POSTER boy seingat kita muncul didendangkan dalam pilihan raya moden khususnya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Kalau bukan kerana Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi auranya (seerti poster boy) untuk Pakatan Harapan (PH), pembangkang barangkali terus kempunan untuk menjadi kerajaan pemerintah 9 Mei 2018.
Pada PRU14, parti komponen Pakatan Harapan (PH) mencipta rekod prestasi cemerlang luar biasa. PKR tonggak PH meraih 49 kerusi Parlimen daripada 71 ditandingi (69 peratus). DAP pula memenangi 42 daripada 47 (89 peratus), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memperoleh 12 daripada 52 (23 peratus), Parti Amanah Negara (AMANAH) menguasai 11 daripada 34 kerusi (32 peratus), manakala Parti Warisan Sabah pula menang lapan daripada 17 kerusi parlimen.
Nasib Barisan Nasional (BN), penyandang pentadbir Malaysia enam dekad nasibnya kurang baik. Cuma memenangi 79 daripada 222 kerusi ditandingi (36 peratus). PAS meraih 18 daripada 157 kerusi (11 peratus).

Undi popularÂ
PH dalam PRU14 turut berjaya menawan kebanyakan negeri dengan merebut 257 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 530 kerusi ditandingi. Melainkan Kelantan, Terengganu yang ditawan PAS, Pahang dan Sarawak pula kekal di tangan BN. Jumlah undi popular BN dikesan merosot daripada 46.7 peratus (PRU13) kepada 33.9 peratus, manakala PH mampu mengekalkan undi popularnya (50.1 peratus).
Dr Mahathir meskipun berkuasa sebentar 22 bulan, sudah cukup menyaksikan PH tercatat dalam sejarah politik negara.
Ya, pastinya impian mutlak seorang ahli politik adalah jawatan perdana menteri, timbalan perdana menteri atau menteri besar. Namun, jawatan cloud nine ini bukan untuk semua orang. Hanya ada satu tempat untuk mengisi jawatan-jawatan ini.
 Hilang depositÂ
Waima dijanjikan poster boy untuk menduduki jawatan Menteri Besar (MB) misalnya di kemudian hari, jangan sesekali dilupai nasib dan ketentuan masa adalah penting.
Datuk Ir Hasni Mohammad diangkat sebagai poster boy BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Sempurna. BN menang bergaya sehinggakan Johor yang dimomokkan kubu presiden BERSATU disapunya habis. Parti-parti Melayu yang baru muncul terkedu. Hilang deposit lagi. Namun, untuk Hasni menyambung tugas menteri besar tidak kesampaian. Yang 'diorder tidak serupa barang yang sampai'.
Suatu ketika, Allahyarham Tun Ghazali Shafie atau King Ghaz amat disohorkan untuk menjadi TPM sebelum 1976. Tetapi 'baris tangannya' atau tuah badan tidak melambangkan untuk jadi TPM. Tuah ada pada Dr Mahathir. Dikhabarkan Dr Mahathir terkejut apabila diberitahu semasa di Batu Pahat beliau dilantik Perdana Menteri Datuk Hussein Onn sebagai timbalannya.
Tan Sri Muhyiddin Yassin pula secara tiba-tiba menjadi PM ke-8 melalui 'pintu belakang' Langkah Sheraton Februari 2020. Nampak sangat beliau amat 'bernasib baik'.
Berapa kali agaknya Dr Mahathir semasa menjadi PM keempat lagi berjanji mahu serahkan jawatan PM kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim? Dihitung sebelum dan ketika pasca-PRU14, sudah 11 kali hinggakan Anwar 'bertunggu tangga' keluar masuk pejabat Tun.
 Tuah mendatang
Namun, 'tuah' tetap mendatang jika seseorang itu bersabar dan terus tekun bekerja keras merencanakan impiannya. Akhirnya jawatan PM disandang Anwar selepas PRU15 November 2022.
Bagi insan seperti Dr Mahathir contohnya, tuah atau luck itu sudah mendatang kepadanya, susulan tenaga dan kekuatan peribadinya apabila menyandang kali kedua jawatan PM. Orang Melayu menyebut tuah badan ini bulan jatuh ke riba.
Pujangga Inggeris Shakespeare memanggilnya greatness being entrusted upon. Peluang begini sudah tiada lagi dalam politik.
Sebenarnya, sudah sekian lama kita merindukan kesempurnaan politik begini hari ini: "Budi bahasa politik dalaman mesti dilandaskan kepada sistem yang bersih. Sistem yang berasas kepada budaya khidmat dahulu, habuan kemudiannya".
Waima apa pun dalam politik, apa-apa yang mungkin terjadi itu boleh berlaku.
Seperti tangan panjang jam, naik dan turun dalam satu bulatan. Tepat ketikanya, ia datang kembali pada waktu tertentu. Kemudian, seperti sebuah jam dinding, loceng akan berbunyi.
 Sentimen FELDAÂ
Perihal orang politik jika merujuk pada akar umbinya, mereka tahu dan sedar siapa yang bekerja siang malam semasa kempen PRN Johor hingga memberi kemenangan besar 48 daripada 56 kerusi, 11 Julai lalu. Dan kali ini PRN Negeri Sembilan siapa pula gerangannya ke depan?
Biarpun momentum berpihak kepada BN di Johor tempoh hari dalam PRN dan sekalipun PAS berpaling semula untuk bersama UMNO, dua parti Melayu ini masih perlukan dukungan wakil rakyat bukan Melayu.
Ini penting untuk membentuk Kerajaan Persekutuan. Ketika ini terdapat antara 30 hingga 40 kerusi majoriti Cina atau 13.5 peratus daripada keseluruhan kerusi Parlimen. Kebanyakannya di kawasan bandar besar Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.
Daripada 222 kerusi Parlimen, terdapat 155 kerusi luar bandar dikuasai Melayu/Bumiputera. Sabah dan Sarawak pula mempunyai 56 kerusi Parlimen iaitu 31 di Sarawak, 25 di Sabah.
Malah, bila ditinjau peluang di FELDA pula, barang diingatkan dalam dua siri PRU lepas, penguasaan parti-parti Melayu menyusut di FELDA. Pada PRU14, UMNO/BN cuma meraih 27 kerusi Parlimen; PAS (6); PKR (19) dan WARISAN (12).
Ini berbeza sama sekali berbanding PRU13 ketika UMNO/BN masih menguasai 48 kerusi; PAS (3); PKR cuma satu kerusi dan DAP (2). Peningkatan drastik buat PKR di FELDA.
Untuk PRU15, FELDA tidak lagi memihak kepada sesiapa atau mana-mana parti.
 Bilangan majoritiÂ
Bagaimana pula dengan sentimen pengundi Cina? Jika melihat kepada nombor dan bilangan, mereka secara solo masih tidak boleh menjadi faktor penentu dalam PRU nanti.
Daripada 222 kerusi Parlimen, hanya 34 mempunyai komposisi pengundi kaum Cina sebagai majoriti. Sekalipun DAP memperoleh kesemua undi Cina dalam kerusi-kerusi ini, ia hanya akan memenuhi 15 peratus kerusi parlimen. Iaitu 55 kerusi Parlimen di mana pengundi Cina membentuk 30 peratus hingga 50 peratus bilangan pengundi. Walaupun PH mampu memperoleh 80 peratus undi Cina dalam kerusi-kerusi ini, ia masih memerlukan antara 35 peratus hingga 40 peratus sokongan daripada komuniti yang lain untuk memenangi kerusi ini.
Ini semua bererti hanya ada 89 kerusi Parlimen mempunyai pengundi Cina yang membentuk 30 peratus jumlah keseluruhan pengundi. Andai kata PH memenangi kesemua kerusi Parlimen ini, ia hanya akan membentuk 40 peratus jumlah kerusi Parlimen. Masih belum cukup untuk bilangan majoriti kerusi Parlimen.
Jadi, adakah poster boy penting dalam mana-mana PRN atau PRU? Di Negeri Sembilan, siapa layak diangkat poster boy?
Bak kata poster boy Hasni selepas mengepalai kemenangan BN di Johor pada Mac 2022: Pendirian perjuangan politik beliau berpandukan kepada prinsip pemimpin anti-Arpatheid dari Afrika Selatan:
"Nelson Mandela once said, I never lose. I either win or I learn".
Poster boy…demikian ketentuan dan takdir-Nya dalam politik.
























