PADA era digital dan globalisasi semakin pesat, sempadan antara kehidupan peribadi dan pekerjaan semakin kabur. Kemajuan teknologi membolehkan seseorang bekerja di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa.
Dalam situasi ini, persoalan yang sering timbul ialah adakah konsep keseimbangan kerja dan kehidupan masih relevan atau adakah kita perlu beralih kepada konsep integrasi kerja dan kehidupan.
Selama bertahun-tahun, keseimbangan kerja dan kehidupan menjadi matlamat utama ramai pekerja. Konsep ini merujuk kepada usaha membahagikan masa dan tenaga secara seimbang antara tanggungjawab kerja dan kehidupan peribadi.
Dalam erti kata lain, kerja dan kehidupan dilihat sebagai dua domain berbeza dan perlu dipisahkan dengan jelas. Sebagai contoh, seseorang mungkin menetapkan selepas jam 5 petang, mereka tidak lagi menjawab e-mel kerja dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada keluarga, hobi atau aktiviti peribadi.
Pendekatan ini mempunyai banyak kelebihan. Ia membantu mengurangkan tekanan, mencegah keletihan emosi serta meningkatkan kepuasan hidup.
Namun begitu, realiti dunia kerja hari ini menjadikan keseimbangan sempurna sukar dicapai. Ramai pekerja, khususnya golongan profesional, ahli akademik, usahawan dan mereka bekerja secara fleksibel, mendapati kerja dan kehidupan peribadi sering bertindih.
Sebagai contoh, seorang pensyarah mungkin menyemak tesis pelajar pada waktu malam, manakala seorang ibu bekerja dari rumah mungkin menguruskan mesyuarat dalam talian sambil memantau pembelajaran anak.
Keadaan inilah membawa kepada konsep integrasi kerja dan kehidupan. Integrasi kerja dan kehidupan melihat kedua-dua aspek ini sebagai saling melengkapi dan boleh digabungkan secara fleksibel.
Dalam pendekatan ini, seseorang mungkin menghadiri majlis sekolah anak pada waktu bekerja dan menggantikan masa itu dengan menyelesaikan tugasan kerja pada sebelah malam.
Risiko keletihan mental
Bagaimanapun, integrasi kerja dan kehidupan bukanlah penyelesaian untuk semua orang. Apabila sempadan antara kerja dan kehidupan peribadi terlalu kabur, seseorang berisiko mengalami keletihan mental kerana berasa perlu sentiasa bersedia untuk bekerja.
Fenomena ini sering berlaku apabila pekerja menjawab mesej kerja ketika bercuti, menghadiri mesyuarat ketika makan malam bersama keluarga atau terus memikirkan tugasan walaupun sedang berehat.
Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh meningkatkan tekanan, mengganggu hubungan interpersonal dan menjejaskan kesihatan mental.
Oleh itu, persoalan sebenar bukan sama ada seseorang perlu memilih keseimbangan atau integrasi, tetapi bagaimana mencari pendekatan sesuai dengan keperluan diri.
Setiap individu mempunyai keutamaan, tanggungjawab dan gaya hidup yang berbeza. Ada yang lebih selesa dengan pemisahan jelas antara kerja dan kehidupan peribadi, selain ada yang lebih menghargai fleksibiliti untuk menggabungkan kedua-duanya.
Bagi memastikan kesejahteraan diri terpelihara, terdapat beberapa strategi boleh diamalkan.
● Pertama, kenal pasti nilai dan keutamaan hidup.
Tanyakan kepada diri sendiri apa yang benar-benar penting, sama ada keluarga, kerjaya, kesihatan atau pembangunan diri. Kejelasan terhadap keutamaan ini membantu seseorang membuat keputusan lebih seimbang.
● Kedua, tetapkan sempadan sihat. Walaupun mengamalkan integrasi kerja dan kehidupan, seseorang masih perlu mempunyai masa untuk berehat dan memulihkan tenaga.
Contohnya, menetapkan waktu tertentu tanpa gangguan kerja atau memperuntukkan masa khas untuk keluarga boleh membantu mengekalkan kesejahteraan emosi.
● Ketiga, belajar mengurus masa dan tenaga dengan berkesan. Ramai individu memberi tumpuan kepada pengurusan masa, tetapi sebenarnya pengurusan tenaga juga sama penting.
Aktiviti seperti bersenam, mendapatkan tidur mencukupi, mengamalkan pemakanan sihat dan menyertai aktiviti memberi makna dapat membantu meningkatkan tahap tenaga dan ketahanan diri.
● Keempat, organisasi juga memainkan peranan penting. Majikan menggalakkan fleksibiliti kerja, menghormati masa peribadi pekerja dan menyediakan sokongan kesejahteraan mental dapat membantu mewujudkan persekitaran kerja lebih sihat dan produktif.
Akhirnya, kejayaan dalam kerjaya tidak seharusnya diukur melalui pangkat, pendapatan atau pencapaian profesional semata-mata. Kejayaan sebenar adalah apabila seseorang mampu menjalani kehidupan bermakna, sihat dan memuaskan tanpa mengorbankan kesejahteraan diri.
Sama ada melalui keseimbangan kerja dan kehidupan atau integrasi kerja dan kehidupan, matlamat utamanya tetap sama, iaitu memastikan kerja menjadi sebahagian daripada kehidupan berkualiti.
Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
























