BH Online
Ringkasan Berita

8 tahun pentadbiran Aminuddin syiar Islam bersinar di Negeri Sembilan

PENELITIAN terperinci ke atas rekod pentadbiran Negeri Sembilan sejak 2018 menunjukkan pembangunan Islam tidak pernah dipinggirkan malah diterjemahkan melalui peningkatan peruntukan, pembangunan institusi, kebajikan penggerak masjid, pemerkasaan pendidikan agama serta pengurusan zakat dan asnaf lebih tersusun.
8 tahun pentadbiran Aminuddin syiar Islam bersinar di Negeri Sembilan

Masjid Muhammad Al-Fateh di Forest Heights, Seremban antara lapan projek sambungan pembinaan membabitkan kos RM7.6 juta mampu menampung sehingga 1,500 jemaah pada satu masa. - Foto FB

PENELITIAN terperinci ke atas rekod pentadbiran Negeri Sembilan sejak 2018 menunjukkan pembangunan Islam tidak pernah dipinggirkan malah diterjemahkan melalui peningkatan peruntukan, pembangunan institusi, kebajikan penggerak masjid, pemerkasaan pendidikan agama serta pengurusan zakat dan asnaf lebih tersusun.

Pada tahun pertama pentadbiran Datuk Seri Aminuddin Harun, kerajaan negeri memperuntukkan RM17.3 juta bagi pembangunan hal ehwal Islam.

Peruntukan itu meliputi pembinaan Mahkamah Syariah Daerah Jempol, Kompleks Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Pilah, kerja menaik taraf Masjid Negeri dan kenaikan elaun kepada lebih 1,500 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

Sebanyak RM2.84 juta lagi diperuntukkan bagi meningkatkan imbuhan bilal, siak dan pembantu am wanita masjid.

Momentum itu diteruskan dalam empat tahun pertama pentadbiran apabila RM52.1 juta diluluskan bagi membina tujuh masjid baharu, manakala RM17.69 juta disalurkan untuk menaik taraf dan menyelenggara masjid serta surau.

Peruntukan pembangunan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bagi 2019 hingga 2022 pula mencecah RM52.56 juta.

Belanjawan 2023 pula memperuntukkan RM22.13 juta kepada sektor kerohanian, meningkat daripada RM19.95 juta pada 2022.

Sebahagian besarnya membabitkan lapan projek sambungan pembinaan masjid, termasuk Masjid Al-Rahmaniah di Bahau, Masjid Kariah Kendong, Masjid Muhammad Al-Fateh di Forest Heights, Masjid Warisan Puteri, Masjid Saidatina Aisyah di Seremban Selatan dan Masjid Bandar Tasik Senangin.

Pengukuhan syiar Islam menjadi lebih menyeluruh melalui Belanjawan 2024. Sebanyak RM27.41 juta lagi disediakan bagi pembangunan Islam, termasuk RM9.1 juta untuk pembinaan dan penyelenggaraan sembilan masjid.

Sejumlah RM12.59 juta pula diperuntukkan kepada sekolah agama negeri, termasuk RM8.23 juta untuk pembangunan Sekolah Tinggi Agama Maahad Ahmadi di Gemencheh.

Kerajaan turut menyediakan RM360,000 bagi penyelenggaraan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan RM500,000 untuk membantu usahawan Muslim mendapatkan pensijilan halal menerusi Program Halal Kotej.

Sementara itu, pada 2024, usaha dimulakan untuk meminda dan memperkemas beberapa enakmen utama bagi memastikan undang-undang Islam negeri kekal relevan dengan perkembangan semasa serta dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.

Antara perundangan diberikan perhatian ialah Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2003, Enakmen Mahkamah Syariah 2024 dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2003.

Pindaan berkenaan bertujuan memperluas serta memperjelas skop dan bidang kuasa Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), memantapkan struktur dan pentadbiran mahkamah syariah serta menambah baik pengurusan hal ehwal keluarga Islam.

Belanjawan 2025 pula memperlihatkan keseimbangan antara pembangunan prasarana dengan kebajikan petugas agama. Bidang Kerohanian dan Agama menerima RM19.93 juta bagi tujuh inisiatif.

Daripada jumlah itu, RM173,000 disediakan bagi elaun guru takmir, RM1.01 juta untuk insentif tambahan guru KAFA tulen dan RM5.08 juta bagi bayaran elaun bilal, siak serta pembantu am wanita masjid.

Perkenal caruman PERKESO

Kerajaan turut memperkenalkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kepada kumpulan berkenaan dengan peruntukan RM560,000 sebagai perlindungan sosial ketika menjalankan tugas.

Pada tahun sama, sebanyak RM10.5 juta diperuntukkan bagi pembinaan Masjid Terapung Port Dickson, Masjid Diraja Tuanku Munawir di Seri Menanti, Masjid Tanah Melintang di Kuala Pilah dan Masjid Al-Isra di Tampin.

Sektor pembangunan kerohanian turut menerima RM6.2 juta bagi projek sambungan masjid dan pembinaan Pejabat Agama Islam Daerah Port Dickson.

Tambahan RM1.5 juta pula diberikan untuk pembangunan infrastruktur Maahad Ahmadi. Sejak 2019 hingga 2024, institusi itu menerima RM14.9 juta bagi pembinaan asrama, dewan makan, surau dan kemudahan lain.

Pelaburan itu turut menghasilkan pencapaian akademik nyata. Pada 2026, Maahad Ahmadi dilaporkan meningkatkan Gred Purata Sekolah daripada 3.36 kepada 1.62, dengan 19 pelajar memperoleh 10A dan 13 lagi meraih 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Komitmen itu diperkukuh dalam Belanjawan 2026 apabila RM16.05 juta diperuntukkan bagi 11 inisiatif kerohanian dan agama.

Antaranya RM5.05 juta bagi elaun bilal, siak dan pembantu am wanita, RM150,000 bagi caruman PERKESO serta RM6.5 juta untuk menaik taraf Masjid Negeri dan menyelenggara masjid di seluruh negeri. Projek keseluruhan penambahbaikan Masjid Negeri pula dianggarkan bernilai RM16 juta.

Pendekatan pentadbiran turut diperluas melalui Bantuan Guaman Syarie bernilai RM150,000 bagi membantu masyarakat Islam berpendapatan rendah mendapatkan nasihat dan perwakilan di mahkamah syariah.

Selain itu, program Jilul Quran menerima RM350,000, manakala RM370,000 diperuntukkan kepada 654 imam. Program Lambaian Baitullah menerima RM140,000, selain bantuan sekali bayar RM200 kepada 312 pembantu am wanita masjid berjumlah RM62,400.

Pendidikan agama kekal sebagai teras. Belanjawan 2026 menyediakan RM1.37 juta bagi elaun tambahan guru KAFA tulen, RM350,000 untuk elaun tanggungjawab guru besar, RM140,000 kepada guru KAFA bercuti bersalin dan RM500,000 bagi Program Laluan Pantas SPM untuk pelajar tahfiz.

Bantuan kepada sekolah tahfiz, sekolah swasta, sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT) turut dinaikkan kepada RM2.5 juta.

Sinergi negeri dan Persekutuan menghasilkan suntikan tambahan RM47.743 juta pada 2026. Daripada jumlah itu, RM42.327 juta membiayai imbuhan dan elaun imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA, manakala RM5.416 juta digunakan untuk menyelenggara serta menaik taraf 57 institusi agama, merangkumi dua pondok, 18 maahad tahfiz, 11 sekolah agama dan 26 premis KAFA.

Pembangunan Islam turut diperkukuh melalui kecekapan MAINS mampu mengutip zakat RM142.36 juta pada 2021. Sehingga Oktober 2022, RM104 juta dikutip manakala RM112 juta diagihkan kepada lapan golongan asnaf.

Pendigitalan perkhidmatan pula dipacu melalui N9PAY sebagai gerbang pembayaran tunggal yang turut merangkumi urusan zakat.

Keseluruhan rekod 2018 hingga 2026 memperlihatkan kesinambungan jelas. Masjid dibina dan diimarahkan, pendidikan agama diperkasa, petugas masjid dihargai, asnaf dibela dan pentadbiran syariah diperkukuh.

Syiar Islam di Negeri Sembilan bukan sekadar dipertahankan, malah dibangunkan melalui dasar, institusi dan peruntukan konkrit.

Penulis adalah Felo Penyelidik Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Video Terkini

Berita Berkaitan