Hampir 1.3 juta pengundi berusia 18 hingga 39 tahun membentuk 47.6 peratus pemilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai lalu.
Pada masa sama, Jabatan Perangkaan melaporkan 291,600 belia berusia 15 hingga 24 tahun menganggur pada Mei 2026. Angka ini membawa mesej jelas. Suara anak muda semakin bermakna dan kebimbangan mereka nyata.
Mereka datang ke peti undi bukan untuk diraikan sebagai segmen baharu, tetapi mencari masa depan lebih baik dan sejahtera.
Selepas PRN Johor, perhatian kini beralih kepada PRN Negeri Sembilan. Dalam suasana pilihan raya, parti politik berlumba menawarkan pekerjaan, latihan dan bantuan kepada golongan muda.
Memahami anak muda tidak boleh berhenti pada slogan penciptaan kerja. Persoalan sebenar bukan berapa banyak pekerjaan diwujudkan, tetapi adakah pekerjaan itu mampu mengubah kehidupan mereka secara nyata.
Ramai anak muda tidak terlalu memikirkan gelaran jawatan pekerjaan bakal disandang. Mereka lebih memikirkan apa yang boleh dilakukan dengan pendapatan itu.
Adakah gaji nanti cukup untuk membayar sewa kediaman, bergerak ke tempat kerja, membantu ibu bapa, menyelesaikan pinjaman pendidikan, mendapatkan rawatan dan menyimpan untuk kecemasan. Mereka bukan sekadar mahu bekerja tetapi pekerjaan mampu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi keluarga.
Sebab itu, tawaran kerja bergaji rendah tanpa laluan kemajuan bukan lagi penyelesaian. Memiliki pekerjaan tetapi masih terpaksa melakukan kerja tambahan untuk menampung keperluan asas bukan kemajuan diimpikan.
Mahu perubahan positif pada masa hadapan
Anak muda mahukan upah setimpal, perlindungan sosial, masa kerja yang manusiawi, peluang meningkatkan kemahiran dan laluan kerjaya yang jelas. Mereka mahu usaha hari ini membawa perubahan yang positif pada masa hadapan.
Pandangan ini penting dalam membaca kecenderungan pengundi Undi18. Mereka bukan lagi kelompok mudah dipengaruhi kandungan tular.
Anak muda bandar berdepan sewa dan kos pengangkutan tinggi. Anak muda luar bandar pula memikirkan kekurangan peluang kerja berdekatan. Ada yang memiliki ijazah, mengikuti pendidikan teknikal, bekerja sendiri atau bergantung pada ekonomi gig. Keperluan mereka berbeza, tetapi harapannya sama, iaitu kehidupan lebih stabil.
Kempen pilihan raya yang hanya menampilkan wajah muda dan bahasa santai mungkin mendapat perhatian, tetapi belum tentu dipercayai.
Kepercayaan lahir apabila calon menerangkan bagaimana manifesto mereka dapat menaikkan pendapatan, mengurangkan perbelanjaan harian dan membuka peluang.
Pengundi muda mahu tahu tempoh pelaksanaan, jumlah penerima, sumber kewangan serta ukuran kejayaan. Mereka berani bertanya sama ada janji itu realistik atau sekadar sedap didengar.
Bagi kerajaan negeri, agenda anak muda boleh diterjemahkan dengan menarik pelaburan menawarkan gaji bermaruah dan munasabah, memudahkan urusan perniagaan, menghidupkan ekonomi kawasan setempat dan memperluas pengangkutan awam.
Kerajaan boleh bekerjasama dengan industri menyediakan latihan berbayar, perantisan dan pekerjaan berhampiran tempat tinggal.
Perumahan mampu milik perlu mengambil kira lokasi, pengangkutan dan pendapatan kerana rumah murah yang jauh daripada tempat kerja tetap mahal.
Kerajaan perlu memastikan pertumbuhan ekonomi sampai kepada pekerja muda. Angka pelaburan dan jumlah pekerjaan tidak mencukupi jika gaji bergerak perlahan berbanding kos hidup.
Dasar upah, perlindungan pekerja gig, latihan semula dan keselamatan sosial perlu bergerak seiring. Anak muda mahu melihat hubungan jelas antara kemajuan negara dengan baki wang dalam akaun selepas semua bil dibayar.
Majikan juga mempunyai tanggungjawab. Pekerja muda bukan tidak setia apabila mencari pendapatan dan peluang lebih baik.
Kesetiaan tidak lahir melalui ceramah motivasi, tetapi melalui layanan adil, gaji sesuai, ruang belajar dan prospek kemajuan kerjaya.
Jika sektor awam dan swasta mahu bakat terbaik kekal, pekerjaan perlu menjadi ruang membina kehidupan, bukan sekadar tempat menukar masa dengan upah.
Guna kuasa undi dengan matang
Pada masa sama, anak muda perlu menggunakan kuasa undi dengan matang. Menilai calon tidak boleh berdasarkan ucapan, retorik dan kempen murahan.
Mereka perlu membandingkan manifesto, menyemak rekod calon, membezakan bidang kuasa kerajaan negeri dan Persekutuan serta menolak maklumat palsu.
Undi bijak bukan undi mengikut suara paling lantang, tetapi pilihan selepas menilai siapa mampu menyelesaikan masalah sebenar.
Masyarakat juga perlu mewujudkan ruang perbincangan tanpa memperlekeh pandangan anak muda. Perbezaan pilihan tidak seharusnya merosakkan hubungan.
Sebaliknya, perbualan mengenai kos sara hidup, peluang kerja dan kemudahan setempat boleh mendidik semua generasi melihat pilihan raya sebagai proses memilih penyelesaian, bukan medan bermusuhan.
Paling utama, kerajaan wajar menetapkan sasaran boleh diukur, termasuk pertumbuhan gaji belia, jumlah pekerjaan berkualiti, latihan berbayar dan akses perumahan.
Kemajuan perlu dilaporkan secara berkala supaya rakyat dapat menilai pencapaian, bukan menunggu pilihan raya seterusnya. Tanggungjawab pengundi tidak tamat selepas mencelup jari dan memangkah kertas undi, manakala tanggungjawab pemimpin tidak tamat selepas memenangi kerusi.
Undi18 memberikan anak muda hak memilih, tetapi masyarakat perlu memberikan mereka sebab untuk percaya kepada demokrasi. Kertas undi mereka bukan permintaan untuk dihiburkan dengan slogan.
Ia ialah tuntutan untuk hidup bermaruah, membantu keluarga dan membina masa depan tanpa dibelenggu ketidakpastian.
Pihak memahami tuntutan ini akan memperoleh kepercayaan mereka. Pihak yang sekadar melihat mereka sebagai angka mungkin mendapati generasi ini tidak takut mengubah pilihan.
Penulis adalah Ketua Seksyen Komunikasi Korporat, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat Universiti Putra Malaysia (UPM).
























