BH Online
Ringkasan Berita

Benda kita boleh ubah: Guna bawah 600kWj tak kena surcaj elektrik

RAMAI mengeluh bil elektrik mahal sejak Mei lalu. Ramai mendakwa bil tinggi kerana pelbagai caj tambahan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) sehingga mereka terbeban.
Benda kita boleh ubah: Guna bawah 600kWj tak kena surcaj elektrik

Foto hiasan.

RAMAI mengeluh bil elektrik mahal sejak Mei lalu. Ramai mendakwa bil tinggi kerana pelbagai caj tambahan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) sehingga mereka terbeban.

Biasalah bila tak faham keadaan sebenar, kita mudah marah dan biasanya kita letak punca masalah kepada orang lain.

Justeru itu, cara mudah nak faham ialah kita perhatikan bagaimana kita dicaj. Penetapan bil elektrik tertakluk kepada mekanisme Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik atau Automatic Fuel Adjustment (AFA), yang akan berubah-ubah sama ada menjadi rebat atau surcaj. Ia sangat bergantung kepada harga bahan api global serta kadar tukaran asing.

AFA diperkenalkan ketika penstrukturan tarif elektrik pada Julai tahun lalu. Kadar AFA berubah setiap bulan, berdasarkan penentuan oleh Suruhanjaya Tenaga. Rebat atau surcaj. Kini ia adalah surcaj iaitu tambahan bayaran apabila kos bahan api lebih tinggi daripada unjuran.

Mekanisme AFA menggalakkan ketelusan, mencerminkan kos sebenar dan meningkatkan kecekapan kos. Apabila harga bahan api meningkat atau menurun, mekanisme AFA akan membuat pelarasan yang sewajarnya mengikut perubahan tersebut. AFA membantu mengurus turun naik harga bahan api dengan lebih berkesan dan sistematik.

Selain itu, sejak setahun lalu kadar tarif adalah berasaskan voltan bukan lagi berasaskan aktiviti seperti sebelumnya. Bagi pelanggan domestik, blok tarif kepada dua sahaja berbanding lima.

Mei hingga kini, surcaj

Sejak Julai tahun lalu, kadar AFA adalah rebat. Sepanjang tempoh rebat AFA hingga April tahun ini, pengguna telah menikmati rebat sebanyak RM3.2 billion.

Tapi sejak Mei hingga sekarang, kadar AFA adalah surcaj. Inilah yang menyebabkan bil lebih tinggi berbanding biasa.

Mungkin ramai sedia maklum, punca AFA jadi surcaj adalah disebabkan kenaikan harga bahan api global akibat sekatan di Selat Hormuz lantaran perang AS-Iran.

Seperti yang diterbitkan oleh TNB di laman sesawangnya, mekanisme AFA bagi Julai 2026 merekodkan surcaj sebanyak RM583 juta, bersamaan 5.55 sen setiap kilowatt-jam (kWj). Surcaj itu berpunca terutamanya daripada kenaikan harga bahan api yang menyebabkan kos penjanaan elektrik meningkat dalam tempoh berkenaan.

Bagi mengurangkan kesan kenaikan kos bahan api terhadap pengguna, 35 peratus daripada peningkatan kos itu, iaitu RM206 juta (bersamaan 1.96 sen/kWj), ditanggung menerusi Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

Sehubungan itu, baki 65 peratus daripada surcaj AFA, berjumlah RM377 juta atau 3.59 sen/kWj, akan dipindahkan kepada pengguna elektrik.

Untuk rekod, sepanjang tempoh surcaj Mei hingga Julai, sejumlah RM384 juta dana KWIE telah digunakan bagi mengurangkan kadar AFA yang dipindahkan kepada pengguna.

Pendekatan ini membantu mengurangkan beban pengguna daripada menanggung keseluruhan kesan kenaikan harga bahan api, di samping memastikan kemampanan industri bekalan elektrik negara terus terpelihara.

Butiran bil lebih terperinci

Selain pengenalan AFA, bil kini turut menjadi lebih terperinci dengan paparan caj berasingan, yang mana sebelum penstrukturan Julai tahun lalu semua caj ini disekalikan dalam satu entri. Paparan tambahan pelbagai caj ini bagi meningkatkan aspek ketelusan kepada pengguna.

Kini selain surcaj, caj lain yang dipaparkan ialah:

●Caj peruncitan - Merangkumi kos perkhidmatan pelanggan, pengebilan dan pengurusan akaun.

●Caj kapasiti – Bayaran kapasiti di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dan Perjanjian Tahap Perkhidmatan (SLA)

●Caj rangkaian - Merangkumi kos operasi menyalurkan elektrik ke premis, termasuk penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur.

Bagaimanapun, bagi 85 peratus pelanggan domestik macam saya dan yang lain guna bawah 600kWj (anggaran bawah RM215 sebulan) akan terkecuali daripada AFA dan beberapa caj lain seperti caj peruncitan dan SST 8 peratus. Selain itu, pengguna bawah 1,000kWj turut menikmati Insentif Cekap Tenaga dalam bentuk diskaun antara 0.5 sen hingga 25 sen mengikut jumlah kWj.

Berbalik kepada surcaj kepada pengguna lebih 600 kWj, konflik geopolitik AS-Iran menyebabkan kenaikan harga bahan api termasuk arang batu, minyak dan gas.

Harga bahan api lebih tinggi tingkat kos penjanaan elektrik.

Pada Julai 2026, harga bahan api adalah lebih tinggi berbanding harga asas yang digunakan dalam penetapan tarif elektrik, sekali gus menyebabkan peningkatan keseluruhan kos penjanaan elektrik.

Harga arang batu bagi Julai 2026 direkodkan pada AS$122.37 satu tan metrik, berbanding harga asas AS$97 satu tan metrik. Berdasarkan kadar pertukaran RM3.9455 bagi setiap AS$1 pada Julai 2026, harga arang batu bersamaan RM22.12 setiap juta unit termal British (mmBTU), berbanding harga asas RM19.14/mmBTU pada kadar pertukaran RM4.307 bagi setiap AS$1.

Ketika ini, grid elektrik Malaysia masih bergantung kepada bahan api fosil (Arang Batu dan Gas Asli) yang membentuk hampir 70 peratus keseluruhan penjanaan tenaga TNB.

Mengikut prinsip penjanaan kos terendah (least-cost dispatch), sistem memanfaatkan sepenuhnya semua sumber penjanaan yang tersedia, termasuk arang batu, gas, tenaga solar, bahan api alternatif, hidro dan bekalan elektrik melalui sambungan grid rentas sempadan.

Pada April 2026, permintaan elektrik mencapai paras maksimum sebanyak 22 kali, dengan permintaan puncak tertinggi direkodkan pada 21,469 megawatt (MW) pada 23 April 2026, jam 8.30 malam. Peningkatan itu didorong terutamanya oleh perubahan keadaan cuaca.

Sehubungan itu, kos sebenar penjanaan elektrik bagi April 2026 meningkat 16 peratus, disebabkan beberapa faktor utama, termasuk jualan elektrik meningkat lima peratus, menyebabkan penjanaan sebenar melebihi unjuran sekali gus memaksa peningkatan penjanaan elektrik menggunakan arang batu, gas, hidro dan solar, termasuk import tenaga elektrik dari Thailand.

Dengan struktur tarif baharu ini, sebagai pelanggan domestik, pengurusan penggunaan elektrik yang lebih cekap dapat membantu mengurangkan bil elektrik kita serta memberi impak positif kepada alam sekitar.

Sebagai contoh, jika kita dapat mengekalkan penggunaan elektrik sebanyak 600 kWj dan ke bawah setiap bulan, kita akan nikmati pengecualian Caj Peruncitan dan AFA manakala, penggunaan elektrik 1,000kWj dan ke bawah setiap bulan akan turut menerima Insentif Cekap Tenaga.

Selain itu, bergantung pada corak penggunaan elektrik, kita juga boleh mempertimbangkan untuk beralih kepada skim Time of Use (ToU) bagi memanfaatkan kadar Caj Tenaga yang lebih rendah semasa tempoh luar puncak, sekali gus mengurangkan bil.

Pengarang Digital BH

Video Terkini

Berita Berkaitan