BH Online
Ringkasan Berita

Agenda IMTF2030 perkasa komuniti, ekonomi India Muslim

Pelancaran Indian Muslim Transformational Framework 2030 (IMTF2030) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah detik penting dalam sejarah pembangunan masyarakat India Muslim di Malaysia.
Agenda IMTF2030 perkasa komuniti, ekonomi India Muslim

bhrencana@bh.com.my

Pelancaran Indian Muslim Transformational Framework 2030 (IMTF2030) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah detik penting dalam sejarah pembangunan masyarakat India Muslim di Malaysia.

Kerangka ini bukan sekadar pengiktirafan simbolik kepada komuniti minoriti, tetapi usaha menyusun agenda pembangunan masyarakat secara lebih sistematik, berfokus dan berorientasikan hasil.

Masyarakat India Muslim dianggarkan 800,000 orang mempunyai sejarah panjang di negara ini. Walaupun bilangannya lebih kecil berbanding komuniti utama lain, sumbangannya terhadap pembentukan negara tidak boleh dipandang remeh.

Dalam konteks ini, kesediaan Perdana Menteri mendengar keluhan masyarakat, mengakui masih terdapat kekurangan dalam pelaksanaan dasar serta memberikan komitmen terhadap pendidikan, perumahan, pembiayaan, pekerjaan, kebajikan dan perniagaan wajar dihargai.

IMTF2030 berfungsi sebagai pelan tindakan lima tahun memberikan tumpuan kepada pendidikan, keusahawanan, pembangunan kepemimpinan dan penyertaan dalam pembangunan negara.

Selama ini, banyak inisiatif pembangunan masyarakat dilaksana terpisah, bermusim atau bergantung kepada usaha organisasi dan individu tertentu.

IMTF2030 cuba mengubah keadaan ini melalui pendekatan lebih tersusun, dengan sasaran boleh diukur dan dinilai pencapaiannya.

Antaranya menggerakkan dana RM50 juta bagi biasiswa dan pembangunan bakat, meningkatkan kemahiran 50,000 individu, membantu pendigitalan 2,500 perusahaan serta memperkasa sosioekonomi 10,000 keluarga.

IMTF2030 turut menyasarkan pembangunan 500 perusahaan berteraskan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital, pembentukan 50 jenama tempatan bersedia menembusi pasaran eksport, penciptaan peluang perolehan RM10 bilion dalam rantaian bekalan tempatan serta penjanaan nilai ekonomi terkumpul sehingga RM250 bilion menjelang 2030.

Sasaran ini sememangnya besar. Namun transformasi tidak akan berlaku dengan meletakkan sasaran terlalu kecil. Masyarakat India Muslim perlu diberikan keberanian berfikir jauh, meneroka sektor baharu dan keluar lingkungan ekonomi tradisional.

Antara tonggak terpenting IMTF2030 ialah MUKMIN Future Leaders Scholarship (MFLS). Melalui kerjasama dengan lapan institusi pengajian tinggi (IPT), inisiatif ini memperoleh komitmen biasiswa melebihi RM10 juta dan membuka lebih 400 peluang pendidikan kepada generasi muda.

MFLS penting kerana ramai pelajar berbakat daripada keluarga berpendapatan rendah masih terhalang kekangan kewangan, kekurangan pendedahan dan ketiadaan jaringan sokongan.

Bagaimanapun, ia perlu disertai latihan kepemimpinan, bimbingan kerjaya, penguasaan bahasa, digital, penempatan industri dan sistem bimbingan.

Dalam hal ini, kelulusan segera RM2 juta oleh Perdana Menteri bagi pendidikan dan kebajikan anak-anak daripada keluarga memerlukan menunjukkan sokongan kerajaan tidak terhenti pada ucapan.

Dalam sektor ekonomi, masyarakat India Muslim mempunyai pengalaman panjang dalam perniagaan restoran, peruncitan, tekstil, perdagangan dan perusahaan keluarga. Kekuatan tradisional ini perlu dipertahankan, tetapi pada masa sama dimodenkan melalui automasi, pembayaran tanpa tunai, AI, pemasaran digital dan pengurusan data.

Arahan Perdana Menteri supaya isu kekurangan tenaga kerja dalam sektor restoran diselesaikan mengikut keutamaan dalam tempoh maksimum sebulan menunjukkan suara pengusaha didengar.

Namun, penyelesaian jangka panjang bukan sekadar menambah pekerja asing. Peningkatan produktiviti, automasi, latihan pekerja tempatan dan pembaharuan model perniagaan mesti menjadi sebahagian daripada agenda transformasi.

Kepemimpinan terus perkukuh IMTF2030

Keupayaan IMTF2030 turut diperkukuh oleh kepemimpinan Presiden MUKMIN, Datuk Wira Shahul Dawood. Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman merentasi sektor keusahawanan, awam dan korporat.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Green Packet Berhad pernah mengetuai HRD Corp dan menerajui agenda pembangunan bakat jutaan rakyat.

Shahul juga Timbalan Presiden ASEAN Chamber of Commerce and Industry serta Profesor Adjung di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Latar belakang akademik dan jaringan beliau merangkumi kerajaan, industri, institusi pendidikan dan pertubuhan masyarakat, menjadikannya tokoh sesuai menghubungkan aspirasi komuniti dengan mekanisme pelaksanaan sebenar.

Kejayaan IMTF2030 tidak boleh bergantung kepada seorang pemimpin atau satu organisasi sahaja. Kekuatan sebenarnya terletak pada keupayaan membina ekosistem kerjasama antara kerajaan, IPT, sektor swasta, institusi kewangan, badan profesional dan organisasi masyarakat.

Setiap sasaran akan disertakan garis masa, pihak bertanggungjawab, petunjuk prestasi dan laporan kemajuan yang telus bagi memastikan IMTF2030 tidak berakhir sebagai dokumen pelancaran sarat dengan aspirasi tetapi lemah dari segi pelaksanaan.

IMTF2030 membawa satu mesej besar iaitu masyarakat India Muslim tidak mahu hanya dilihat sebagai penerima bantuan, tetapi sebagai rakan pembangunan negara.

Ia membuka ruang perubahan daripada pendekatan sementara kepada strategi tersusun, daripada kebergantungan kepada penciptaan peluang serta daripada penyertaan terhad kepada sumbangan lebih besar dalam ekonomi nasional.

Profesor Kehormat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)

Video Terkini

Berita Berkaitan