DAHULU, seorang pemangsa kanak-kanak yang melarikan diri ke luar negara sering terlepas daripada jangkauan undang-undang negara. Sempadan negara, yang sepatutnya melindungi rakyat, menjadi tempat berlindung bagi mereka yang berkelakuan jahat.
Bagi ibu bapa, tiada mimpi ngeri lebih besar daripada mengetahui bahawa pelaku yang mencederakan anak mereka bebas semata-mata kerana jenayah itu berlaku di luar batasan sempadan geografi.
Justeru, apabila kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026 di Dewan Rakyat pada 23 Jun lalu, ia menyentuh sesuatu naluri setiap ibu bapa, iaitu keinginan melindungi anak di mana sahaja mereka berada. Pindaan itu memperluas jangkauan luar sempadan Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 atau Akta 792.
Inti pindaan itu terletak pada penggantian seksyen 3 Akta 792. Di bawah cadangan baharu, kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang dilakukan di luar negara ini boleh dihukum di sisi undang-undang kita jika ia membabitkan kanak-kanak yang menjadi warganegara atau pemastautin tetap atau jika ia dilakukan warganegara atau pemastautin tetap Malaysia.
Ini bukan perubahan teknikal semata-mata. Ia satu anjakan amat tinggi nilainya. Ia menegaskan seorang kanak-kanak Malaysia layak dilindungi negaranya, walau di manapun dia berada dan seorang warganegara yang menjadi pemangsa tidak boleh menyangka bahawa jarak akan melindunginya daripada keadilan.
Bagi pejuang hak kanak-kanak dan wanita, pindaan ini sudah lama dinanti-nantikan. Tahniah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said kerana berjaya melaksanakannya.
Terlalu lama, perlindungan undang-undang seolah-olah berhenti di pintu pelepasan lapangan terbang, meninggalkan mangsa dan keluarga mereka tanpa jalan keadilan apabila jenayah berlaku di tanah asing.
Jenayah terhadap kanak-kanak hari ini semakin tidak mengenal sempadan. Dunia digital memadamkan jarak. Seorang pemangsa boleh memburu dan memperdaya kanak-kanak di seberang dunia melalui skrin telefon, tanpa pernah berada di negara yang sama.
Salah satu bentuk jenayah paling sukar dikesan ialah eksploitasi berlaku ketika perjalanan ke luar negara, apabila pelaku memanfaatkan jurang undang-undang antara negara. Dengan menutup jurang itu di pihak Malaysia, sekurang-kurangnya warganegara kita tidak lagi boleh menganggap sempadan sebagai tabir yang menyembunyikan perbuatan mereka.
Pindaan ini juga perlu dibaca bersama usaha reformasi digital lebih luas. Kerajaan turut menjalankan kajian khas untuk membangunkan mekanisme perlindungan lebih menyeluruh bagi mangsa jenayah siber, termasuk meneliti cara membantu mangsa penipuan dalam talian memulihkan kerugian dan mempertimbangkan hukuman yang lebih berat kepada pelaku.
Ruang siber yang menjadi taman permainan baharu kanak-kanak, mesti menjadi ruang dilindungi undang-undang. Undang-undang yang masih terikat kepada sempadan geografi sedang berdepan jenayah yang langsung tidak menghormati sempadan.
Kebimbangan mereka bukan lagi hanya mengenai siapa yang menghampiri anak di taman permainan, tetapi juga siapa yang menghubungi anak mereka melalui aplikasi permainan dalam talian dan media sosial pada larut malam.
Namun, kita perlu mengakui memperluas jangkauan undang-undang membawa cabaran pelaksanaan sebenar. Menyiasat dan mendakwa kesalahan berlaku di luar negara memerlukan kerjasama antarabangsa, perkongsian maklumat dan keupayaan penguatkuasaan yang tidak mudah.
Undang-undang yang luas jangkauannya di atas kertas masih memerlukan mekanisme berfungsi di lapangan.
Kerjasama antarabangsa inilah yang akan menentukan sejauh mana undang-undang ini mempunyai taring. Perkongsian maklumat, bantuan guaman bersama antara negara dan penyelarasan dengan agensi antarabangsa bukan sekadar formaliti diplomatik, tetapi tulang belakang kepada penguatkuasaan sebenar. Tanpa jaringan itu, jangkauan luar sempadan berisiko kekal sebagai kenyataan di atas kertas.
Peranan keluarga, masyarakat
Negara boleh menyediakan perisai undang-undang, manakala keluarga dan masyarakat pula mengawasi. Kedua-duanya diperlukan. Undang-undang paling keras pun tidak dapat menggantikan seorang ibu bapa yang mengambil tahu, seorang guru yang peka atau seorang jiran yang enggan berpaling. Kita masih memerlukan masyarakat yang prihatin.
Peranan masyarakat sivil juga tidak boleh dilupakan. Pertubuhan seperti Generasi Aspirasi Pemimpin Wanita Malaysia (GAP) sering menjadi tempat pertama mangsa dan keluarga mengadu sebelum mereka berani mendekati pihak berkuasa.
Undang-undang yang baik, dengan itu, perlu diiringi jaringan sokongan yang mudah didekati, supaya mangsa tidak berasa keseorangan dalam perjalanan menuntut keadilan.
Justeru, pindaan ini perlu diiringi peningkatan terhadap keupayaan penyiasatan jenayah kanak-kanak, latihan pegawai penguat kuasa, dan sokongan psikologi kepada mangsa. Azalina bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) berjaya menggerakkan reformasi ini, tetapi Kementerian Dalam Negeri (KDN) harus tampil menyambutnya.
Melindungi kanak-kanak bukan sekadar soal menghukum pelaku selepas kejadian, tetapi membina keseluruhan sistem yang boleh mengesan, mencegah dan memulihkan. Sering kali apabila sesuatu dasar ditambah nilai, tetapi agensi pelaksana masih ditakuk lama.
Dasar negara menunjukkan pemahaman bahawa perlindungan kanak-kanak menjadi satu agenda yang berterusan, bukan sekadar tindak balas sekali sekala. Daripada Akta Antibuli dan tribunalnya kepada pindaan Akta 792 dan kajian perlindungan mangsa siber, terbentuk satu corak yang cuba merapatkan jurang antara undang-undang dengan bentuk bahaya baharu.
Namun, kita perlu berhati-hati daripada menganggap undang-undang sebagai penyelesaian muktamad. Pindaan ini merapatkan satu jurang penting, tetapi jurang lain tetap ada, khususnya dalam penguatkuasaan rentas sempadan yang bergantung pada kerjasama pihak asing yang tidak selalu terjamin.
Pada dasarnya, ukuran sebenar sesebuah masyarakat terletak pada bagaimana ia melindungi ahlinya yang paling lemah dan paling tidak bersuara. Kanak-kanak tidak tidak mampu membela diri di hadapan pemangsa dewasa.
Tanggungjawab melindungi mereka jatuh sepenuhnya ke atas kita. Memperluas perlindungan itu melangkaui sempadan bukan sekadar dasar, ia satu janji negara kepada generasi yang paling memerlukannya.
Penulis ialah Presiden Generasi Aspirasi Pemimpin Wanita Malaysia (GAP)
Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH
























