BH Online
Ringkasan Berita

Menulis tanpa formula, dunia kreatif Anwar Ridhwan

KUALA LUMPUR: Proses kreatif seseorang penulis selalu menjadi sorotan khalayak sastera, terutama jika beliau adalah pengarang besar dan ternama.
Menulis tanpa formula, dunia kreatif Anwar Ridhwan

“Setiap karya lahir daripada keadaan yang berbeza. Seorang penulis tidak menggunakan pendekatan yang sama untuk semua teks” - Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan.

KUALA LUMPUR: Proses kreatif seseorang penulis selalu menjadi sorotan khalayak sastera, terutama jika beliau adalah pengarang besar dan ternama.

Bagaimanapun bagi Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan, hal sebegitu agak berat untuk dilakukan kerana berpandangan, proses kreatif adalah sesuatu yang sangat peribadi, dan hampir seperti mendedahkan dunia dalaman sendiri.

Anwar berkata, proses kreatif bergantung pada intuisi, perasaan, dan pengalaman bawah sedar penulis, setiap karya lahir dengan cara yang berbeza dan tidak boleh diikat kepada satu formula sahaja.

Justeru katanya, apabila penulis terlalu banyak menerangkan bagaimana dia menulis, magis dalam karya itu boleh hilang. Karya jadi kurang misteri dan akibatnya, pembaca juga tidak lagi bebas untuk mentafsir sendiri cerita itu kerana semuanya sudah dijelaskan.

"Setiap karya lahir daripada keadaan yang berbeza. Seorang penulis tidak menggunakan pendekatan yang sama untuk semua teks, sama seperti manusia tidak berfikir dengan cara yang seragam dalam setiap situasi.

"Jujurnya, saya lebih selesa membiarkan pembaca membayangkan sendiri bagaimana sesebuah karya itu tercipta, kerana imaginasi pembaca juga adalah sebahagian daripada kehidupan teks itu," katanya semasa membentangkan kertas kerja, "Bermula dari sebuah dunia kecil" di Kolokium Sastera: Kajian Kepengarangan Pengarang Malaysia, anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini.

Anwar yang dinamakan sebagai Sasterawan Negara ke-10 pada 2009, berkata perjalanannya dalam kesusasteraan bermula pada usia remaja dengan sebuah puisi "Dunia Kecil"

Namun katanya, puisi bukan genre yang mudah.

"Bagi saya menghasilkan puisi itu amat sukar, dan inilah genre yang saya khuatir memasuki gelanggangnya.

"Sehingga kini saya hanya menghasilkan tiga kumpulan puisi iaitu Tercipta dari Tanah (1984), Tercipta dari Tanya (2013) dan Tercipta dari Kala (2024) ," katanya.

Kongsinya, puisi yang baik memerlukan seaneka ketepatan, dengan setiap diksi membawa kesan emosi dan akal, irama, bunyi, serta makna.

"Tidak seperti cerpen dan novel, puisi tidak mempunyai ruang panjang, justeru jika ada satu sahaja perkataan yang lemah, itu boleh mencairkan kepejalan keseluruhan bahagian puisi," katanya.

Bagaimanapun, bertitik tolak daripada sebuah puisi itu, Anwar kemudiannya berkembang ke dunia cerpen yang lebih terstruktur dan sebelum melebarkan sayap menulis novel.

"Saya lebih gembira menulis novel atau cerpen ketimbang puisi, walaupun dua genre ini lebih panjang dan memerlukan lebih banyak masa untuk menghasilkannya.

"Semakin lama saya menulis, semakin terasa keperluan untuk ruang yang lebih luas daripada bentuk cerpen. Hal ini akhirnya menemukan saya dengan naratif yang lebih panjang dan kompleks, membolehkan setiap episod berdiri sendiri tetapi tetap membentuk satu dunia yang padu," katanya.

Kongsi Anwar, dalam ruang itulah beliau mengembangkan pendekatan lebih simbolik, seperti dapat dilihat dalam Naratif Ogonshoto, apabila bab-bab tertentu boleh dibaca sebagai cerita lengkap tetapi juga sebahagian daripada keseluruhan yang lebih besar.

Berkongsi lanjut, katanya pengalaman hidup sebagai bahan penting dalam penulisan, tetapi bukan sebagai bahan mentah yang dipindahkan secara langsung.

Sebaliknya, pengalaman perlu ditapis, diubah dan diolah supaya tidak terikat kepada diri pengarang semata-mata.

"Dalam banyak karya saya, serpihan pengalaman dari pelbagai tempat dan suasana dimasukkan secara halus, tetapi akhirnya dibentuk menjadi sesuatu yang lebih universal.

"Dengan cara itu, karya tidak lagi sekadar mencerminkan individu, tetapi mencerminkan manusia secara lebih luas.

"Serpihan-serpihan pengalaman hidup, saya letak di sana sini dalam landskap penceritaan beberapa cereka saya, terutamanya yang berlatar belakang Hong Kong, New York, Beijing dan Moscow umpamanya, antaranya dalam cerpen "Lintah"," katanya.

Mengangkat kemanusiaan

Tambahnya, karya-karya itu adalah adunan antara pengalaman peribadi dengan fiksyen, tetapi kesan yang ingin diapungkan bukanlah sesuatu yang personal, sebaliknya sesuatu yang psikologikal, berdimensi budaya atau cuba mengangkat unsur kemanusiaannya.

"Sebagai penulis saya bersetuju dengan pendapat bahawa berpegang terlalu rapat dengan pengalaman sendiri menyekat imaginasi. Ini kerana fiksyen menawarkan kebebasan untuk mencipta dunia, membentuk semula realiti dan meneroka perspektif di luar diri.

"Terdapat juga dilema etika dalam hal ini, kehidupan sebenar membabitkan peribadi orang lain. Memaparkan mereka walaupun rekaan, boleh merenggangkan hubungan atau menimbulkan persoalan maruah umpamanya," katanya.

Justeru kata Anwar, dalam cereka yang dihasilkan beliau mengadunkan realiti dengan fiksyen, imbangannya ialah dengan meminjam kebenaran emosi daripada kehidupannya sendiri, sambil mengubah fakta menjadi sesuatu yang kurang terdedah.

Jadi, cerpen-cerpen yang dihasilkan adalah 'jigsaw puzzle' pengalaman, bukan perjalanan kehidupan.

Kata Anwar, akhirnya pemikiran ialah unsur yang memberi jiwa kepada sesebuah karya sastera. Pemikiran dalam karya bukan sekadar cerita biasa, tetapi menjadi naratif yang kekal dalam ingatan pembaca.

Video Terkini

Berita Berkaitan