KRITIKAN di ruangan Minda Pembaca dalam BH baru-baru ini bertajuk 'Budaya membisu dunia akademik calar imej universiti' wajib disambut dengan lapang dada.
Menyelar kebisuan sarjana ketika masyarakat diserang lambakan maklumat palsu di media sosial adalah satu kemarahan berasas.
Namun, kita harus bertafakur sejenak dan bertanyakan soalan asas, apakah detik sejarah mengheret kita ke dalam konflik garis masa pada masa kini dan bagaimanakah kita boleh terperangkap di dalam krisis hari ini?
Krisis ini bukan pilihan moral pensyarah kerana penakut. Kebisuan ini ialah simptom krisis sistemik akibat pertembungan gari perundangan, desakan universiti korporat dan ekosistem kerja mematikan watak ahli akademik sebagai sarjana awam.
Bagi memulihkan imej universiti, kita tidak boleh sekadar menghukum individu, tetapi wajib membedah sangkar struktur yang mengurung mereka.
Sangkar berkembar Akta 605 dan AUKU
Bagaimanakah dunia akademia boleh bersuara berani jika terperangkap dalam sangkar perundangan berkembar?
Pada peringkat individu, mereka diikat Akta Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) 2000 (Akta 605) menyamakan pensyarah dengan penjawat awam terikat larangan membuat kenyataan terbuka boleh 'memalukan' dasar kerajaan.
Di peringkat institusi, universiti dirantai Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU). Detik sejarah pindaan AUKU 1975 merampas autonomi kampus dan menyerahkan kuasa pelantikan eksekutif tertinggi universiti bulat-bulat ke tangan kementerian, sekali gus melahirkan ekosistem menara gading ultra-kepatuhan.
Gabungan Akta 605 dan AUKU memastikan pensyarah disempitkan sekadar pelaksana arahan terpaksa menapis diri sendiri demi menjaga periuk nasi dan laluan kenaikan pangkat.
Pada masa sama, dunia akademia lumpuh akibat obsesi keterlaluan terhadap penarafan komersial global (QS Ranking). Pensyarah dipaksa menjadi mesin pengeluar kertas kajian berindeks antarabangsa (WOS dan Scopus).
Maka, lahirlah paradoks tragik yang mana pensyarah dikerah menulis lambakan jurnal yang tiada siapa membaca, manakala mereka sendiri tiada ruang masa membaca karya rakan akademik lain.
Gejala ini ialah refleksi serangan neoliberalisme pendidikan global. Di United Kingdom (UK), universiti mengalami konflik eksistensial serupa akibat sistem audit pasaran ekstrem seperti Research Excellence Framework (REF).
Universiti di UK diuruskan seperti syarikat komersial. Mereka memotong pencen dan mengamalkan menggaji pensyarah muda secara kontrak murah.
Bezanya, ahli akademik UK tidak membisu. Menerusi Kesatuan Universiti dan Kolej (UCU), mereka melancarkan mogok besar-besaran dan turun ke jalanan.
Diperas jadi teknokrat kaku
Di Malaysia, pasungan undang-undang awal-awal lagi memastikan apa-apa bentuk kelantangan dipadamkan serta-merta.
Bagi memulihkan krisis ini, kita perlu memahami apa itu sarjana awam. Mereka ialah intelektual melompat keluar daripada menara birokrasi, menggunakan kepakaran ilmiah untuk mencerahkan isu kompleks masyarakat, mendemokratisasikan ilmu serta bertindak sebagai pemandu arah moral masyarakat.
Malaysia amat memerlukan ekosistem mampu melahirkan sarjana awam bertaraf global. Kita pernah memiliki zaman kegemilangan sarjana awam seperti Prof Diraja Ungku Aziz, Prof Emeritus Datuk Dr Abdul Rahman Embong, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dan Prof Datuk Dr Hood Salleh.
Dunia akademia kita tidak kering daripada tokoh wanita hebat seperti Prof Datuk Dr Asma Ismail, Prof Dr Mazlan Othman dan Prof Datuk Dr Rashila Ramli.
Namun hari ini, mereka menjadi spesies kian pupus. Tragedi terbesar berlaku kepada lambakan ahli akademik muda berbakat besar dan bertenaga bukannya dibimbing dan diberi peluang keemasan untuk membina reputasi sebagai sarjana ulung disegani.
Sebaliknya mereka diperas untuk menjadi teknokrat kaku menghambakan diri kepada urusan birokrasi, sekadar menguruskan data dan tugas perkeranian memperlekehkan status doktor falsafah (PhD) mereka.
Akibatnya, mereka mengalami 'kebisuan terpilih' (selective mutism), bisu daripada bahasa rakyat dan memulaukan platform media baharu yang kini dikuasai intelektual palsu.
Bagi menyambut seruan memulihkan peranan ahli akademik, beberapa langkah radikal perlu diambil segera oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) antaranya:
Mengeluarkan universiti daripada Akta 605 Ia bermaksud membebaskan ahli akademik daripada corak penjawat awam supaya budaya akademik kembali luwes dan berani menegur kepincangan dasar negara demi kepentingan rakyat. Mengembalikan autonomi kampus melalui rombakan AUKU Lantikan eksekutif utama wajib dibuat melalui jawatankuasa senat akademik yang bebas supaya kepemimpinan universiti memiliki keabsahan moral melindungi sarjananya. Penyeragaman kenaikan pangkat universiti Ketidaksaksamaan struktur yang mana beban universiti penyelidikan (RU) berkali ganda lebih berat tetapi laluan kenaikan pangkat di universiti lain lebih mudah, hanya akan terus menjatuhkan semangat ahli akademik di RU. Penyahkeranian akademia Lambakan kerja perkeranian perlu dihentikan segera dengan melabur dalam membina pasukan sokongan pentadbiran canggih dan kompeten di peringkat fakulti.
Budaya membisu dalam dunia akademia bukan takdir, ia perangkap struktur. Mengikat universiti dengan peraturan pejabat kaku hanya membiarkan sarjana awam pupus ditelan zaman.
Sudah tiba masanya kementerian terbabit, pihak pengurusan dan persatuan akademik duduk bersama meruntuhkan tembok birokrasi korporat ini.
Universiti mesti dikembangkan kembali sebagai medan perjuangan membina minda rakyat bebas, luwes dan berani, bukan sekadar 'kilang' mengejar angka di atas kertas.
Penulis adalah Presiden Persatuan Kakitangan Akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (PKAUKM)






















