BH Online
Ringkasan Berita

Layak, tetapi terlewat

KUALA LUMPUR: Adakah penganugerahan Anugerah Sastera Negara kepada Allahyarham Dr Abd Rahman Napiah atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana, dianggap pengiktirafan yang sewajarnya, meskipun dilihat sangat terlewat?
Layak, tetapi terlewat

Allahyarham Dr Abdul Rahman Napiah atau Mana Sikana dipilih sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-16.

KUALA LUMPUR: Adakah penganugerahan Anugerah Sastera Negara kepada Allahyarham Dr Abd Rahman Napiah atau lebih dikenali sebagai Mana Sikana, dianggap pengiktirafan yang sewajarnya, meskipun dilihat sangat terlewat?

Sejak pengumuman itu Selasa lalu, yang menyaksikan Mana Sikana dinamakan sebagai Sasterawan Negara ke-16, polemik mengenainya panas di media sosial dan pelbagai pandangan diajukan termasuk mengenai peluang dan ruang yang seharusnya diberikan kepada pengarang sama handalnya tetapi masih hidup.

Mengulas hal ini, Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Ariff Mohamad, berkata keputusan berkenaan tidak mengejutkan jika bersandarkan ketokohan allahyarham, hanya saja Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) lewat mengumumkannya.

"Kelewatan ini mungkin berpunca daripada birokrasi dan pengurusan jawatankuasa yang hanya difahami pihak terbabit.

"Masyarakat luar hanya menilai dan mendapat maklumat, manakala keputusan ini tanggungjawab DBP.

"Namun, dari segi ketokohannya, Mana Sikana sangat layak, dan harapnya hal seperti ini tidak berlaku lagi," katanya kepada BH

Ariff berkata, sejak beberapa tahun lalu khabar angin pencalonan Mana Sikana sebagai Sasterawan Negara sudah kedengaran, malah sebagai pengarang kelahiran Perak, beliau adalah antara pengarang berbakat negeri itu yang selayaknya mendapat penganugerahan berkenaan.

Selain Mana Sikana, antara pengarang handalan Perak yang 'tertinggal' dalam penganugerahan Sasterawan Negara termasuklah Allahyarham Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk.

BHariff
Ariff Mohamad

Konsep sastera junjungan

Kata Ariff, Mana Sikana paling tekun menulis buku teori dan kritikan yang kekal menjadi rujukan. Malah beliau dikenali sebagai pengasas dan pelopor teori-teori sastera tempatan, antaranya taabudiyah, intertekstualisme selain memperkenalkan konsep sastera junjungan.

"Namun Mana Sikana juga banyak menghasilkan karya kreatif, misalnya novel Syajar, Ronjang, Klimaks dan Kesesatan. Tiga novel ini bukan terbitan DBP, dan seharusnya dicetak semula.

"Almarhum juga banyak menulis drama, antaranya 'Tok Awang' dan 'Pasir di Pasir Salak' dan banyak lagi tajuk lain, manakala kumpulan cerpennya yang terkenal 'Fakurdabakia.

"Beliau adalah karyawan, sasterawan dan sarjana sejati. Kalau orang mahu mencari siapakah sarjana intelektual bangsa, inilah orangnya," katanya.

Kata Ariff, kesusasteraan adalah hasil pemikiran, bukan diukur pada material semasa. Ia juga bukan semata-mata sanjungan individu walaupun ada keperluan sebegitu, tetapi sebagai inspirasi dan cara kagum serta hormat.

bhFADHLINASASTERA
Fadhlina Sidek pada sidang media Anugerah Sastera Negara ke-16, di Putrajaya, baru-baru ini. (Foto BERNAMA)

"Setiap karya Sasterawan Negara itu perlu dibaca dan dinilai kekuatannnya," katanya.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek ketika mengumumkan penganugerahan berkenaan berkata, keputusan pemilihan itu sudah dibuat pada 14 April 2025, namun Mana Sikana meninggal dunia pada 26 Mei tahun yang sama.

Katanya, sehubungan dengan itu Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Januari lalu meluluskan syor DBP berhubung pindaan terhadap Tatacara Kerja Anugerah Sastera Negara.

"Pindaan ini membolehkan calon yang meninggal dunia dalam tempoh penilaian atau pemilihan,

masih layak dinilai dan dipertimbangkan untuk menerima anugerah ini.

"Penting untuk ditegaskan bahawa asas penilaian Anugerah Sastera Negara adalah terhadap sumbangan karya dan pemikiran tokoh sepanjang hayatnya.

"Walaupun jasad tokoh telah tiada, karya dan pemikiran yang ditinggalkan akan terus hidup dan memberi manfaat kepada masyarakat serta generasi akan datang sebagai khazanah ilmu dan budaya bangsa," katanya.

BHsikanapenulisan
Antara karya peninggalan Mana Sikana.

Konsisten hasilkan karya kreatif

Pemilihan itu juga dibuat dibuat berdasarkan ketokohan beliau sebagai sasterawan yang prolifik dan konsisten menghasilkan karya kreatif yang bermutu tinggi sepanjang kerjayanya.

Sumbangan beliau merangkumi pelbagai genre, termasuk cerpen, novel dan drama yang

sarat dengan pemikiran kritis, nilai kemanusiaan serta kepekaan terhadap realiti sosial. Karya-karya beliau menampilkan pendekatan yang berani dan inovatif, sekali gus memperkayakan bentuk serta estetika penceritaan dalam kesusasteraan Melayu moden.

Mana Sikana yang meninggal dunia dalam usia 80 tahun berasal dari Bagan Serai, Perak. Langkah awalnya menjadi Sasterawan Negara bermula dengan cerpen bertajuk "Kawan yang Berbudi dan Berduri" tersiar dalam Berita Harian pada tahun 1964, ketika menuntut di Sekolah Menengah Izzudin Shah, Ipoh.

Cerpen itu membawanya ke pentas anugerah apabila memenangi cerpen pilihan terbaik Berita Harian, dan menerima hadiah RM100. Sehubungan itu Sekolah Menengah Izzuddin Shah mengumumkan cuti sehari kepada pelajarnya, sebagai tanda meraikan kejayaan berkenaan.

Video Terkini

Berita Berkaitan