BH Online
Ringkasan Berita

Rakyat tak tuntut kesempurnaan, tapi kebijaksanaan mentadbir

ORANG Melayu sejak dahulu memahami politik bukan sekadar soal kuasa. Sebab itulah lahir peribahasa, ‘gajah berjuang sama gajah, pelanduk mati di tengah-tengah’. Yang bertelagah mungkin orang besar, tetapi yang menanggung akibat selalunya rakyat biasa.
Rakyat tak tuntut kesempurnaan, tapi kebijaksanaan mentadbir

Foto hiasan

ORANG Melayu sejak dahulu memahami politik bukan sekadar soal kuasa. Sebab itulah lahir peribahasa, 'gajah berjuang sama gajah, pelanduk mati di tengah-tengah'. Yang bertelagah mungkin orang besar, tetapi yang menanggung akibat selalunya rakyat biasa.

Barangkali itulah peringatan paling awal bahawa kemenangan politik tidak pernah bermakna jika akhirnya rakyat yang membayar harganya.

Tradisi pemerintahan Melayu juga memperlihatkan pembesar memainkan peranan penting dalam proses nasihat dan musyawarah sebelum sesuatu keputusan besar diambil. Walaupun konteksnya berbeza daripada demokrasi moden, semangat mencari persefahaman sudah lama berakar dalam budaya politik Alam Melayu.

Kuasa dilihat sebagai amanah dipandu kebijaksanaan, bukan ego. Daripada balairung seri Kesultanan Melayu Melaka hingga ke Dewan Rakyat hari ini, bentuk pemerintahan mungkin berubah mengikut zaman, namun prinsipnya tetap sama - sesebuah negara hanya mampu bertahan apabila perbezaan diurus dengan kebijaksanaan dan semangat permuafakatan, bukannya diperalat demi kepentingan politik yang sempit.

Sekadar mengikuti perkembangan politik mutakhir, termasuk kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Johor dan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sudah cukup untuk menghidupkan semula perbahasan mengenai pakatan politik.

Ada yang melihat kerjasama sebagai kebijaksanaan, manakala yang lain terus melabelnya sebagai pengkhianatan. Ironinya, keadaan ini mengingatkan kita kepada kisah bapa, anak dan seekor keldai – apa sahaja keputusan diambil tetap mengundang celaan. Bergabung dikatakan menggadaikan prinsip, bergerak sendiri pula dituduh angkuh dan gagal membawa kestabilan. Pun begitu, apabila rakan berbuat demikian, ia dianggap strategi, tetapi apabila lawan melakukannya dilabel pengkhianatan.

Demokrasi tidak menjanjikan semua orang menang, tetapi memastikan setiap suara didengari. Yang dituntut daripada sesebuah kerajaan bukanlah kesempurnaan politik, sebaliknya kejujuran mentadbir, kebijaksanaan membuat keputusan dan keberanian meletakkan kepentingan negara mengatasi kepentingan parti.

Pada akhirnya, rakyat tidak menilai siapa berkawan dengan siapa, tetapi sejauh mana kehidupan mereka menjadi lebih baik hasil daripada keputusan yang dibuat.

Politik berubah, negara mesti kekal

Menelusuri sejarah politik negara, parti politik Malaysia tidak pernah statik. Sebelum negara mencapai kemerdekaan, Parti Perikatan yang menghimpunkan UMNO, MCA dan MIC menjadi asas pembentukan kerajaan. Kemudiannya lahir BN yang menggabungkan parti dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Hari ini muncul pula pelbagai gabungan baharu mengikut perubahan landskap politik. Nama mungkin bertukar, lambang mungkin berubah, tetapi hakikatnya tetap sama apatah lagi dalam sebuah negara majmuk sukar untuk memerintah bersendirian untuk tempoh yang panjang.

Atas sebab itu, sudah tiba masanya kita berhenti menganggap sesebuah parti sebagai hak milik mutlak sesuatu kaum. Dalam demokrasi, setiap warganegara bebas menyokong mana-mana parti tanpa dibatasi kaum atau latar belakang.

Kesetiaan kepada negara tidak diukur melalui warna bendera parti yang dipangkah pada hari mengundi, tetapi melalui kesediaan mempertahankan keamanan, menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan menghormati keputusan rakyat.

Namun amanah sebenar kerajaan bermula selepas peti undi ditutup. Sebaik sahaja sumpah jawatan diangkat, tiada lagi kawasan kerajaan atau pembangkang.

Hospital tidak pernah bertanya pesakit itu mengundi siapa, jalan berlubang tidak memilih parti sebelum diturap dan jambatan yang runtuh tidak menunggu warna bendera sebelum dibaiki. Pendek kata, rakyat hanya mengharapkan sebuah kerajaan yang memerintah dengan adil untuk semua.

Mandat politik, amanah pemerintahan

Politik ialah pertandingan untuk mendapatkan mandat, tetapi pemerintahan ialah amanah yang dibatasi oleh Perlembagaan Persekutuan. Dalam sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, kerajaan dibentuk bukan kerana siapa paling lantang berkempen atau paling banyak menguasai media sosial, tetapi kerana memperoleh kepercayaan majoriti menurut lunas Perlembagaan.

Sebaik sahaja kerajaan dibentuk, amanahnya bukan lagi kepada penyokong, tetapi kepada seluruh rakyat. Pilihan raya memilih kerajaan, tetapi pemerintahan yang baik memilih untuk tidak membezakan rakyatnya.

Setiap kali suhu politik meningkat, pentas demokrasi sering lebih riuh daripada hasilnya. Kerajaan dituntut menyelesaikan segala-galanya, manakala pembangkang diraikan apabila berjaya menemukan kelemahan.

Namun, demokrasi tidak dibina untuk meraikan siapa paling lantang bersuara, sebaliknya siapa paling bersedia memikul tanggungjawab. Dalam sistem semak dan imbang, jika kerajaan dituntut sentiasa terbuka kepada teguran, pembangkang pula wajarlah menjadi seperti papan pemuka kenderaan yang bukan sekadar mengesan kelemahan, tetapi turut menawarkan ikhtiar penyelesaian demi kepentingan negara.

Perlu diingat, semangat diwariskan generasi pengasas negara ialah mendahulukan negara mengatasi kepentingan politik. Oleh itu, retorik mungkin menghangatkan pentas politik, tetapi penyelesaianlah yang menyejukkan keresahan rakyat.

Rakyat tidak mengharapkan politik yang sentiasa bersetuju, sebaliknya politik yang bijaksana mengetahui bila perlu berbeza dan bila perlu bersama demi kepentingan negara.

Tatkala cukup tempohnya, pilihan raya akan datang dan pergi, manakala gabungan politik serta nama parti akan terus berubah mengikut kehendak rakyat. Namun Perlembagaan Persekutuan tetap menjadi tiang seri pembentukan kerajaan dan keadilan kekal sebagai roh pemerintahan.

Menyingkap tradisi Melayu, pemerintah yang baik tidak dikenang kerana besarnya kuasa, tetapi kerana adilnya pemerintahan yang ditinggalkan. Begitu juga dalam demokrasi Malaysia, pilihan raya menentukan siapa yang memerintah, tetapi sejarah mengenang mereka yang memerintah dengan adil dan memelihara muafakat.

Video Terkini

Berita Berkaitan