BH Online
Ringkasan Berita

DBP tawar geran penyelidikan 2026

KUALA LUMPUR: Baru-baru ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengumumkan Geran Penyelidikan DBP 2026 sebagai langkah proaktif untuk memastikan bahasa Melayu terus berdaya saing, bukan sahaja sebagai bahasa kebangsaan, malah sebagai wahana utama perkembangan ilmu, inovasi dan pemikiran moden.
DBP tawar geran penyelidikan 2026

Pemberian geran itu dilihat sebagai langkah strategik mendepani arus perubahan teknologi dan perkembangan semasa.

KUALA LUMPUR: Baru-baru ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengumumkan Geran Penyelidikan DBP 2026 sebagai langkah proaktif untuk memastikan bahasa Melayu terus berdaya saing, bukan sahaja sebagai bahasa kebangsaan, malah sebagai wahana utama perkembangan ilmu, inovasi dan pemikiran moden.

Pemberian geran itu dilihat sebagai langkah strategik mendepani arus perubahan teknologi dan perkembangan semasa.

Ketua Pengarah, Dr Hazami Jahari, berkata melalui geran ini, DBP berhasrat merancakkan penyelidikan berkualiti tinggi yang berimpak, termasuk dalam bidang baharu seperti teknologi bahasa, kecerdasan buatan dan media digital.

Usaha ini juga katanya selaras dengan Rancangan Strategik DBP 2026–2030 yang menekankan pengukuhan ekosistem bahasa Melayu, peningkatan nilai ekonominya serta peluasan penggunaan dalam sektor strategik negara.

"Selain memperkaya khazanah ilmu dalam bahasa Melayu, geran ini juga membuka ruang kerjasama antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, industri dan DBP sendiri.

"Pendekatan kolaboratif ini penting bagi memastikan hasil penyelidikan tidak hanya bersifat teori, sebaliknya dapat dimanfaatkan secara praktikal untuk menyokong dasar bahasa kebangsaan dan meningkatkan penggunaannya dalam masyarakat," katanya kepada BH.

Hazami berkata, geran itu juga berperanan memastikan pembangunan ilmu negara bergerak seiring dengan kemajuan teknologi tanpa mengabaikan jati diri kebangsaan.

Antara bidang kajian yang ditawarkan merangkumi bahasa dan teknologi, termasuk penerokaan kecerdasan buatan, pemprosesan bahasa semula jadi serta pendigitalan kandungan.

Selain itu, bidang bahasa dan persuratan Melayu terus diberi penekanan bagi memperkaya warisan intelektual negara.

Dr Hazami Jahari
Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari. Gambar ihsan DBP

DBP turut membuka ruang kepada bidang sains, perubatan dan alam Melayu bagi menggalakkan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang saintifik dan kesihatan.

"Bidang pengurusan dan pemasaran juga diberi perhatian untuk menyokong penggunaan bahasa Melayu dalam sektor ekonomi, manakala media baharu menjadi fokus penting selaras dengan perkembangan komunikasi digital masa kini.

"Kesemua bidang ini dirangka bagi memastikan penyelidikan yang dijalankan relevan, merentas disiplin dan memberi impak nyata kepada masyarakat," katanya.

Geran ini terbuka kepada penyelidik berkelayakan daripada pelbagai institusi, termasuk ahli akademik, pegawai kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan, manakala tarikh tutup permohonan pada 10 Mei 2026

Hazami berkata, hasil penyelidikan yang dilaksanakan melalui geran ini dijangka memberi manfaat langsung kepada masyarakat. Antaranya termasuk penghasilan bahan rujukan, pembangunan istilah, penyediaan garis panduan serta pengayaan kandungan ilmu dalam bahasa Melayu. Selain itu, dapatan kajian juga berpotensi meningkatkan literasi bahasa dan budaya melalui penerbitan serta program ilmu.

Katanya, dalam era digital, hasil penyelidikan ini turut boleh dimanfaatkan dalam pembangunan kandungan dan aplikasi bahasa yang menyokong penggunaan bahasa Melayu dalam persekitaran teknologi.

Video Terkini

Berita Berkaitan