KUALA LUMPUR: Siapakah yang akan dinamakan sebagai Sasterawan Negara ke-16? Soalan panas itu berlegar-legar dalam kalangan khalayak sastera sejak awal minggu ini susulan promosi giat yang dijalankan oleh sekretariat penganjur, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pengumuman Sasterawan Negara (SN) kerap disambut kontroversi oleh segelintir khalayak sastera, justeru adakah kali ini ia akan mengulang sejarah serupa atau diterima dengan lapang dada?
Umumnya setiap kali menjelang pemilihan SN, terdapat banyak nama pengarang besar dan pengaruh akan disebut-sebut oleh media, sarjana, pembaca malah khalayak sastera sendiri sebagai cara mereka menghargai penulis.
Antara yang kerap disebut tentunya barisan penerima Anugerah Sastera Asia Tenggara (SEA Write) seperti Zaen Kasturi, SM Zakir, Azmah Nordin, Jong Chian Lai, Datuk Jasni Matlani, Lim Swee Tin, Abizai selain pengarang mapan dan berwibawa seperti Dr Fatimah Busu, Zainal Rashid Ahmad juga Faisal Tehrani.
Sementara itu, sebelum ini juga barisan sarjana dan pengkritik sastera juga kerap dipetik sebagai antara mereka yang berpotensi untuk dinobatkan sebagai SN, misalnya Allahyarham Mana Sikana, Dr Sohaimi Abd Aziz juga Prof Dr Abdul Halim Ali.

Faktor pemilihan
Bagaimanapun, nama-nama itu biasanya akan tenggelam atas pelbagai faktor sama ada tidak dicalonkan, kalah dalam pemilihan akhir selain faktor-faktor lain misalnya kecemerlangan karya atau apa-apa hal lain yang diputuskan oleh juri.
Jadi apakah faktor yang selalu dilihat dalam pemilihan SN ?
Bagi, sarjana sastera Prof Emeritus Dr Mohamad Mokhtar Hassan, dalam menamakan SN, pengarang yang dinilai mestilah memiliki karya yang unggul iaitu berkualiti, berestetika dan asli dari sudut pemikirannya.
Hal ini katanya, boleh dilihat dalam novel-novel SN sebelum ini misalnya Ranjau Sepanjang Jalan (Shahnon Ahmad), yang merakamkan mengenai kemiskinan masyarakat Melayu.
"Begitu juga dengan Naratif Ogonshoto oleh Anwar Ridwan, dan aspek ini yang tidak boleh ditinggalkan.
"Walaupun berlaku perubahan zaman, tetapi ketinggian pemikiran dalam karya itu tetap ada," katanya dalam ketika tampil sebagai panel Forum Anugerah Sastera Negara: Keunggulan dan Transformasi menerusi siaran langsung Media Sosial DBP, yang dimudahcarakan oleh Editor Tunas Cipta, Ahmad Sayuti Mohd Yusob. Acara itu turut menampilkan Dr Norhayati Ab Rahman sebagai panel.
Mohamad Mokhtar berkata, satu hal yang utama juga adalah berkaitan isu keaslian karya, iaitu dalam konteks ia adalah karya asli bukan ciplak, plagiat atau manipulasi mana-mana pihak.
Dalam konteks semasa katanya, ada karya yang dihasilkan menggunakan bantuan kecerdasan buatan (AI) misalnya seperti yang berlaku di Jepun, apabila seorang pemenang hadiah sastera negara itu mengakui sebahagian kandungan karya itu dijana secara AI, tetapi diubah ayatnya.
"Saya kira hal itu akan lebih kerap berlaku. Karya boleh dihasilkan AI jadi isu keaslian akan timbul, dan ini yang perlu dilihat juri adakah karya sebegini boleh diterima atau tidak ?
"Karya itu bukan asli dan tidak datang daripada pemikiran penulis," katanya
Tambah Mohamad Mokhtar, dalam konteks penghasilan karya juga ia seharusnya beridentitikan tempatan mesti bertitik tolak daripada kehidupan masyarakat tempatan, jika sebaliknya ia tidak boleh diterima kerana kisahnya di luar masyarakat.
Sementara itu Norhayati berkata, jika dilihat senarai penerima ASN terdahulu, masing-masing tampil dengan karya yang cemerlang pada zaman mereka.
Kayu ukur pemilihan SN
Memetik SN pertama, Kamaluddin Muhamad (Keris Mas), sebagai contoh Norhayati berkata, tokoh itu sudah meninggalkan sejumlah karya prosa yang kuat dan banyak karya almarhum yang menyuarakan mengenai keadilan sosial zamannya.
"Hal ini adalah teras yang menjadi kayu ukur pemilihan SN, bagaimana karya itu cemerlang dalam konteks zamannya. Jadi, ia antara faktor yang turut mempengaruhi pemilihan sekarang ini iaitu kecemerlangan karya.
"Mungkin kita ada melihat penulis yang prolifik banyak berkarya merentas pelbagai genre malah begitu terkenal, tetapi adakah karyanya itu bermutu tinggi, mempunyai idea yang besar dan meninggalkan impak dan pemikiran tinggi selari dengan kedudukannya sebagai SN?," soalnya.
Tambah Norhayati, hari ini kita membaca banyak perbincangan di media sosial mengenai siapakah seterusnya yang layak menjadi SN, dan setiap orang bebas menamakan sesiapa sahaja yang difikirkan layak.
Katanya, ada sebahagian pengarang yang dinamakan cukup terkenal tetapi dalam kaedah pemilihan SN, ia akan berbalik kepada teras utama kecemerlangan dan pemikiran karya serta memenuhi standard ditetapkan.
Justeru, apa yang boleh disimpulkan, memilih SN perlu bersandarkan kepada kecemerlangan dan kualiti karya dan bukan populariti seseorang pengarang, manakala kontroversi selepas setiap kali pengumuman dibuat, bolehkah dianggap sebagai hal biasa atau menjadi sebahagian proses penambahbaikan bagi pihak sektretariat?























