GELOMBANG kecerdasan buatan (AI) bukan lagi ombak kecil boleh diperhatikan dari jauh. Ia kini tsunami teknologi sedang mengubah landskap pekerjaan dan kehidupan seharian masyarakat global.
Daripada penulisan laporan sehingga kepada penghasilan kod komputer, alatan AI seperti ChatGPT, Claude dan Google Gemini mula mengambil alih tugas konvensional.
Perkembangan ini menuntut satu persoalan besar adakah sistem pendidikan kita, khususnya buku teks dan silibus sekolah, sudah bersedia melahirkan generasi fasih AI.
Realitinya, sistem persekolahan tidak boleh lagi sekadar mendidik murid menjadi pengguna pasif teknologi. Kita perlu beralih kepada usaha melahirkan pengguna bijak dan pencipta menggunakan teknologi AI.
Oleh itu, langkah mengemaskini silibus dan buku teks sekolah secara menyeluruh dengan memasukkan elemen penguasaan teknologi AI perlu disegerakan.
Pertama, struktur pengajaran AI tidak seharusnya dilihat sebagai satu subjek baharu membebankan. Sebaliknya, ia perlu disepadukan ke dalam mata pelajaran sedia ada.
Pada peringkat sekolah rendah, buku teks boleh menumpukan kepada kesedaran asas dan etika digital. Murid perlu difahamkan mengapa mereka tidak boleh meniru bulat-bulat jawapan AI untuk menyiapkan kerja sekolah.
Memasuki peringkat sekolah menengah, silibus wajar memperkenalkan kemahiran Prompt Engineering iaitu teknik menulis arahan tepat kepada AI.
Dalam subjek bahasa misalnya, murid boleh diajar menggunakan AI untuk menyemak tatabahasa atau menjana rangka karangan, bukan membiarkan AI menulis keseluruhan karangan bagi pihak mereka.
Ini secara tidak langsung melatih pemikiran kritis apabila murid perlu menilai sama ada output diberikan AI itu tepat atau sebaliknya.
 Tempoh kitaran semakan buku teks fizikalÂ
Bagaimanapun, cabaran utama sering dihadapi Kementerian Pendidikan (KPM) ialah tempoh kitaran semakan buku teks fizikal biasanya mengambil masa beberapa tahun.
Sedangkan, teknologi AI berubah dalam tempoh beberapa bulan sahaja. Bagi mengatasi kekangan ini, KPM wajar memanfaatkan kaedah hibrid dan digital.
Buku teks fizikal boleh dilengkapi dengan kod QR menghubungkan murid kepada modul digital interaktif yang sentiasa dikemaskini mengikut trend teknologi semasa.
Di samping itu, kelangsungan silibus baharu ini bergantung sepenuhnya kepada kesediaan guru. Guru di seluruh negara perlu dibekalkan latihan peningkatan kemahiran (upskilling) secara berterusan.
Kewujudan platform DELIMa kini menyediakan akses kepada alatan premium seperti Microsoft 365 Copilot dan Canva for Education amat membantu.
Pendedahan ini amat baik, namun ia perlu disusuli dengan latihan intensif supaya setiap guru tahu bagaimana menggunakan AI untuk meringankan beban tugasan pentadbiran dan penyediaan Bahan Bantu Mengajar (BBM).
Apabila guru mahir, barulah ilmu dapat diperturunkan kepada murid dengan berkesan.
Kesimpulannya, penguasaan alatan AI dalam silibus sekolah satu pelaburan masa depan demi merapatkan jurang digital generasi muda.
KPM, pihak sekolah dan masyarakat harus bergerak seiringan. Memasukkan elemen AI ke dalam buku teks bukan lagi satu pilihan mewah, tetapi keperluan mendesak demi melahirkan modal insan kompetitif.
























