BH Online
Ringkasan Berita

9 langkah atasi tekanan emosi, mental akibat obsesi politik

SEORANG isteri memerhatikan perubahan sikap suaminya membimbangkan. Setiap pagi, suaminya memulakan hari dengan membaca berita politik, setiap perbualannya sentiasa berkisar mengenai politik dan setiap malam akan diakhiri perdebatan panjang di media sosial.
9 langkah atasi tekanan emosi, mental akibat obsesi politik

Foto hiasan.

SEORANG isteri memerhatikan perubahan sikap suaminya membimbangkan. Setiap pagi, suaminya memulakan hari dengan membaca berita politik, setiap perbualannya sentiasa berkisar mengenai politik dan setiap malam akan diakhiri perdebatan panjang di media sosial.

Hubungan dengan ahli keluarga mulai renggang, persahabatan terputus hanya kerana perbezaan ideologi, malah setiap isu kehidupan akan dilihat melalui lensa politik.

Kisah ini mungkin kedengaran keterlaluan, hakikatnya ia makin mudah ditemui dalam masyarakat. Politik asalnya wadah membincangkan pentadbiran negara, kebajikan rakyat serta masa depan masyarakat kini bertukar menjadi satu faktor menjejaskan kesejahteraan hidup.

Fenomena ini semakin mendapat perhatian dalam bidang psikologi dan sains politik. Terdapat beberapa konsep digunakan bagi menggambarkan situasi ini seperti political obsession disorder, political hyper-fixation dan political anxiety bagi menerangkan kecenderungan seseorang terbabit secara berlebihan dalam isu politik hingga menguasai pemikiran, emosi dan tingkah laku, sekali gus mengganggu fungsi kehidupan.

Dalam keadaan tertentu, penglibatan melampau boleh menjejaskan kesejahteraan psikologi, hubungan sosial dan keupayaan individu untuk menilai sesuatu isu secara objektif.

Soalnya, mengapa politik begitu mudah menguasai pemikiran dan sikap manusia?

Jawapannya tidak semata-mata terletak pada politik, tetapi bagaimana otak manusia berfungsi. Manusia secara fitrahnya ialah makhluk sosial yang sentiasa mencari identiti dan rasa memiliki.

Menurut teori identiti sosial oleh Henri Tajfel dan John Turner, seseorang akan mentakrifkan dirinya berdasarkan keanggotaan dalam sesuatu kumpulan. Ia boleh terbentuk melalui hubungan kekeluargaan, kenegerian, pekerjaan atau agama. Namun dalam dunia moden, parti politik juga boleh menjadi sebahagian identiti berkenaan.

Apabila seseorang mula mendefinisikan diri sebagai 'penyokong parti A' atau 'penentang parti B', politik tidak lagi sekadar perbezaan pandangan mengenai dasar awam. Sebaliknya, ia menjadi sebahagian identiti dan peribadi.

Kritikan terhadap parti disokong mula dirasakan sebagai serangan terhadap diri mereka. Perdebatan politik bukan lagi usaha untuk mencari kebenaran dan penyelesaian masalah, tetapi demi mempertahankan identiti. Senario ini menjelaskan mengapa ramai individu berpendidikan tinggi sekalipun sukar menerima fakta bercanggah dengan kepercayaan politik mereka. Ahli psikologi menyifatkan keadaan ini sebagai confirmation bias, iaitu kecenderungan memilih maklumat yang menyokong kepercayaan peribadi, tetapi mengabaikan bukti dan fakta bertentangan.

Kehadiran media sosial pula merumitkan lagi keadaan. Kandungan bermain dengan emosi dan mampu membangkitkan kemarahan, rasa takut atau teruja akan menerima lebih banyak interaksi.

Akibatnya, pengguna terus-menerus disajikan dengan kandungan mengukuhkan kepercayaan mereka, hingga membentuk apa dikenali sebagai echo-chamber. Dalam ruang digital, sesuatu kelompok hanya menerima pandangan selari dengan ideologi mereka sahaja, manakala pandangan berbeza akan dianggap salah atau tidak masuk akal.

Walaupun politik bukan bahan menyebabkan ketagihan seperti dadah atau alkohol, corak kelakuan terbentuk mempunyai persamaan dengan beberapa bentuk ketagihan tingkah laku (behavioural addiction).

Tekanan emosi meningkat

Fenomena ini menjadi lebih ketara apabila digabungkan dengan budaya doom scrolling, iaitu kecenderungan membaca kandungan media sosial secara berterusan hingga menyebabkan tekanan emosi meningkat.

Terdapat juga konsep political hobbyism, iaitu kecenderungan mengikuti politik secara berlebihan sebagai satu bentuk hiburan atau identiti sosial tanpa penglibatan sivik bermakna.

Seseorang boleh menghabiskan masa berdebat atau mengkritik pihak lawan di media sosial, tetapi tidak menyumbang kepada pembangunan negara dan masyarakat melalui dialog, khidmat komuniti atau penglibatan dalam proses demokrasi secara konstruktif.

Pelaksanaan pilihan raya umum dan pilihan raya negeri pada waktu berbeza juga boleh mendedahkan masyarakat kepada polemik dan konflik politik berpanjangan.

Kesan obsesi politik terhadap kesihatan mental tidak boleh dipandang ringan. Kajian psikologi politik menunjukkan pendedahan berpanjangan kepada konflik politik boleh menyebabkan tekanan, keresahan, keletihan emosi, gangguan tidur dan konflik interpersonal.

Ahli psikologi daripada Universiti Toronto, Dr Brett Ford menyatakan politik boleh mencetuskan pelbagai spektrum emosi, termasuk sedih, teruja, kecewa, cemas, geram, marah serta tekanan kronik.

Polarisasi politik menjejaskan hubungan kekeluargaan dan persahabatan apabila individu mula menilai orang lain berdasarkan identiti politik semata-mata. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menghakis empati, mengurangkan toleransi terhadap perbezaan pandangan dan meningkatkan perseteruan.

Bagi mengurangkan tekanan psikologi akibat obsesi politik, terdapat beberapa strategi boleh dilakukan:

Amalkan politik berempati dengan lebih banyak mendengar, memahami perspektif orang lain, mengelakkan perdebatan sia-sia dan galakkan perbincangan konstruktif. Hadkan masa di media sosial dan wujudkan sempadan digital. Kurangkan komen, kemas kini status, perdebatan atau doom scrolling yang kompulsif. Amalkan detoks digital jika perlu. Amalkan adab ikhtilaf dianjurkan Islam, iaitu memastikan perbezaan pandangan tidak membawa kepada perpecahan, di samping saling menghormati, meraikan kepelbagaian dan menjunjung prinsip kebenaran dan keadilan. Berfikir secara rasional dan amalkan kesederhanaan dalam kehidupan. Refleksi dan bermuhasabah tentang tingkah laku kita dalam berpolitik. Fikirkan sejauh mana perbuatan dan tutur kata kita boleh menyinggung perasaan orang lain. Tidak berbaloi bersengketa atau putus silaturahim akibat berbeza fahaman politik. Utamakan kesejahteraan hidup. Kesihatan mental kita lebih penting daripada mengikuti berita politik terkini atau memenangi perdebatan. Luangkan lebih masa dengan keluarga dan sahabat handai, berbanding membazirkan masa dengan isu-isu politik. Ubah political hobbyism kepada gaya hidup yang lebih produktif dan bermanfaat seperti bersukan, aktiviti keagamaan, menjaga alam sekitar, khidmat masyarakat atau menjana pendapatan melalui berniaga. Dapatkan bantuan profesional sekiranya anda memerlukan sokongan.

Justeru, minat terhadap politik bukanlah semuanya negatif, sebaliknya boleh menjadi asas kepada sistem demokrasi sihat. Yang menjadi masalah apabila politik dibiarkan menguasai diri sehingga menjejaskan nilai kemanusiaan, hubungan kekeluargaan dan kesejahteraan.

Kematangan politik bukanlah bermaksud mengikuti perkembangan politik sepanjang masa, tetapi mampu menilai maklumat secara kritis, mengawal emosi, menghormati pandangan berbeza serta berperibadi mulia.

Politik seharusnya menjadi wasilah untuk membina masyarakat yang lebih baik, bukannya medan yang menghakis ketenangan, kebahagiaan dan kesihatan.

Penulis adalah Penyelidik di Fakulti Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM)

Video Terkini

Berita Berkaitan