ISU kebersihan awam sentiasa menjadi keutamaan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan bandar dan pekan kekal bersih, selesa serta selamat untuk didiami.
Kita menyokong tindakan tegas terhadap mereka yang membuang sampah merata-rata di kawasan seliaan PBT.
Namun, terdapat satu lagi kebiasaan atau amalan orang yang wajar diberikan perhatian serius iaitu kegemaran memberi makanan kepada haiwan terbiar di kaki lima, tepi jalan dan laluan awam.
Perbuatan ini sangat bertepatan dengan semangat peri kemanusiaan tetapi pada masa sama, ada cacat celanya.
Kegemaran ini sebenarnya turut mendatangkan kesan negatif seperti menyebabkan keadaan persekitaran menjadi kotor, busuk dan berbau najis haiwan.
Kaki lima dan laluan pejalan kaki adalah kemudahan awam. Apabila makanan haiwan diletakkan di situ, sisa bertaburan dan tidak dibersihkan dengan sempurna, kawasan berkenaan menjadi kotor, berbau dan mengundang serangga serta tikus.
Keadaan ini bukan sahaja mencemarkan pemandangan, malah boleh mengundang risiko penyakit. Dalam jangka panjang, ia turut menggalakkan pengumpulan haiwan terbiar dan liar di satu-satu lokasi, sekali gus meningkatkan risiko gangguan kepada orang ramai.
Isu kebersihan tidak harus dikompromi atas apa juga alasan. Jika membuang sampah di kawasan PBT boleh dikenakan kompaun kerana mencemarkan persekitaran, mengapa tindakan meninggalkan sisa makanan di laluan awam tidak dilihat dalam kerangka sama.
Pendekatan lebih sistematikÂ
Prinsipnya mudah, apa-apa perbuatan menjejaskan kebersihan dan ketenteraman awam perlu dikawal melalui peraturan jelas dan penguatkuasaan konsisten.
Kita tidak menolak nilai ihsan terhadap haiwan. Namun, keprihatinan itu perlu disalurkan melalui cara lebih teratur dan bertanggungjawab, seperti bekerjasama dengan pertubuhan kebajikan haiwan, program pensterilan atau memberi makan di kawasan dibenarkan dan tidak mengganggu orang awam.
Pendekatan lebih sistematik akan membantu mengawal populasi haiwan terbiar tanpa menjejaskan kebersihan bandar atau kawasan kediaman.
PBT wajar mempertimbangkan garis panduan khusus atau undang-undang kecil yang melarang pemberian makanan di laluan awam, sama seperti larangan membuang sampah.
Penguatkuasaan mungkin tidak popular pada awalnya, tetapi demi kepentingan jangka panjang kebersihan dan keselesaan bersama, langkah ini perlu dibincangkan secara terbuka.
Bandar yang bersih mencerminkan sikap masyarakatnya. Belas kasihan terhadap haiwan tidak harus mengorbankan hak orang lain untuk menikmati persekitaran bersih, selamat dan teratur.
Kebersihan awam adalah tanggungjawab bersama dan dalam hal ini, kompromi bukan pilihan.
Cadangan untuk menjadikan perbuatan memberi makan haiwan terbiar di kawasan awam sebagai satu kesalahan bukan antihaiwan, apatah lagi membenci kucing atau anjing. Sebaliknya, ia berasaskan pertimbangan kebersihan, kesihatan dan keselesaan masyarakat.
























