BH Online
Ringkasan Berita

Segera cegah ketagihan dadah sintetik melalui vape

Pendedahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang 73 peratus daripada kes penyalahgunaan dadah di negara ini kini membabitkan dadah sintetik amat membimbangkan.
Segera cegah ketagihan dadah sintetik melalui vape

Foto hiasan.

Pendedahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang 73 peratus daripada kes penyalahgunaan dadah di negara ini kini membabitkan dadah sintetik amat membimbangkan.

Apatah lagi, kes penagih mengalami gangguan kesihatan mental akibat penggunaan bahan berkenaan khususnya melalui peranti vape turut meningkat drastik.

Perkembangan ini satu amaran serius kepada seluruh rakyat. Penyalahgunaan dadah sintetik bukan lagi sekadar isu penagihan, tetapi berkembang menjadi satu krisis kesihatan awam, kesihatan mental dan keselamatan sosial memerlukan tindakan segera.

Tidak seperti dadah konvensional, dadah sintetik dihasilkan daripada campuran bahan kimia jauh lebih kuat, berbahaya dan sukar dijangka kesannya.

Penggunaannya boleh merosakkan fungsi otak dan mengganggu keseimbangan bahan kimia dalam sistem saraf, sekali gus meningkatkan risiko mengalami gangguan kebimbangan (anxiety), kemurungan, halusinasi, paranoik, psikosis, tingkah laku agresif, malah simptom menyerupai skizofrenia.

Keadaan ini membawa kepada apa yang dikenali sebagai 'diagnosis berganda' iaitu apabila seseorang individu mengalami ketagihan dadah dan gangguan kesihatan mental secara serentak.

Rawatan bagi pesakit dalam kategori ini jauh lebih kompleks kerana kedua-dua masalah ini saling mempengaruhi. Ketagihan tidak dirawat akan memburukkan lagi masalah mental, manakala gangguan mental tidak diberi perhatian pula meningkatkan risiko penagihan berulang.

Lebih membimbangkan ialah trend penggunaan dadah sintetik melalui vape. Ramai orang muda mungkin tidak menyedari cecair vape digunakan mengandungi bahan sintetik berbahaya boleh merosakkan otak, menjejaskan pertimbangan, mencetuskan gangguan psikiatri serta menyebabkan ketagihan dalam tempoh singkat.

Bentuk vape yang kecil dan mudah disembunyikan juga menyukarkan usaha penguatkuasaan.

Sehubungan itu, isu ini memerlukan pendekatan menyeluruh yang membabitkan kerajaan, AADK, Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pendidikan (KPM), institusi pengajian tinggi (IPT), ibu bapa, sekolah, pertubuhan masyarakat serta masyarakat.

Antara langkah perlu diberi perhatian ialah:

Memperhebatkan penguatkuasaan terhadap pengeluaran, penyeludupan, penjualan dan pengedaran dadah sintetik, termasuk disembunyikan dalam cecair dan kartrij vape. Memperkukuh kawalan di pintu masuk negara bagi menghalang kemasukan bahan kimia digunakan untuk menghasilkan dadah sintetik. Melaksanakan kempen kesedaran secara besar-besaran di sekolah, kolej dan universiti mengenai bahaya dadah sintetik dan penyalahgunaan vape. Menjalankan saringan kesihatan mental secara menyeluruh terhadap individu menjalani rawatan pemulihan dadah supaya mereka yang mengalami diagnosis berganda menerima rawatan bersepadu. Mempertingkatkan kerjasama antara AADK, KKM, polis, institusi pendidikan dan pakar psikiatri bagi menyediakan rawatan dan pemulihan lebih berkesan. Memberi latihan kepada ibu bapa dan guru mengenal pasti tanda awal penyalahgunaan dadah dan masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja. Menilai semula undang-undang berkaitan vape bagi mengelakkan ia disalahgunakan sebagai medium penyampaian dadah sintetik.

Program pemulihan dadah pada masa kini tidak lagi boleh memberi tumpuan kepada ketagihan semata-mata.

Ia mesti merangkumi rawatan kesihatan mental secara bersepadu kerana tanpa pendekatan sedemikian, risiko penagihan berulang, tingkah laku ganas, cubaan membunuh diri serta pembabitan dalam jenayah akan terus meningkat.

Semua pihak perlu memahami usaha membanteras dadah sintetik bukan hanya tanggungjawab agensi penguatkuasaan semata-mata, tetapi komitmen bersama masyarakat.

Kita tidak boleh membiarkan generasi muda menjadi mangsa dadah sintetik dan gangguan kesihatan mental yang sebenarnya boleh dicegah.

Tindakan tegas, menyeluruh dan berterusan mesti dilaksanakan sekarang sebelum keadaan menjadi lebih parah.

Tan Sri Lee Lam Thye,

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat

Video Terkini

Berita Berkaitan