, sebaliknya halaman pertama dalam riwayat hidupnya.
"Kemiskinan membentuk saya"

“Sastera dan sasterawan adalah suara sebenar hati nurani kemanusiaan. Suara yang sepatutnya tidak dikelabui oleh sebarang kepentingan dan keperluan” - Tan Sri Johan Jaaffar. Gambar ihsan DBP.

bhsastera@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Ada penulis mengenali kemiskinan melalui halaman buku, sebahagian yang lain mungkin memerhatikannya dari kejauhan. Namun, bagi pengarang dan dramatis terkemuka, Tan Sri Johan Jaaffar, kemiskinan bukan sekadar bahan cerita, sebaliknya halaman pertama dalam riwayat hidupnya.

Malah kemiskinan dan hidup serba kekurangan membentuk keperibadian beliau, selain menjadi sumber utama mencorakkan hampir seluruh dunia kepengarangannya yang menjangkau selama lebih lima dekad.

Johan ketika berkongsi pengalaman menerusi kertas kerja "Kemiskinan Mencorakkan Kepengarangan Saya" sempena Kolokium Sastera: Kajian Kepengarangan Malaysia, anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini menjelaskan, pengalaman hidup itulah yang membentuk perspektifnya sebagai penulis.

"Kemiskinan mencorakkan saya dalam pelbagai hal, termasuk perspektif saya mengenai hidup, bermasyarakat dan pandangan dunia atau worldview, lebih-lebih lagi dalam konteks kepengarangan saya.

"Saya sedar bahawa pada dekad 50-an, 60-an dan pada tahun-tahun 70-an sewaktu saya belajar di Universiti Malaya, orang Melayu masih rata-rata miskin, seperti juga dekad-dekad sebelum itu. Kemiskinan itu relatif tentunya.

"Tetapi cerita kemiskinan orang Melayu menjadi isu dalam sejarah persuratkhabaran Melayu sejak awal dan dalam dunia politik orang Melayu. Nasionalisme Melayu dicorakkan oleh keadaan hidup orang Melayu pada masa itu," katanya.

Berasal dari Kampung Sungai Balang Besar, Muar Johor, pada tahun-tahun beliau membesar, kemiskinan amat sinonim dengan masyarakat Melayu luar bandar. Malah, beliau membesar serba kekurangan dengan bapanya hanya memperoleh upah 35 sen sebagai tukang gunting rambut. Jumlah itu bagaimanapun, ada kala dibayar pelanggan dengan ubi, keladi dan hasil tanaman.

Satu daripada pengalaman hidup miskin yang membentuk seluruh perjalanan hidup dan kepengarangannya, adalah sewaktu tidak mampu membelikan naskhah Utusan Pelajar berharga 25 sen untuk adiknya, Khatijah.

Bagaimanapun di sebalik hidup serba kekurangannya, bapanya membuat kejutan apabila menghantar Johan belajar di sekolah Inggeris, meskipun bapanya itu tidak tahu membaca dan menulis.

"Saya masuk ke sekolah itu dengan hanya tahu tiga perkataan bahasa Inggeris sahaja, yes, no, dan thank you.

"Di sekolah itu, saya diperkenalkan kepada karya-karya William Shakespeare oleh guru yang datang dari England, namanya Mr Gunn," katanya.

Johan berkata, beliau mengenali Shakespeare kerana minat gurunya itu kepada karya pengarang Inggeris berkenaan, malah mungkin itulah pengenalan pertamanya kepada sastera.

Apatah lagi hidup di kampung menyebabkan Johan intim dengan opera Cina juga bangsawan, yang membuat persembahan berbulan-bulan lamanya.

"Saya hidup di tengah masyarakat Jawa yang kebanyakannya datang dari Kabupaten Ponorogo di Jawa Timur. Mereka membawa sekali pelbagai seni budaya asal termasuk kuda kepang, ketoprak, wayang wong dan lain-lain.

"Pengalaman itu menyebabkan saya sentiasa tertarik kepada karya-karya yang mengangkat penderitaan masyarakat," katanya.

Dipengaruhi Shahnon, Samad Said

Selain Shakespeare, Johan turut membaca karya Charles Dickens, Ernest Hemingway, Joseph Conrad dan John Steinbeck sebelum menemui dunia sastera Melayu melalui tulisan Shahnon Ahmad serta A Samad Said.

Katanya, novel Ranjau Sepanjang Jalan memberikan kesan yang mendalam kerana kisah keluarga Lahuma mengingatkan kepada kehidupan masyarakat desa yang pernah dilaluinya. Begitu juga Salina, yang disifatkannya sebagai novel Melayu pertama yang benar-benar membuka cakerawala pemikirannya mengenai kekuatan sastera dalam merakam kehidupan manusia.

Kata Johan, pengaruh itu kemudiannya diterjemahkan dalam karya-karya beliau sendiri. Tema kemiskinan, ketidakadilan sosial dan perjuangan golongan bawahan berulang kali muncul dalam cerpen, drama dan novel yang dihasilkannya.

Hal ini boleh dilihat menerusi pembabitannya dalam dunia teater bermula sejak zaman mahasiswa di Universiti Malaya ketika gerakan mahasiswa lantang memperjuangkan isu rakyat. Suasana politik kampus pada pertengahan 1970-an memperkukuhkan lagi keyakinannya bahawa sastera tidak boleh dipisahkan daripada masyarakat.

Hal itu turut mempengaruhi dunia kreatifnya, yang menyaksikan lahirnya novel Warna Tinta pada 1976 yang merakamkan mengenai gerakan pelajar tahun 1974 di UM. Novel itu adalah satu daripada tiga boleh novel yang ditulis Johan.

Meskipun dikenali sebagai pengarang dan dramatis, Johan adalah insan seni unik kerana beliau turut dikenali sebagai wartawan dan tokoh korporat. Johan pernah menerajui Dewan Bahasa dan Pustaka, Utusan Malaysia juga Media Prima Berhad, namun dalam kesibukan tugasnya dunia sastera tidak pernah jauh.

"Bagi saya sastera dan sasterawan adalah suara sebenar hati nurani kemanusiaan. Suara yang sepatutnya tidak dikelabui oleh sebarang kepentingan dan keperluan.

"Kita harus memberikan suara bagi yang tiada suara. Bagi saya itulah tugas utama sastera dan makna sebenar kepengarangan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan