BH Online
Ringkasan Berita

Cerpen BH Ahad: Hanya 1.25

Kampus Sintok
Cerpen BH Ahad: Hanya 1.25

Kampus Sintok

Bacul. Dayus. Bakhil. Kata-kata itu terpacul di bibirnya dalam nada perlahan. Kata-kata itu meresap dalam fikirannya tanpa dapat ditahan-tahan. Mengapa kata-kata itu yang terlintas, dan melayar di mata dan pendengaran? Bukankah kata-kata itu ungkapan yang jelek, jijik dan menjengkelkan. Sejak kecil kata-kata itu pantang sekali dituturkan di hadapan ibu, ayah dan nenek moyang. Tetapi mengapa kata-kata itu datang berulang-ulang? Apakah dosanya pada orang sekeliling?

Telah lama dia tidak membuka al-Quran. Telah lama dia tidak mengalunkan ayat-ayat suci yang termaktub dalam kalamullah ditinggalkan pejuang agamawan. Telah lama dia tidak mengenggam kitabullah kerana kesibukan yang tidak kunjung padam. Walhal sejak kecil dia diasuh dengan kalungan, dan timbunan ayat-ayat suci al-Quran. Tok abahnya bukan calang-calang. Tok abahnya guru mengaji al-Quran. Tok abahnya dikenali di kampung sebagai bilal yang enak suara tiada tandingan.

Bacul. Dayus. Bakhil. Kata-kata itu masih terlayar di mata, dan tidak mahu beredar daripada pandangan. Ungkapan itu berulang-ulang dibisikkan di pendengaran. Rabb, bantu hamba-Mu. Apakah dosa saya? Apakah khilaf saya? Di kampus Sintok ini saya merayu sungguh-sungguh, mohon keluarkan saya daripada kemelut durjana yang singgah tanpa disangka.

Kami tuntut hak (i)

Bagai berada di sebuah mahkamah untuk menentukan hari hukuman. Bagai berada di sebuah pentas yang akan menelanjangkan segala kelemahan. Bagai berada di sebuah daerah yang sunyi meninjau kesesuaian persekitaran. Dia termangu-mangu dalam kelam mencemaskan. Dia terpinga-pinga dalam kelibut merimaskan. Asap tetiba berkepul-kepul keluar dari sebuah gua yang dihiasi sekarung intan dan berlian. Dia teruja, dan sangat mengghairahkan. Sekarung perhiasan yang sangat diidamkan. Intan dan permata yang berkilauan. Dia memang mendambakan. Sekian lama intan dan permata itu yang diinginkan tetapi tidak pernah dipenuhi permintaan. Pernah dia berseloroh dengan pasangan yang dinikahnya selama 30 tahun usia perkahwinan, tetapi tidak pernah dipenuhi harapan. Pernah dia mengusik dengan lelaki yang ditakdirkan jodoh sejak anak pertama sehingga ketiga, namun tidak pernah kesampaian. Harapan, dan permintaannya sering kali dibiarkan bertebaran seakan-akan angin berterbangan.

Dia sangat tertekan. Dia sangat tidak dapat menerima kenyataan. Dia yang ditatang bagai minyak yang penuh sejak kecil oleh moyang, dan Tok abah amat dirasakan ketidakadilan. Moyang Saleeh dan Tok abah Ridhwan sangat menjulang dirinya sebagai anak perempuan tunggal dalam keluarga dengan sarat kasih-sayang. Moyang Saleeh dan Tok abah Ridhwan yang berpendidikan agama sangat memartabat golongan wanita sebagaimana yang terungkap dalam surah an-Nisa' dalam al-Quran. Moyang Saleeh dan Tok Abah Ridhwan yang mengasuh dirinya supaya mencintai al-Quran sebagaimana sarat kisah ibrah tentang wanita yang wajar diperhatikan. Nama-nama wanita kental dan takwa seperti Maryam, Balqis, Asiyah yang disebut dalam beberapa surah telah dikisahkan Moyang Saleeh dan Tok Abah Ridhwan dengan menginsafkan. Ya, dia faham kisah yang dirangkaikan. Kala usianya baharu belasan tetapi dia telah mengerti dan memahami kisah-kisah dalam al-Quran untuk dijadikan panduan dan pedoman. Dia sangat menyenangi nama Maryam, Balqis dan Asiyah sehingga mempengaruhi dirinya untuk menamakan wanita mulia itu kepada dua perempuan anaknya. Ya, Maryam dan Balqis yang kini berusia dua puluhan merupakan nama yang dipilih bersandarkan kisah-kisah dalam al-Quran yang pernah diceritakan Moyang Saleeh dan Tok Abah Ridhwan.

Tetapi mengapa kedua-dua anaknya itu tidak berakhlak seperti Maryam dan Balqis sebagaimana dalam kisah ibrah? Mengapa Maryam dan Balqis sering mengenakan baju-baju yang mencolok mata, dan sesekali mengadun wajah masing-masing dengan calitan warna biru, merah, kuning untuk menjadi rupawan? Sedangkan dia tidak pernah mengajar kedua-dua anak gadisnya untuk berdandan bagai seorang pengantin tatkala keluar rumah, atau ke kelas di kampus nan permai? Adakah kerana dia tidak tegas dalam mengasuh anak-anak perempuan? Adakah kerana dia sendiri yang asyik mengenakan calitan di bibir dan mata selain minyak wangi di badan dengan niat untuk disenangi orang atasan yang menyebabkan kedua-dua puterinya mengekorinya berbuat demikian?

Tabaruj. Dia tahu istilah itu sejak alam persekolahan menengah, dan memahaminya sejak tahun akhir pengajian. Lelaki yang dipilihnya untuk menjadi teman sebantal pernah bersyarah panjang lebar sebelum enam bulan mereka diijab kabulkan. Musabab itu majlis perkahwinannya sangat sederhana, dan dilakukan secara kecil-kecilan. Walaupun dia anak perempuan tunggal yang sangat disayangi dan dikasihi moyang Saleeh dan tok abah Ridhwan, namun kerana permintaan ayah kepada Maryam dan Balqis, walimah 30 tahun lalu berjalan secara tertutup, dan hanya dihadiri sanak saudara sahaja. Kala itu dia sangat kecewa lantaran dia membayangkan sebuah majlis gilang gemilang dengan busana yang mengasyikkan. Bukankah dia puteri rupawan dalam keluarga susur galur Pattani, dan Minang?

Kami menuntut hak kami. Kami menuntut hak kami. Kami menuntut hak kami. Ungkapan itu yang datang berulang-ulang. Telah tiga hari berturut-turut lenanya diganggu. Telah tiga hari berturut-turut wajah Profesor Dr Naquib, mantan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa itu bertandang memenuhi kamar kerjanya sehingga mengganggu malamnya. Berikan keadilan, mohon berikan keadilan kepada mereka yang menuntut. Kalau itulah hak mereka, mengapa menafikan? Kalau itulah hak mereka atas keupayaannya mengapa mahu mencantasnya? Kalau itulah kemampuannya menguruskan hal-hal ilmiah, dan akademia mengapa mahu menidakkannya?

Dia menangis. Air matanya merembes laju. Dia ingkar nasihat lelaki yang dinikahinya. Dia lupa titipan kata-kata moyang Saleeh dan tok abah Ridhwan yang telah sekian lama mendorongnya menjadi wanita muslimah dan solehah. Tatkala dia menjadi ketua di sebuah fakulti, dia merasakan dialah wanita sempurna. Tatkala dia menjadi pemimpin di sebuah universiti, dia merasakan dialah wanita hebat ketimbang yang lainnya. Maka, sejak itu dia sering kali hilang pertimbangan. Maka, sejak itu dia sering kali tewas dengan pujuk rayu manusia di sekeliling yang memuji dan memujanya.

Rabb, ampuni saya!

Kami tuntut hak (ii)

Dia tiada daya upaya. Kepalanya berat, dan seakan-akan dunia berputar dengan ligatnya. Bacaan darah tingginya sangat luar biasa. Walhal sebelum ini dia tidak pernah mengalami sakit sebagaimana sahabat-sahabat seusianya. Dia sering kali kelihatan anggun daripada segi pemakaian, dan calitan wajah yang menyebabkan kaum selawannya memandang dua kali atau tiga kali. Dia tersihir dengan dunia kecantikan dan kemewahan. Sekarung intan dan permata yang pernah dihadiahkan sama ada pelajar atau lelaki yang memujanya sangat dia hargai, dan sanjung tinggi. Itu yang menjadi idamannya sejak lelaki yang dinikahinya tidak pernah memenuhi permintaannya. Corak baju berwarna warni yang diberikan sahabat-sahabat sekampus yang menganggapnya umpama bidadari jelmaan syurga amat dia senangi, dan gilai. Dia menyambut pemberian mereka kerana tertekan dengan pasangan yang dinikahinya selama 30 tahun tetapi tidak pernah menyokong kehendaknya dalam berpakaian, dan mencalit wajah dengan warna warni yang diminati.

Kami tuntut hak kami, kami tuntut hak kami, kami tuntut hak kami. Dia tersentak daripada lena yang panjang. Saya di mana? Di mana saya sekarang? Mengapa suara itu datang? Mengapa suara itu menganggu lenanya yang panjang? Dia lelah sejak urusan persaraannya makin hampir ke garis penamat. Dia tertekan berdepan dengan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan, Inovasi dan Jaringan yang terlalu tegas dan memiliki karisma tersendiri. Ketimbang pemimpin sebelum ini yang dapat ditawaninya dengan senyuman dan haruman wangian yang dibeli di Paris yang wajib disembur ketika mesyuarat senat, dan pengurusan.

Dia wanita rupawan. Dia wanita yang digilai ramai orang. Dia tersihir dengan dunia yang sementara. Maryam dan Balqis, mohon usah ikut jejak mama. Lelaki utusan Tuhan, mohon pandu diri ini untuk ke syurga.

Rabb, mohon ampuni saya!

Kami tuntut hak (iii)

Barangkali doa orang teraniaya di makbul-Nya. Barangkali doa orang menangis di hadapan Rabuljalil, sangat mustajab berbanding dirinya. Setiap kali menghadap cermin, dia merasakan kekurangan diri. Wajahnya bukanlah seperti digilai ramai orang. Akhlaknya bukanlah sebagaimana disanjung di kampus. Apatah lagi penampilan dirinya yang kelihatan anggun, dan bergaya saat keluar dari kereta BMW sandiwara semata-mata. Di rumah, dia isteri ingkar dan derhaka, di rumah dia ibu tidak memahami keluh kesah anak-anaknya. Di rumah, dia bukanlah pemimpin petah berhujah di bilik senat, dan mesyuarat pengurusan. Di rumah, dia bukanlah ketua bijak mengendalikan masalah keluarga. Maryam dan Balqis yang hilang entah ke mana sejak berpeluang menyambung pengajian di kolej swasta amat mendukacitakannya.

Kami menuntut hak, mengapa menganiaya kami? Kami menuntut hak, mengapa menidakkan markah kami? Kami menuntut hak, mengapa tergamak menukar markah kami? Apakah khilaf kami? Mengapa kami menjadi mangsa? Mengapa kami menjadi sasarannya? Adilkah buat kami? Berulang kali suara itu menerjah gegendang telinga. Berulang kali suara itu mengganggu lena.

Maryam dan Balqis, bantu mama. Satu-satunya anak lelaki mama, di mana dikau? Mengapa Firdaus tidak hadir kala mama memerlukannya? Mengapa Firdaus menjauhkan diri saat mama terhimpit, dan tersepit? Mama perlukan dukungan Maryam, Balqis dan Firdaus. Bukankah kalian dilahirkan daripada rahim mama? Tahukah kalian nama-nama indah yang diberikan merupakan nama dipilih daripada ibrah al-Quran? Tahukah kalian moyang Saleeh dan tok abah Ridhwan mengasuh mama mencintai kalamullah untuk menjadi muslimah, dan solehah?

Degil. Lagha. Tersihir. Tiga kata-kata yang paling tepat ditujukan kepadanya. Sejak ditakdirkan menjadi pemimpin sebuah fakulti. Sejak diberi peluang menjadi ketua kepada 100 orang pensyarah di sebuah universiti. Dia degil, lagha dan tersihir dengan nikmat dunia. Dia degil, lagha dan tersihir dengan sanjungan, pujian dan pujaan manusia sekeliling. Rabb, masihkah sempat bertaubat? Rabb, masih sempatkah memohon maaf daripada mereka yang dianiayakan? Mahu dicari mereka di mana kini? Mahu dihubungi mereka di mana sejak sebahagiannya telah bersara. Hati mereka luka, diri lelah, fikiran kacau sejak dihunjam dengan markah tahunan teruk, dan penilaian buruk oleh diri yang sarat kelemahan dan kekhilafan. Buruknya diri saat berdepan dengan tekanan perasaan. Teruknya diri kala menilai orang lain dengan tanggapan hanyir, dan loya. Sedangkan diri berbau hamis, dengan celana koyak di sana sini.

Allah Ya Raqib, mohon awasi diri. Allah Ya Mujib, mohon perkenan doa ini. Mahu bertemu moyang Saleeh dan tok abah Ridhwan walaupun seketika. Mahu menadah kata-kata nasihatnya yang telah sirna sejak diri hanyut dengan pangkat dan kuasa.

Kampus Bachok

Bacul. Dayus. Bakhil. Masih kata-kata itu mengganggunya. Keberangkatannya ke Tanah Suci tidak beberapa lama lagi. Dia libang libu mahu pergi atau membatalkan tiketnya. Dia sarat dosa. Dia bimbang kala menjadi tetamu-Nya diuji. Markah 1.25 yang dituntut oleh seorang wanita mulia yang telah meninggal dunia kala menunaikan ibadah haji setahun lalu begitu menghantuinya.

Rabb, ampuninya. Zulhijjah, cuci segala karat dosa. Dia mahu menjadi isteri dan ibu sebagaimana Maryam, dan Balqis yang kisahnya indah dalam al-Quran pegangan umat manusia.

- Pengarang asal Terengganu ini bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia.

Nota: Pengarang kreatif dipelawa menghantar cerpen dan puisi ke halaman Sanggar Sastera, Perspektif, BH Ahad melalui e-mel bhsastera@bh.com.my. Sertakan biodata, nombor kad pengenalan, alamat lengkap, nombor telefon, gambar serta nombor akaun. Cerpen mestilah antara 1500-2000 patah perkataan dan tiada bayaran untuk karya tanpa maklumat lengkap.

Video Terkini

Berita Berkaitan