rencanabh@bh.com.my
ANGKA rasminya kejam. Barisan Nasional (BN) 48 kerusi, Pakatan Harapan (PH) lapan, Perikatan Nasional (PN) sifar. Di sebalik keputusan kelihatan seperti keruntuhan itu, satu perkara wajib diakui, PH masih berdiri.
Lapan kerusi dipertahankan, 611,983 undi atau 32.6 peratus dikumpul, dalam keadaan hampir semua faktor menyebelahi lawan. Parti yang benar-benar tumbang tidak akan pulang dengan angka sebegitu.
Lihat sahaja di mana ia bertahan. Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai, muka baharu DAP, J Kartiyaini menang selesa dengan 58.7 peratus undi, membuktikan peremajaan calon boleh dibuat tanpa sebarang kos.
Di DUN Simpang Jeram, Parti Amanah Negara (AMANAH) terselamat dengan majoriti 170 undi, paling nipis di seluruh negeri tetapi cukup untuk bertahan melawan arus. Di DUN Puteri Wangsa pula, Dr Maszlee Malik menang biarpun dikepung pertembungan lima penjuru. Teras PH kekal utuh.
Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) sebaliknya. Parti ini turun ke Johor dengan naratif mahu menjadi suara pembangkang tulen. Keputusannya? Bukan sahaja gagal menjadi alternatif, untuk layak bergelar pembangkang pun tidak mampu.
Semua 15 kerusi ditandingi, sifar kemenangan dan kesemua calonnya hilang deposit. Ini bukan penolakan secara halus. Rakyat Johor langsung tidak menganggap mereka sebagai pilihan.
Perbandingannya cukup pedih. Jumlah undi dikumpul seluruh blok pihak ketiga ini di seluruh Johor berkemungkinan besar tidak menyamai kutipan undi diraih Datuk Seri Rafizi Ramli seorang diri ketika memenangi jawatan Timbalan Presiden PKR.
Sebuah gerakan dibina atas jenama seorang tokoh, gagal menandingi undi dalaman tokoh itu sendiri dalam parti beliau tinggalkan. Satu-satunya kesan BERSAMA boleh diukur pula bersifat negatif.
Di DUN Bukit Batu, 821 undi mereka bersama 387 undi Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) menelan majoriti 174 dan menyerahkan kerusi PKR kepada MIC. Calon yang berjaya mereka tumbangkan hanya calon reformasi itu sendiri.
Sebab itu sukar untuk melihat BERSAMA sebagai projek politik tulen. Ia lebih menyerupai organisasi dendam, jemaah kecil berzikir siang malam dengan satu hajat, membenamkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengundi Johor membalasnya dengan nilai setimpal. Keputusan ini turut mencabar tanggapan calon muda secara automatik menjadi pilihan pengundi muda.
Di Puteri Wangsa, kerusi pernah dimenangi MUDA pada PRN 2022, pengundi memilih Maszlee, bekas menteri berusia 50-an, manakala calon parti anak muda itu pulang dengan 6.8 peratus undi sahaja.
Tanpa data 'exit poll', tiada siapa boleh memastikan bagaimana pengundi muda mengundi. Tetapi satu perkara jelas, jenama 'muda' semata-mata tidak lagi laku sebagai manifesto.
Datuk Onn Hafiz Ghazi sendiri seorang Menteri Besar muda dan beliau menang atas rekod serta legasi dibawanya, bukan atas usia.
Kematangan calon, nampaknya, kekal menjadi 'mata wang' lebih bernilai. PN pula satu teka-teki. Daripada tiga kerusi dan kira-kira 360,000 undi pada 2022, mereka jatuh kepada sifar kerusi dan 102,090 undi.
Sebanyak 21 daripada 33 calon PN hilang deposit. Bekas Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal sendiri cuma meraih 21.1 peratus di DUN Bukit Kepong.
Sukar untuk tidak dibaca sebagai kekalahan dibiarkan berlaku, berguna untuk menjatuhkan kredibiliti Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari dalam.
Sifar kerusi hari ini boleh dijadikan modal rundingan esok. Tabiat lama memang tidak berubah. Ada yang menyebut keputusan PRN Johor sebagai 'wake-up call' untuk PH. Tidak tepat. Loceng itu sudah lama berbunyi dan PH menerimanya di Sabah hujung tahun lalu.
Johor tidak mengajar apa-apa yang belum diketahui parti itu. Yang masih menunggu Johor untuk menyedarkan PH sebenarnya bangun lebih lambat daripada parti itu sendiri. Lagipun Johor bukan padang ujian rata.
Ini negeri kelahiran UMNO pada 1946, tanah Bangsa Johor, dengan seorang Menteri Besar muda membawa mandat peribadi, majoriti 15,375 undi di DUN Machap, serta legasi keluarga Onn berakar daripada Datuk Jaafar Muhammad, diteruskan Datuk Onn Jaafar dan Tun Hussein Onn.
Jentera PAS mengalirkan undinya terus kepada BN di 23 kerusi tidak ditandingi mereka. Paling mengikat, PH terpaksa bertanding menentang rakan kongsinya sendiri dalam Kerajaan Perpaduan.
Mahu menyerang habis-habisan tidak boleh, mahu berselindung sepenuhnya pun tidak boleh. Kalah di padang begini bukan ukuran kekuatan sebenar PH. Ia ukuran betapa curamnya bukit didaki.
Lonjakan keluar mengundi daripada 54.6 peratus pada 2022 kepada hampir 70 peratus juga bukan petanda baik untuk PH. Orang Johor pulang mengundi pada 11 Julai, tengah bulan, bukan hujung bulan selepas gaji masuk.
Gelombang itu bukan gelombang kesyukuran. Program BUDI95 yang pada awalnya memberi kesan positif kepada kerajaan dilihat tidak lagi mencukupi untuk meredakan tekanan kos sara hidup menjelang hari pengundian.
Budi itu, nampaknya sudah habis ditebus. Pengundi yang dahulu pulang untuk menyokong, kali ini pulang untuk mengingatkan. Satu perkara jarang diberi kredit. Kekalahan sebesar ini, lapan berbanding 48, di bawah pentadbiran Anwar adalah bukti paling kukuh beliau tidak menyalahguna jentera kerajaan dan tidak memperkuda SPR.
Perdana Menteri yang mengawal pengadil tidak akan membiarkan gabungannya tewas seteruk ini. Tiada pula gula-gula khas ditabur untuk Johor. Tiada durian runtuh bermusim pilihan raya, tiada bantuan tiba-tiba melimpah ke satu negeri, sedangkan kerajaan sedang memikul beban subsidi bahan api berbilion ringgit setiap bulan untuk seluruh negara.
Itulah reformasi dalam bentuk paling praktikal, reformasi untuk Anwar sendiri. Kita tahu beliau bekerja keras. Di sebalik pelbagai isu belum selesai, Malaysia sebenarnya berada dalam keadaan baik. Perdana Menteri akan membawa berita lebih baik kepada rakyat selepas ini.
Johor meninggalkan luka dan luka itu nyata tetapi kepemimpinan tidak diukur pada malam kemenangan. Ia diukur pada pagi selepas kekalahan, ketika seorang pemimpin bangun dan terus bekerja untuk semua, termasuk mereka yang menolaknya. Anwar dengan segala parutnya, kekal Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia.
Pandangan ini daripada pembaca, tidak mewakili pendirian BH
























