MAJLIS pecah tanah Projek Midport Smart AI Port (Midport) di Mukim Pasir Panjang, Port Dickson pada 14 Julai lalu menandakan satu perubahan penting dalam hala tuju pembangunan Negeri Sembilan.
Projek ini usaha menyusun semula kedudukan Port Dickson daripada kawasan selama ini sinonim dengan pelancongan, rekreasi dan industri petroleum kepada gerbang perdagangan, logistik, teknologi dan perindustrian moden.
Midport Smart AI Port dibangunkan Midports Holdings Sdn Bhd, syarikat dimiliki 79 peratus oleh Tanco Holdings Berhad, dengan kerjasama strategik Menteri Besar Negeri Sembilan (Pemerbadanan) (MBINS).
Projek ini dibangunkan di kawasan kira-kira 72.84 hektar dalam Had Pelabuhan Kuala Sungai Linggi yang sudah diwartakan.
Pelaburan bagi fasa pertama dianggarkan sekitar AS$850 juta atau kira-kira RM3.47 bilion. Pembinaannya dijangka mengambil masa kira-kira 42 bulan, dengan operasi komersial disasarkan bermula antara 2029 hingga 2030.
Apabila siap sepenuhnya, pelabuhan itu dirancang mempunyai enam dermaga, sebuah jambatan penghubung sepanjang 1.5 kilometer serta kapasiti pengendalian sehingga lapan juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) setahun.
Kawasan pembangunan Midport yang lebih luas pula meliputi tanah sekitar 194.2 hektar dan mempunyai akses semula jadi ke perairan sedalam lebih 21 meter. Kedalaman ini membolehkannya menerima kapal kontena besar tanpa terlalu bergantung kepada kerja mendalamkan laluan secara berterusan.
Seperti ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan projek itu, Midport bukan projek kecil, sebaliknya memenuhi satu keperluan strategik Malaysia sebagai negara maritim terletak di sepanjang Selat Melaka.
Kedudukan itu memberi Malaysia peluang besar untuk memperoleh manfaat ekonomi daripada antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia, bukan sekadar melihat kapal antarabangsa melaluinya tanpa menghasilkan nilai tambahan kepada ekonomi tempatan.
Pembangunan berskala besar
Midport penting kerana membawa pembangunan berskala besar ke Pasir Panjang, Linggi dan kawasan selatan Port Dickson yang selama ini tidak menerima limpahan pembangunan setanding kawasan perindustrian utama di Lembah Klang, Pulau Pinang atau Johor.
Malaysia mempunyai pelabuhan utama seperti Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pulau Pinang dan Kuantan. Namun begitu, pertumbuhan perdagangan, saiz kapal semakin besar serta perkembangan kawasan perindustrian baharu meningkatkan permintaan terhadap kapasiti pelabuhan dan perkhidmatan logistik.
Menurut anggaran pemaju, permintaan kontena di sepanjang Selat Melaka dijangka melebihi kapasiti tersedia sebanyak kira-kira 27 juta TEU menjelang 2030 dan jurang itu boleh berkembang kepada sekitar 144 juta TEU menjelang 2050.
Angka ini menggambarkan keperluan Malaysia merancang kapasiti masa hadapan sebelum kesesakan berlaku.
Midport boleh berfungsi sebagai pelabuhan pintu masuk kepada kawasan perindustrian di Negeri Sembilan. Bahan mentah boleh dibawa terus ke kawasan pengeluaran, manakala barangan siap boleh dieksport tanpa perlu dibawa terlebih dahulu ke pelabuhan lebih jauh.
Keadaan ini berpotensi mengurangkan kos pengangkutan darat, memendekkan rantaian bekalan dan meningkatkan daya tarikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan.
Perbezaan utama Midport berbanding pelabuhan konvensional ialah penggunaan kecerdasan buatan (AI), automasi, internet benda (IoT), analitik data masa nyata dan sistem pengurusan trafik pelabuhan secara digital.
Dalam pelabuhan konvensional, banyak keputusan berkaitan pergerakan kapal, penempatan kontena, penggunaan kren, pemeriksaan kargo dan pengurusan lori bergantung pada proses manual atau sistem berasingan. Di pelabuhan pintar, maklumat itu boleh disepadukan dan dianalisis secara masa nyata.
Sistem AI boleh digunakan untuk meramalkan waktu ketibaan kapal, menentukan dermaga sesuai, menyusun kontena mengikut destinasi, mengurangkan pergerakan jentera tidak perlu dan mengelakkan kesesakan lori.
Kren automatik serta sistem pengangkutan pintar pula boleh meningkatkan kelajuan dan ketepatan pengendalian kargo.
Pendekatan ini berpotensi memendekkan tempoh kapal berada di pelabuhan, mengurangkan kos operasi, meningkatkan keselamatan serta mengurangkan penggunaan bahan api dan pelepasan karbon.
Midport juga dikenal pasti sebagai pintu gerbang maritim utama di bawah Parcel E Malaysia Vision Valley 2.0 dan diberikan kedudukan sebagai projek keutamaan strategik negara.
Kepentingannya perlu dilihat bersama pembangunan Zon Bebas Port Dickson dirancang meliputi kira-kira 567 hektar di Ladang Sengkang, Mukim Pasir Panjang.
Kawasan ini dirancang menghimpunkan aktiviti perindustrian, logistik, pergudangan, perkhidmatan sokongan dan teknologi digital serta dihubungkan dengan rangkaian jalan raya seperti Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).
Midport boleh menjadi pemangkin menarik industri pembuatan bernilai tinggi, pemasangan, pemprosesan makanan, komponen automotif, peralatan elektrik dan elektronik, perkhidmatan marin serta pusat pengedaran serantau ke Negeri Sembilan.
Ia juga melengkapkan perkembangan kawasan perindustrian Springhill, Bukit Pelandok dan perancangan pusat data di Port Dickson. Pembangunan negeri tidak lagi terlalu tertumpu di Seremban, Nilai dan kawasan berhampiran Lembah Klang.
Midport juga boleh menjadikan Port Dickson sebuah bandar pelabuhan moden mempunyai dua kekuatan serentak, iaitu pelancongan dan ekonomi maritim.
Lebih penting, pembangunan Midport bersama ekosistem berkaitannya dijangka mewujudkan kira-kira 5,000 peluang pekerjaan secara langsung dan tidak langsung.
Bidang dikenal pasti termasuk juruteknik automasi, operator logistik, pegawai operasi pelabuhan, penyelia keselamatan, pengurusan data, keselamatan siber, pengurusan kargo, pergudangan, penyelenggaraan dan perkhidmatan marin.
Limpahan ekonominya turut boleh dinikmati kontraktor tempatan, pengusaha lori, pembekal bahan binaan, bengkel, penyedia makanan, perkhidmatan keselamatan, pembersihan, landskap, dobi, inap desa dan perusahaan kecil lain.
Satu lagi kepentingan Midport ialah model pembiayaannya diterajui sektor swasta. Fasa pertama projek ini dijangka dibiayai melalui modal swasta, sekali gus mengurangkan keperluan kerajaan mengeluarkan perbelanjaan pembangunan langsung dalam jumlah besar.
Kerajaan hanya memainkan peranan sebagai pemudah cara, pengawal selia dan penyelaras, sementara pihak swasta menanggung pembiayaan serta risiko komersial.
Ringkasnya, Midport berpotensi menjadi salah satu projek paling penting dalam sejarah pembangunan moden Negeri Sembilan.
Ia menyatukan kelebihan geografi Selat Melaka, teknologi digital, modal swasta, pembangunan industri dan agenda memperluas kemakmuran ke kawasan yang selama ini berada di luar arus utama.
Selain mengubah Port Dickson dan Linggi menjadi hab maritim serta logistik moden, ia dijangka mampu menarik banyak pelaburan baharu, menyediakan ribuan pekerjaan berkemahiran tinggi dan memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam perdagangan antarabangsa.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Seremban
























