SELEPAS lebih enam dekad pembentukan Malaysia, persoalan utama rakyat Sabah dan Sarawak bukan lagi sama ada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dilaksanakan, tetapi sejauh mana pelaksanaannya benar-benar dapat diukur.
Rakyat tidak lagi mahu sekadar mendengar janji atau tuntutan diulang saban tahun. Mereka mahu melihat perubahan boleh dinilai melalui dasar, undang-undang, kuasa pentadbiran dan manfaat yang dirasai. Dalam konteks inilah pendekatan kerajaan sejak akhir 2025 wajar diberi perhatian.
Pelantikan Datuk Mustapha Sakmud sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak membawa pendekatan lebih menumpukan kepada penyelarasan dan pelaksanaan berbanding retorik politik.
Manifestasi paling jelas ialah pelancaran Dashboard MA63, platform rasmi memaparkan status pelaksanaan setiap perkara di bawah MA63.
Walaupun kelihatan sebagai inisiatif pentadbiran, langkah ini membawa perubahan penting dalam tadbir urus kerana kemajuan setiap perkara kini boleh dipantau secara lebih telus dan sistematik. Melalui dashboard itu, sebanyak 29 perkara utama MA63 dikategorikan mengikut status pelaksanaan.
Daripada jumlah itu, 13 perkara sudah selesai, lima berada pada peringkat penyelesaian interim, dua perkara memperoleh keputusan dasar, empat masih dalam rundingan dan lima lagi menunggu pertimbangan di peringkat tertinggi kerajaan.
Pendekatan ini memberi gambaran lebih jelas kepada rakyat kedudukan sebenar MA63. Selama ini, pelbagai dakwaan dan tafsiran sering menimbulkan kekeliruan mengenai kemajuan pelaksanaannya.
Kini, rakyat boleh menilai sendiri perkara yang diselesaikan, sedang dilaksanakan dan masih memerlukan keputusan politik.
Antara pencapaian direalisasikan ialah penyerahan kuasa kawal selia elektrik Sabah Electricity Sdn Bhd kepada kerajaan Sabah, penyerahan semula pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Sabah.
Ia termasuk penyerahan kuasa kawal selia gas petroleum cecair (LPG) kepada Sarawak, pindaan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, pengiktirafan Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah serta Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182.
Selain itu pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 bagi melantik wakil tetap kedua-dua negeri, penukaran status Pelabuhan Bintulu kepada pelabuhan negeri serta pindaan Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak.
Implikasi terhadap pentadbiran
Pencapaian ini bukan sekadar senarai keputusan pentadbiran. Ia menyentuh aspek kuasa negeri, pengurusan sumber, pembangunan infrastruktur, tenaga, kutipan hasil dan tadbir urus.
Dalam erti kata lain, sebahagian prinsip terkandung dalam MA63 mula diterjemahkan kepada perubahan mempunyai implikasi praktikal terhadap pentadbiran Sabah dan Sarawak.
Antara isu terus menjadi perhatian ialah pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. Dashboard MA63 meletakkannya sebagai penyelesaian interim.
Kerajaan meningkatkan bayaran interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sementara mekanisme jangka panjang dimuktamadkan. Ini menunjukkan isu berkenaan bukan lagi dipersoalkan dari segi prinsip, sebaliknya sedang diperhalusi dari sudut kaedah pelaksanaan. Namun beberapa isu strategik masih memerlukan rundingan dan keputusan di peringkat tertinggi.
Antaranya termasuk royalti minyak, pembayaran tunai petroleum, hak ke atas pelantar benua, Akta Laut Wilayah 2012 serta duti setem berkaitan tanah.
Isu ini menyentuh implikasi perundangan, kewangan dan hubungan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri, justeru penyelesaiannya memerlukan penelitian lebih menyeluruh.
Dalam keadaan ini, kedudukan portfolio Sabah dan Sarawak di bawah Jabatan Perdana Menteri memberi kelebihan dari sudut penyelarasan antara kementerian dan agensi.
Ia membolehkan isu merentas pelbagai bidang diselesaikan dengan lebih bersepadu serta mempercepat proses membuat keputusan.
Mustapha sendiri membawa pengalaman sebagai jurutera, pengurus, perunding dan pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia serta Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
Latar belakang itu memberi kelebihan mengurus isu MA63 sebagai agenda pelaksanaan dasar, bukan sekadar wacana politik.
Walaupun begitu, kejayaan sebenar MA63 tidak boleh diukur hanya melalui jumlah perkara diselesaikan. Lebih penting ialah sejauh mana pelaksanaannya mampu meningkatkan kesejahteraan rakyat, memperkukuh autonomi pentadbiran negeri dan mempercepat pembangunan Sabah serta Sarawak.
Dashboard MA63 menyediakan asas kepada proses berkenaan, namun kejayaan akhirnya bergantung kepada pelaksanaan dan komitmen semua pihak.
Hakikatnya, masih terdapat beberapa agenda besar belum dimuktamadkan, termasuk pertambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak, pembangunan kawasan sempadan Sabah-Sarawak-Kalimantan serta beberapa perkara berkaitan bidang kuasa perundangan.
Pengakuan terhadap cabaran ini penting kerana ia menunjukkan pelaksanaan MA63 masih menjadi proses berterusan, bukan agenda selesai sepenuhnya.
Akhirnya, rakyat Sabah dan Sarawak tidak lagi menilai MA63 melalui jumlah memorandum, kenyataan media atau perdebatan politik. Mereka akan menilainya melalui kuasa dipulangkan, pembangunan benar-benar dirasai dan hak dilaksanakan. Jika momentum ini dapat dikekalkan, MA63 berpotensi menjadi asas kepada hubungan Persekutuan-negeri lebih adil, telus dan berkesan.
Dalam kerangka itu, penekanan terhadap pelaksanaan berbanding retorik akan menjadi ukuran sebenar kejayaan agenda MA63.
Penulis adalah Penyelaras Program Pascasiswazah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS)
























