MINGGU pertama kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan amat menarik perhatian bukan semata-mata persoalan siapa bakal membentuk kerajaan negeri.
PRN ini memperlihatkan satu lagi wajah baharu politik Malaysia apabila gabungan politik berbeza pada peringkat nasional boleh berubah menjadi rakan strategik pada peringkat negeri.
Jika di Persekutuan, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) berkongsi tanggungjawab dalam Kerajaan Perpaduan, manakala Perikatan Nasional (PN) memainkan peranan sebagai pembangkang utama.
Situasi di Negeri Sembilan memperlihatkan konfigurasi politik berbeza apabila BN dan PN memilih membentuk persefahaman bagi menghadapi PH.
Inilah paradoks politik Malaysia hari ini. Rakan di Putrajaya boleh menjadi lawan di Seremban. Lawan di Parlimen pula boleh menjadi rakan strategik di gelanggang negeri. Persoalannya bukan lagi, sama ada pakatan politik boleh berubah, tetapi sejauh mana perubahan ini masih dapat difahami dan diterima rakyat.
Fenomena ini boleh dilihat sebagai gambaran politik semakin pragmatik, parti sanggup mengetepikan perbezaan tertentu demi mencapai matlamat bersama. Namun, pada masa sama, ia menimbulkan persoalan, sama ada politik Malaysia sedang bergerak ke arah kematangan demokrasi atau mula kehilangan garis pemisah antara prinsip, ideologi dan strategi pilihan raya.
Sebelum menilai strategi baharu di Negeri Sembilan, semua parti politik perlu mengambil iktibar daripada keputusan PRN Johor. Bagi PH, keputusan di Johor harus menjadi medan muhasabah serius. Kekalahan di sana tidak boleh dilihat sebagai kelemahan jentera pilihan raya atau faktor tempatan. Sebaliknya, perlu dibaca sebagai mesej pengundi semakin menilai kerajaan berdasarkan prestasi semasa.
Sebagai peneraju utama Kerajaan Persekutuan, PH kini dinilai berdasarkan keupayaannya menangani isu dekat dengan kehidupan rakyat seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi dan keberkesanan penyampaian dasar.
Kegagalan memahami mesej daripada pengundi Johor boleh menjadi cabaran besar di Negeri Sembilan. Pada masa sama, Barisan Nasional (BN) tidak boleh terlalu selesa dengan kejayaan di Johor.
Dalam politik, kemenangan hari ini bukan jaminan kemenangan pada masa hadapan. Sokongan rakyat sentiasa berubah mengikut isu semasa, kekuatan calon dan tahap keyakinan terhadap kepimpinan parti.
Lebih penting, kejayaan di Johor berlaku dalam konteks politik tersendiri dan tidak semestinya boleh diterjemahkan secara automatik ke Negeri Sembilan. Setiap negeri mempunyai dinamik politik, komposisi pengundi dan isu tempatan berbeza.
Bagi PN pula, kerjasama dengan BN membuka ruang strategik memperkukuhkan kedudukan politiknya. Kerjasama ini membolehkan PN memperluaskan pengaruh melalui pendekatan lebih tersusun, khususnya dalam kawasan sebelum ini menyaksikan sokongan berpecah.
Namun, cabaran utama PN ialah memastikan penyokong akar umbinya menerima kompromi politik ini tanpa melihatnya sebagai pengurangan identiti dan prinsip perjuangan parti.
Kerjasama BN dan PN di Negeri Sembilan bukan sekadar strategi pilihan raya biasa. Ia membawa mesej politik Malaysia kini semakin bergantung kepada pendekatan fleksibel mengikut lokasi, keadaan dan kepentingan semasa.
Kurangkan persaingan
Dari sudut strategi pilihan raya, pendekatan ini mempunyai asas kukuh. Pertembungan tiga penjuru sering menyebabkan undi berpecah dan akhirnya memberi kelebihan kepada pihak lawan. Dengan mengurangkan persaingan sesama sendiri, BN dan PN berharap dapat menggabungkan kekuatan bagi memberikan cabaran lebih besar kepada PH.
Namun politik tidak bergerak seperti formula matematik. Menggabungkan jumlah undi dua parti di atas kertas tidak bermaksud semua penyokong akan bergerak dalam arah sama. Sejarah pilihan raya Malaysia menunjukkan pemindahan undi bukan sesuatu boleh terjadi secara automatik.
Penyokong parti mempunyai identiti politik, sentimen dan tahap kesetiaan tersendiri. Mereka mungkin menerima keputusan kerjasama pada peringkat atasan, tetapi belum tentu bersedia menterjemahkannya di peti undi.
Persoalan lebih besar ialah sejauh mana penyokong BN bersedia menerima calon mendapat sokongan bersama PN dan sejauh mana penyokong PN pula sanggup mengundi calon BN. Jawapan kepada persoalan ini akan menentukan, sama ada persefahaman dibentuk benar-benar menghasilkan sinergi politik atau hanya menyatukan kepemimpinan tanpa berjaya menyatukan pengundi.
Di pihak PH, gabungan itu tidak boleh memandang ringan perkembangan ini. Jika sebelum ini pertandingan pelbagai penjuru sering memberikan kelebihan kepada mereka, kerjasama BN-PN berpotensi mengubah keseluruhan dinamik persaingan.
Ini bermakna PH perlu bekerja lebih keras untuk mempertahankan sokongan rakyat, khususnya dengan membuktikan kepercayaan diberikan kepada Kerajaan Perpaduan mampu diterjemahkan melalui prestasi dan penyampaian dasar berkesan. Bagaimanapun, di sebalik segala pengiraan strategi dan matematik pilihan raya, terdapat satu faktor tidak boleh diabaikan, iaitu rakyat sebagai penentu terakhir.
Rakyat berhak mengetahui mengapa sesuatu pakatan dibentuk dan apakah prinsip menjadi asas kepada kerjasama itu. Pada era media sosial dan capaian maklumat pantas, rakyat semakin kritikal.
Mereka bukan lagi sekadar menilai manifesto atau slogan kempen. Mereka mahu melihat konsistensi pendirian, kejelasan hala tuju dan kejujuran politik. Mereka mahu memahami bukan sahaja siapa bekerjasama, tetapi mengapa kerjasama itu diwujudkan dan bagaimana ia mampu membawa manfaat.
Atas sebab itu, kepercayaan menjadi aset politik jauh lebih bernilai daripada kemenangan jangka pendek. Sesebuah parti mungkin berjaya membentuk pakatan baharu, tetapi jika gagal meyakinkan rakyat rasional dan matlamatnya, kemenangan itu mungkin hanya bersifat sementara.
Hakikatnya, demokrasi Malaysia sedang melalui satu fasa transformasi besar. Politik hari ini tidak lagi bersifat hitam putih. Garisan pemisah antara kerajaan dan pembangkang, antara rakan dan lawan, semakin berubah mengikut keadaan politik semasa. Keadaan ini boleh dianggap sebagai satu bentuk kematangan demokrasi sekiranya perubahan pakatan dibina atas asas dasar jelas, matlamat telus dan kepentingan rakyat.
Jika kerjasama hanya berlaku kerana kepentingan jangka pendek untuk memenangi pilihan raya tanpa penjelasan kukuh kepada rakyat, ia boleh menyebabkan politik dilihat sebagai permainan kuasa semata-mata.
Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA Perlis
























