DALAM dunia bergerak sepantas satu sentuhan skrin, satu peristiwa hari ini boleh menjadi perhatian satu dunia dalam masa beberapa minit.
Video kemalangan, rakaman pergaduhan, kisah peribadi malah detik sedih seseorang kini mudah dirakam dan disebarkan tanpa sempadan.
Malaysia merekodkan lebih 29 juta pengguna media sosial, menjadikan antara negara mempunyai kadar penggunaan digital tinggi di rantau ini.
Dalam ruang luas ini, satu persoalan semakin penting untuk ditanya, apabila setiap orang mahu menjadi paling cepat berkongsi dan paling awal menjadi 'viral', siapa sebenarnya menjaga adab digital.
Media sosial pada asalnya dibina untuk mendekatkan masyarakat. Ia membuka ruang komunikasi, perkongsian ilmu dan mempercepat penyampaian maklumat.
Namun, keghairahan mengejar perhatian, jumlah tontonan dan reaksi pengguna, muncul satu budaya membimbangkan, iaitu kecenderungan berkongsi terlebih dahulu tanpa memikirkan kesan kepada orang lain.
Hari ini, tidak sukar melihat rakaman kemalangan dimuat naik di media sosial sebelum bantuan tiba, wajah mangsa dipaparkan tanpa izin atau kisah peribadi dijadikan bahan percakapan.
Ada yang merakam individu sedang berdepan detik sukar demi mendapatkan perhatian di media sosial. Dalam banyak keadaan, sempadan antara berkongsi maklumat dan menjaga maruah manusia semakin kabur.
Apa yang lebih membimbangkan ialah budaya ini semakin menjadi norma dalam kehidupan masyarakat. Kita mula mengukur nilai sesuatu kandungan berdasarkan jumlah tontonan dan bukannya kesan terhadap individu terbabit.
Dalam keghairahan menjadi orang pertama berkongsi, ramai terlupa setiap kandungan membabitkan manusia sebenar mempunyai keluarga, emosi dan kehidupan di luar skrin telefon.
Adab digital bukan perkara baharu. Ia adalah nilai lama perlu dibawa masuk ke dunia baharu. Jika dalam kehidupan sebenar kita diajar menjaga tutur kata, menghormati privasi dan membantu orang dalam kesusahan, prinsip sama juga perlu diamalkan ketika berada di alam digital. Teknologi berubah, tetapi nilai kemanusiaan tidak sepatutnya berubah.
Ini tidak bermaksud masyarakat tidak boleh merakam atau berkongsi maklumat. Dalam banyak situasi, media sosial membantu menyebarkan maklumat kecemasan, menyegerakan bantuan dan meningkatkan kesedaran awam.
Niat dan cara guna medium
Namun, persoalannya ialah niat dan cara menggunakan medium berkenaan. Adakah kandungan itu dikongsi untuk membantu atau sekadar mendapatkan perhatian? Adakah kita sedang menyampaikan maklumat atau sebenarnya mengeksploitasi keadaan?
Generasi muda sering dikaitkan dengan penggunaan media sosial, tetapi hakikatnya isu adab digital membabitkan semua lapisan masyarakat.
Orang dewasa, ibu bapa, organisasi malah institusi juga mempunyai tanggungjawab sama. Literasi digital hari ini bukan sekadar mengajar cara menggunakan aplikasi, tetapi mendidik masyarakat memahami tanggungjawab menghasilkan kandungan.
Institusi pendidikan boleh memainkan peranan memperkukuh pendidikan berkaitan etika digital dan pemikiran kritikal sejak di sekolah. Komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga boleh mainkan peranan menggerakkan kempen kesedaran penggunaan media sosial lebih beretika.
Selain itu, kerajaan mempunyai peranan penting memastikan ruang digital kekal sihat melalui penguatkuasaan undang undang dan pendidikan awam secara berterusan.
Setiap kali kita menekan butang rakam, kongsi atau hantar, ada persoalan wajar ditanya kepada diri sendiri. Jika individu dalam kandungan itu ahli keluarga sendiri, adakah kita masih mahu memuat naik perkara sama.
Kemajuan teknologi tidak sepatutnya menghakis nilai kemanusiaan dalam kehidupan bermasyarakat. Dalam dunia semakin pantas dan dipenuhi persaingan mendapatkan perhatian, adab perlu bergerak seiring dengan perkembangan digital.
Tidak semua yang dirakam perlu dikongsi dan tidak semua menjadi perhatian wajar dijadikan tontonan. Sebelum menekan butang muat naik, mungkin persoalan paling penting untuk ditanya bukan sama ada kandungan itu mampu menjadi viral, tetapi sama ada tindakan itu menghormati maruah dan perasaan manusia.
Ukuran sebenar kematangan digital bukan terletak pada siapa paling pantas berkongsi, tetapi siapa paling bijak dan bertanggungjawab menggunakan ruang maya.
Mohamad Amirul Mohd Adnan Ali,
Ketua Seksyen Komunikasi Korporat, Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat, Universiti Putra
























