BH Online
Ringkasan Berita

Gaji tiada baki, kehidupan rasa seperti 'dipotong'

MASIH ingat lagi 10 atau 15 tahun lalu, sebungkus nasi lemak ayam di sebuah gerai di Kampung Baru, Kuala Lumpur berharga RM5. Hampir tiga kali seminggu diri ini berjalan kaki dari rumah ke gerai berkenaan membeli nasi lemak ayam itu. Sedap? Ketagih? Atau tiada pilihan?
Gaji tiada baki, kehidupan rasa seperti 'dipotong'

- Foto hiasan

MASIH ingat lagi 10 atau 15 tahun lalu, sebungkus nasi lemak ayam di sebuah gerai di Kampung Baru, Kuala Lumpur berharga RM5. Hampir tiga kali seminggu diri ini berjalan kaki dari rumah ke gerai berkenaan membeli nasi lemak ayam itu. Sedap? Ketagih? Atau tiada pilihan?

Tidak mungkin tiada pilihan kalau bercerita soal makanan di Kampung Baru. Sehingga kini, gerai nasi lemak ayam itu masih beroperasi seperti biasa. Peniaga yang sama, pembantu sama, malah kini sudah bertambah tiga orang.

Namun, harga sebungkus nasi lemak ayam bukan lagi RM5. Kini sudah mencecah RM10 sebungkus. Kuantitinya hampir sama, malah pelanggan pula semakin ramai.

Penulis masih seperti 10 atau 15 tahun lalu. Gaji tidak banyak berubah, gaya hidup juga tidak jauh berbeza. Ribuan, malah jutaan rakyat Malaysia mungkin berkongsi cerita sama. Bukan tidak mahu hidup lebih selesa, tetapi pendapatan tidak lagi mampu mengejar kadar kenaikan kos kehidupan.

Sebenarnya, yang berubah bukan sekadar harga sebungkus nasi lemak, tetapi cara kita menjalani kehidupan. Dahulu, selepas menerima gaji, ramai masih mampu menarik nafas lega. Ada baki untuk membawa keluarga makan di luar, menonton wayang, bercuti di Port Dickson atau Cameron Highlands, membeli pakaian baharu ketika musim perayaan tanpa terlalu banyak berkira-kira.

Hari ini, sebelum gaji masuk pun kita sudah tahu ke mana wang itu akan disalurkan. Sewa rumah, ansuran kereta, bil utiliti, internet, yuran taska, belanja sekolah anak, insurans, minyak kereta dan pelbagai jenis bayaran lagi. Belum sempat menikmati gaji, sebahagian besarnya sudah 'ditempah' pelbagai komitmen. Akhirnya, bukan perbelanjaan dipotong. Sebaliknya, kehidupan pula yang dipotong.

Ada yang berhenti bercuti, ada yang berhenti makan di restoran, ada yang membatalkan hobi, ada yang menangguhkan perkahwinan dan ada yang melupakan impian memiliki rumah.

Ada ibu bapa terpaksa berdolak-dalih setiap kali anak meminta sesuatu, 'bulan depan ya'. Kita tidak sedar, sedikit demi sedikit, kehidupan yang pernah dianggap normal semakin mengecil. Persoalannya, apabila harga barang terus meningkat, siapa harus dipersalahkan. Peniaga atau pengguna.

Peniaga mempunyai alasan sukar dinafikan. Harga bahan mentah naik. Kos penghantaran meningkat. Gaji pekerja bertambah. Sewa premis pula tidak pernah turun. Krisis Asia Barat dan penutupan Selat Hormuz menguatkan lagi hujah untuk menaikkan harga. Semua itu benar.

Pengguna ada kuasa memilih

Namun, kita juga tidak boleh menutup mata terhadap segelintir yang menjadikan setiap kenaikan kos sebagai peluang menggandakan keuntungan. Kenaikan kos lima peratus diterjemahkan kepada kenaikan harga 20 peratus. Apabila kos kembali reda, harga kekal di tempat sama.

Dalam dunia perniagaan, itu dipanggil strategi. Dalam dunia pengguna, itu dipanggil tekanan. Tetapi, sebelum terlalu pantas menyalahkan peniaga, pengguna juga perlu bertanya kepada diri sendiri. Siapakah sebenarnya menentukan harga di pasaran? Jawapannya kita.

Setiap kali kita membeli sesuatu pada harga tidak munasabah tanpa berfikir panjang, kita sebenarnya sedang menghantar satu mesej kepada peniaga 'harga ini masih boleh diterima'.

Sebab itu pengguna mempunyai kuasa jauh lebih besar daripada mereka sedari. Kuasa untuk memilih, membandingkan harga atau tidak membeli. Kuasa untuk menyokong peniaga jujur. Kuasa meninggalkan premis mengenakan harga melampau.

Kuasa itu mungkin nampak kecil apabila dilakukan seorang pengguna, tetapi apabila dilakukan oleh ribuan pengguna, ia mampu untul mengubah keseluruhan pasaran.

Lihat sahaja bagaimana sesetengah restoran suatu ketika dahulu sentiasa penuh, kini mula menawarkan promosi, diskaun dan menu mampu milik apabila pelanggan semakin berkurangan. Pasaran sentiasa memberikan jawapan kepada tingkah laku pengguna.

Sebab itu, pengguna juga perlu 'mendidik' peniaga. Bukan dengan kemarahan atau kecaman, tetapi dengan pilihan. Pilih untuk membeli di premis menawarkan harga berpatutan, menyokong peniaga telus dan meninggalkan mereka mengambil kesempatan. Apabila keuntungan mula merosot, ketika itulah peniaga akan kembali menilai semula harga ditawarkan. Hakikatnya, isu kos sara hidup tidak akan selesai hanya dengan meminta pengguna berjimat atau mengharapkan peniaga bertimbang rasa.

Ia memerlukan pertumbuhan pendapatan benar-benar seiring dengan kenaikan kos kehidupan, persaingan pasaran sihat, penguatkuasaan terhadap pencatutan serta pengguna semakin bijak menggunakan kuasa membeli.

Persoalan lebih besar ialah mengapa selepas 15 tahun bekerja, begitu ramai masih hidup dengan kemampuan hampir sama. Jika keadaan ini terus dibiarkan, yang semakin mahal bukan sekadar harga sebungkus nasi lemak, tetapi peluang untuk hidup seperti pernah kita anggap biasa suatu ketika dahulu.

Penulis ialah Penolong Pengarang Berita BH (Pengeluaran)

Video Terkini

Berita Berkaitan