BH Online
Ringkasan Berita

Wujudkan ekosistem sukan selamat lindungi kanak-kanak

KEMATIAN seorang pemain bola sepak bawah 12 tahun ketika menyertai pertandingan baru-baru ini mengejutkan masyarakat, khususnya ibu bapa, jurulatih dan komuniti sukan. Setakat ini, punca sebenar kematian masih belum disahkan secara muktamad.
Wujudkan ekosistem sukan selamat lindungi kanak-kanak

Malaysia memerlukan satu prosedur operasi standard (SOP) Kebangsaan Penganjuran Pertandingan Sukan yang jelas dan boleh dilaksanakan oleh semua jenis penganjur. - Foto hiasan

KEMATIAN seorang pemain bola sepak bawah 12 tahun ketika menyertai pertandingan baru-baru ini mengejutkan masyarakat, khususnya ibu bapa, jurulatih dan komuniti sukan. Setakat ini, punca sebenar kematian masih belum disahkan secara muktamad.

Sementara menunggu hasil siasatan, terdapat satu persoalan lebih besar, iaitu sejauh manakah pertandingan sukan, khususnya membabitkan kanak-kanak, dianjurkan secara profesional, selamat dan bertanggungjawab?

Mutakhir ini, akademi dan kelab sukan berkembang seperti cendawan, begitu juga liga, kejohanan dan karnival sukan kanak-kanak. Ini memberikan banyak manfaat apabila kanak-kanak memperoleh peluang bersukan, membina disiplin, meningkatkan kecergasan dan mengembangkan bakat.

Namun, ia turut melahirkan penganjur baharu yang mungkin bersemangat, tetapi belum memiliki pengetahuan khusus dalam pengurusan risiko, keselamatan peserta dan tindak balas kecemasan.

Menganjurkan pertandingan bukan sekadar menempah padang, mengutip yuran, menyediakan jadual dan mencari pengadil, sebaliknya perlu memikul tanggungjawab terhadap keselamatan atlet, pegawai, jurulatih, ibu bapa, sukarelawan dan penonton.

Tanggungjawab itu menjadi lebih besar apabila membabitkan peserta kanak-kanak. Setiap pertandingan membawa risiko perlu dikenal pasti lebih awal, termasuk kecederaan, penyakit secara tiba-tiba, cuaca buruk, kilat, suhu melampau, kesesakan jadual, keadaan permukaan padang, kegagalan peralatan, kawalan penonton dan kelewatan bantuan kecemasan.

Soalnya, berapa banyak kejohanan akar umbi benar-benar menyediakan penilaian risiko bertulis sebelum pertandingan bermula? Berapa banyak venue mempunyai pelan tindakan kecemasan diketahui semua pegawai? Berapa ramai penganjur mengetahui lokasi alat kejutan jantung automatik (AED) terdekat?

Siapakah yang akan menghubungi ambulans dan memberikan pertolongan cemas? Di manakah laluan masuk kenderaan kecemasan, manakala hospital manakah menjadi pusat rujukan? Semua soalan ini perlu dijawab sebelum wisel pertama ditiup, bukannya apabila kecemasan berlaku.

Namun, tidak semua tanggungjawab diletakkan sepenuhnya di bahu penganjur. Ini kerana keselamatan sukan ialah satu ekosistem membabitkan persatuan sukan, pemilik venue, pasukan, jurulatih, pegawai perlawanan, petugas perubatan, ibu bapa dan pihak berkuasa berkaitan.

Persatuan sukan perlu menetapkan standard penganjuran dan memastikan pertandingan mendapat pengiktirafan sewajarnya, sedangkan pemilik venue bertanggungjawab memastikan kemudahan berada dalam keadaan selamat.

Jurulatih perlu memahami keadaan kesihatan pemain, mengawal beban pertandingan dan tidak memaksa kanak-kanak meneruskan permainan apabila menunjukkan tanda keletihan, kecederaan atau masalah kesihatan.

Ibu bapa juga perlu memberikan maklumat kesihatan anak secara tepat, termasuk sejarah penyakit, alahan, pengambilan ubat dan keadaan perubatan tertentu.

Pengadil mempunyai kuasa menghentikan atau menangguhkan permainan apabila keadaan tidak selamat. Namun, pengadil tidak boleh dijadikan satu-satunya pihak yang perlu membuat semua keputusan keselamatan. Keselamatan hanya dapat diwujudkan apabila semua pihak memahami peranan masing-masing dan bersedia bertindak secara tersusun.

Dalam banyak pertandingan, ibu bapa diminta menandatangani borang kebenaran atau pengakuan risiko. Dokumen itu penting, tetapi tidak boleh dianggap sebagai lesen untuk mengabaikan kewajipan keselamatan. Persetujuan ibu bapa tidak menghapuskan tanggungjawab penganjur untuk menyediakan persekitaran munasabah dan selamat.

Kurangkan kemungkinan tragedi berlaku

Perlindungan insurans juga penting untuk membantu peserta sekiranya berlaku kemalangan, tetapi pembayaran pampasan selepas kejadian bukan pengganti kepada langkah pencegahan. Matlamat utama pengurusan keselamatan bukan untuk menyediakan jawapan selepas tragedi, tetapi mengurangkan kemungkinan tragedi berlaku.

Malaysia mempunyai sistem pensijilan untuk jurulatih, pengadil, pegawai teknikal dan pelbagai profesion sukan. Namun, individu atau organisasi yang mengendalikan pertandingan membabitkan ratusan peserta kadangkala tidak diwajibkan mengikuti latihan profesional setara. Sudah tiba masanya diwujudkan Sijil Profesional Penganjuran dan Keselamatan Sukan sebagai salah satu syarat bagi menganjurkan pertandingan tertentu.

Pensijilan ini tidak semestinya membebankan kejohanan kecil. Ia boleh dilaksanakan secara bertahap berdasarkan skala acara, umur peserta, tahap pertandingan dan profil risiko.

Penganjur kejohanan komuniti kecil mungkin hanya perlu mengikuti kursus asas. Penganjur liga negeri, kebangsaan atau pertandingan membabitkan jumlah peserta besar pula perlu memenuhi tahap pensijilan lebih tinggi.

Kandungan latihan hendaklah merangkumi pengurusan risiko, pertolongan cemas, pelan tindakan kecemasan, keselamatan venue, pengurusan cuaca, perlindungan kanak-kanak, insurans, liabiliti, kawalan peserta, pengurusan krisis dan pelaporan insiden.

Pensijilan tidak seharusnya sekadar menjadi kursus sehari untuk memperoleh sekeping sijil. Peserta perlu dinilai berdasarkan keupayaan menyediakan pelan keselamatan sebenar, melaksanakan simulasi kecemasan dan mengurus senario berisiko.

FIFA sendiri menyediakan kerangka dan latihan safeguarding bagi membantu persatuan serta pihak berkepentingan mencegah risiko kemudaratan terhadap kanak-kanak dan memberikan tindak balas sesuai apabila insiden berlaku.

Program FIFA Guardians turut menunjukkan perlindungan kanak-kanak dalam bola sepak perlu diprofesionalkan melalui dasar, latihan, akauntabiliti dan pembangunan kompetensi, bukan bergantung kepada niat baik semata-mata.

Selain pensijilan profesional, Malaysia memerlukan satu prosedur operasi standard (SOP) Kebangsaan Penganjuran Pertandingan Sukan yang jelas dan boleh dilaksanakan oleh semua jenis penganjur.

Pada masa ini, tahap persediaan keselamatan mungkin berbeza antara kejohanan. Pertandingan besar lazimnya mempunyai pasukan perubatan, ambulans, pegawai keselamatan dan pusat kawalan. Sebaliknya, kejohanan kecil mungkin hanya bergantung kepada beberapa sukarelawan.

Namun, nilai nyawa seorang pemain tidak berubah mengikut saiz kejohanan. Standard minimum tetap perlu diwujudkan. SOP tersebut sekurang-kurangnya perlu menetapkan keperluan berikut:

● Setiap pertandingan mesti menjalankan penilaian risiko sebelum mendapat kelulusan.

● Setiap venue mesti mempunyai pelan tindakan kecemasan jelas, termasuk pegawai bertanggungjawab, nombor kecemasan, hospital rujukan dan laluan ambulans.

● Tahap sokongan perubatan perlu ditentukan berdasarkan bilangan peserta, jenis sukan, umur pemain dan jarak venue dari kemudahan kesihatan.

● Pertandingan perlu mempunyai protokol cuaca buruk, kilat dan suhu melampau. Keputusan untuk menghentikan permainan mesti berasaskan prosedur ditetapkan, bukan tekanan untuk menghabiskan jadual.

● Semua penganjur acara kanak-kanak perlu mempunyai dasar perlindungan kanak-kanak dan seorang pegawai safeguarding terlatih.

● Setiap insiden serius dan kejadian yang hampir menyebabkan kemalangan atau near miss mesti dilaporkan serta dianalisis.

● Penganjur perlu menjalani audit pematuhan, bukan sekadar menghantar dokumen sebelum pertandingan.

Isu pertandingan dikatakan tidak mendapat kelulusan turut memerlukan penelitian. Kelulusan tidak sepatutnya dilihat sebagai proses birokrasi yang hanya menghasilkan surat kebenaran.

Kelulusan mesti menjadi satu proses jaminan kualiti. Sebelum sesuatu pertandingan diluluskan, pihak berkuasa atau badan sukan perlu menilai pelan keselamatan, kelayakan pengurusan, perlindungan insurans, sokongan perubatan, kesesuaian venue dan prosedur kecemasan.

Proses kelulusan perlu mudah, telus dan munasabah. Sekiranya prosedur terlalu rumit, mahal atau mengambil masa terlalu lama, penganjur kecil mungkin memilih untuk bergerak di luar sistem.

Penyelesaiannya bukan sekadar melabel pertandingan sebagai 'haram', tetapi membangunkan satu sistem pendaftaran digital yang mesra pengguna, mempunyai kategori risiko dan menyediakan bimbingan kepada penganjur.

Satu lagi perkara perlu diubah ialah budaya bahawa pertandingan mesti diteruskan walau apa pun berlaku. Kadangkala perlawanan enggan ditangguhkan kerana jadual padat, sewaan padang mahal, pasukan datang dari jauh atau penganjur bimbang menerima bantahan.

Dalam budaya keselamatan matang, keputusan menangguhkan atau membatalkan pertandingan bukan tanda kelemahan. Ia menunjukkan keberanian dan profesionalisme.

Tiada piala, yuran penyertaan, penajaan atau jadual pertandingan lebih berharga daripada nyawa manusia. Semua pegawai perlu diberikan kuasa untuk membangkitkan kebimbangan keselamatan tanpa takut dipersalahkan. Sekiranya petugas perubatan, pengadil atau pegawai keselamatan mengatakan keadaan tidak selamat, pandangan mereka perlu dihormati.

Penulis adalah Pakar sains sukan dan Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Video Terkini

Berita Berkaitan