BH Online
Ringkasan Berita

Festival Sastera Kanak-kanak: Pelaburan budaya masa depan

Di tengah-tengah hiruk-pikuk dunia digital hari ini, kita sering berbicara berkenaan kecerdasan buatan, teknologi masa hadapan, dan perubahan cara manusia berfikir. Namun, di sebalik segala kemajuan itu, ada satu perkara yang tidak pernah berubah sejak zaman berzaman, iaitu anak-anak kita tetap membesar melalui cerita.
Festival Sastera Kanak-kanak: Pelaburan budaya masa depan

Minat membaca yang disemai sejak kecil membuka pintu ilmu, membentuk imaginasi dan melahirkan generasi yang berfikir jauh serta berdaya saing

Di tengah-tengah hiruk-pikuk dunia digital hari ini, kita sering berbicara berkenaan kecerdasan buatan, teknologi masa hadapan, dan perubahan cara manusia berfikir. Namun, di sebalik segala kemajuan itu, ada satu perkara yang tidak pernah berubah sejak zaman berzaman, iaitu anak-anak kita tetap membesar melalui cerita.

Cerita adalah rumah pertama bagi imaginasi manusia. Sebelum seorang anak mengenal algoritma dan skrin sentuh, dia terlebih dahulu mengenal dunia melalui suara yang membacakan cerita sebelum tidur, melalui warna pada halaman buku, dan melalui watak-watak kecil yang mengajarnya berkenaan keberanian, kasih sayang, persahabatan, dan harapan.

Sebab itulah Festival Sastera Kanak-kanak (FSK) yang berlangsung sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 4 dan 5 Jun 2026 nanti, bukan sekadar sebuah acara sampingan untuk kanak-kanak. FSK adalah sebuah ikhtiar budaya. Ia menjadi usaha untuk mengembalikan manusia kepada asas pembentukan tamadun, iaitu membaca, bercerita, dan berimaginasi.

FSK adalah idea yang dicetuskan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, untuk diadakan semasa PBAKL. Ia sebagai usaha memperkukuh budaya membaca dan literasi kanak-kanak dalam suasana yang lebih hidup, terbuka, dan dekat dengan masyarakat.

Dalam dunia yang semakin pantas dan dipenuhi paparan visual, anak-anak hari ini membesar dalam persekitaran yang sangat berbeza daripada generasi terdahulu. Cabaran besar kita adalah memastikan mereka terus mampu berfikir secara mendalam, memiliki rasa empati, dan memahami bahasa sebagai alat untuk mengenal makna kehidupan.

Buku kanak-kanak bukan sekadar bahan hiburan. Di dalamnya terkandung latihan emosi, pembinaan kosa kata, disiplin imaginasi, dan pembentukan jiwa.

cikgu ajar baca
Membaca sejak kecil membina dunia tanpa batas, mengasah fikiran dan membentuk jiwa yang cinta ilmu sepanjang hayat.

Sasterawan Negara, Datuk Dr Anwar Ridhwan dalam bukunya Potpuri Budaya, Sastera & Seni (2016) menjelaskan bahawa penulisan kreatif untuk golongan kanak-kanak dan remaja adalah usaha yang murni dan amat penting. Pada tahap usia itulah rasa ingin tahu mereka mula dicorakkan melalui kata, rupa, dan warna yang memperkenalkan mereka kepada dunia manusia, peristiwa, serta pelbagai idea.

Beliau turut mengingatkan bahawa perkembangan emosi, citra pemikiran, dan kebijaksanaan seseorang apabila dewasa sebahagiannya berpunca daripada karya kreatif yang pernah dibaca dan dihayati sejak kecil.

Pandangan itu membawa makna yang sangat besar. Kita mungkin terlalu mudah melihat buku kanak-kanak sebagai sesuatu yang kecil dan ringan, sedangkan daripada halaman-halaman kecil itulah lahir manusia dewasa yang akan memimpin negara suatu hari nanti.

Sebuah buku bergambar yang sederhana mungkin menjadi titik awal seorang anak belajar memahami belas ihsan, keberanian, dan nilai kemanusiaan.

FSK lahir daripada kesedaran bahawa budaya membaca tidak boleh dibina hanya melalui slogan. Ia perlu diraikan sebagai pengalaman hidup. Atas sebab itu, FSK di PBAKL 2026 menghimpunkan pelbagai aktiviti seperti sesi Mari Bercerita, Pertandingan Bercerita, Melukis dan Mewarna, Malam Baca Puisi PENA Cilik, serta bual bicara buku bergambar bersama-sama penulis dan ilustrator tanah air.

Apa yang lebih penting, festival ini mempertemukan kanak-kanak secara langsung dengan dunia penciptaan cerita. Mereka bukan sahaja membaca buku, malah turut melihat bagaimana sebuah cerita lahir daripada imaginasi, bahasa, lukisan, dan suara manusia.

Dalam buku yang sama, Anwar turut menyentuh mengenai bahasa penceritaan yang perlu disesuaikan dengan tahap pemikiran kanak-kanak dan remaja, bukan sahaja dari sudut perbendaharaan kata dan ritma bahasa, malah terangkum dari segi unsur kepuitisan dan kebolehbacaannya.

Nuansa bahasa

Melalui penceritaan, kanak-kanak sebenarnya sedang menjelajah nuansa bahasa untuk memahami bahawa bahasa mampu membawa mereka mengenali dunia manusia, peristiwa, dan pelbagai pemikiran.

Bahasa yang indah adalah jambatan pertama kepada pemikiran yang matang. Kanak-kanak yang dibesarkan dengan buku dan cerita lazimnya membesar dengan daya fikir yang lebih luas, kepekaan emosi yang lebih halus, dan keyakinan diri yang lebih kuat.

Maka PBAKL sendiri tidak harus dilihat sekadar pesta jualan buku tahunan. Lebih besar daripada itu, ia adalah ruang kebudayaan bangsa. Di sinilah penulis, penerbit, guru, ibu bapa, ilustrator, dan pembaca dipertemukan dalam satu ekosistem ilmu. Kehadiran FSK dalam PBAKL 2026 membawa makna bahawa pembinaan budaya membaca mesti bermula sejak usia paling awal.

Malaysia ketara sedang memperkukuh budaya membaca melalui pelbagai inisiatif pendidikan dan industri buku. Dalam kerangka Malaysia MADANI, pembangunan negara tidak hanya diukur melalui bangunan dan teknologi, malah melalui keupayaan rakyatnya berfikir, membaca, dan membina nilai kemanusiaan.

Justeru, pelaburan terhadap sastera kanak-kanak sebenarnya pelaburan jangka panjang terhadap masa hadapan negara. Sebuah bangsa yang anak-anaknya dekat dengan buku adalah bangsa yang memiliki peluang lebih besar untuk menjadi masyarakat berilmu, beradab, dan berdaya cipta.

Kita harus percaya bahawa masa hadapan bangsa tidak bermula di menara-menara tinggi atau makmal teknologi semata-mata. Masa hadapan bangsa sering bermula secara senyap, di tangan kecil seorang kanak-kanak yang sedang membuka halaman pertama sebuah buku, lalu menemukan dunia pertamanya melalui sebuah cerita.

- Penulis adalah Penasihat Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2026

Video Terkini

Berita Berkaitan