PENDEDAHAN Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen yang beban ekonomi masalah kesihatan mental di Malaysia dianggarkan boleh mencecah RM25.3 bilion pada 2030, sekiranya tiada tindakan berkesan diambil segera perlu dipandang serius oleh semua pihak.
Tambahan pula kadar kemurungan dalam kalangan penduduk Malaysia berumur 16 tahun ke atas dilaporkan meningkat daripada 2.3 peratus pada 2019 kepada 4.6 peratus pada 2023 bersamaan kira-kira 1 juta orang terkesan dengan isu kesihatan mental.
Jelas sekali masalah kesihatan mental wajar dilihat sebagai krisis mengancam modal insan negara sekali gus boleh menjejaskan tahap produktiviti serta pembangunan negara.
Apa yang pasti, masalah kesihatan mental bukan lagi sekadar isu perubatan atau kebajikan sosial, sebaliknya menjadi cabaran pembangunan negara memerlukan perhatian segera.
Ironinya, modal insan berkualiti bukan hanya diukur melalui tahap pendidikan, kemahiran atau pencapaian akademik semata-mata.
Kesejahteraan mental wajar diangkat sebagai komponen penting menentukan keupayaan seseorang berfikir secara rasional, membuat keputusan baik, berinovasi dan menyumbang secara produktif kepada organisasi serta negara.
Lebih membimbangkan ialah peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan generasi muda.
Golongan kanak-kanak dan remaja hari ini pemimpin, profesional, penyelidik dan tenaga kerja akan menentukan masa depan negara.
Namun, peningkatan tekanan akademik, pengaruh media sosial, ketidaktentuan ekonomi, cabaran hubungan sosial dan pelbagai tuntutan kehidupan moden menjadikan mereka terdedah masalah kesihatan mental.
Justeru, jika ancaman ini tidak ditangani secara berkesan, negara berisiko kehilangan potensi bakat sepatutnya menjadi pemacu pembangunan pada masa hadapan.
Individu berpotensi tinggi mungkin gagal mencapai kecemerlangan bukan kerana kekurangan kebolehan atau peluang, tetapi akibat tekanan mental tidak ditangani sejak awal.
Dalam hal ini, cabaran terbesar ketika ini ialah perlu menghapuskan persepsi dan stigma masyarakat terhadap isu kesihatan mental.
Masih ramai menganggap individu mendapatkan bantuan psikologi sebagai lemah atau tidak mampu mengurus kehidupan sendiri.
Pandangan serong seperti ini menyebabkan ramai memilih memendam masalah dan enggan mendapatkan bantuan profesional.
Masyarakat perlu memahami kesihatan mental sebahagian daripada kesihatan keseluruhan seseorang individu.
Sama seperti penyakit fizikal lain memerlukan rawatan, masalah kesihatan mental memerlukan perhatian dan intervensi sewajarnya.
Lebih awal bantuan diberikan, lebih tinggi peluang untuk individu pulih dan kembali berfungsi secara produktif.
Pada masa yang sama, pendekatan menangani isu ini tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu sektor kesihatan. Sebaliknya, memerlukan pembabitan menyeluruh pelbagai pihak.
Misalnya, institusi keluarga perlu menjadi sistem sokongan pertama menyediakan persekitaran selamat untuk ahli keluarga berkongsi masalah dan mendapatkan sokongan emosi.
Institusi pendidikan pula wajar bertindak lebih proaktif dengan memperkukuh program kesejahteraan mental, memperluas akses kepada kaunselor serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar.
Majikan juga perlu fokus kepada kesejahteraan warga kerja dengan mewujudkan budaya kerja lebih sihat melalui amalan keseimbangan antara kerja dan kehidupan, selain menyediakan program sokongan psikologi kepada pekerja.
Selain itu, usaha memperluas kapasiti talian bantuan krisis dan memperhebat kempen antistigma perlu diteruskan secara konsisten supaya bantuan dapat diakses lebih ramai individu memerlukan.
Tuntasnya, kesihatan mental perlu dilihat sebagai pelaburan strategik negara dan bukan sekadar kos perbelanjaan kesihatan.
Negara yang ingin maju dan berdaya saing memerlukan rakyat bukan sahaja sihat dari segi fizikal, tetapi juga stabil dari segi emosi dan psikologi.
Justeru, menangani krisis kesihatan mental bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan mendesak demi memastikan pembangunan negara dapat dilaksanakan secara mampan dan inklusif untuk generasi hari ini dan masa hadapan.
Noor Mohamad Shakil Hameed,
Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK),
Universiti Putra Malaysia (UPM)
























