DALAM mana-mana negara, terdapat kuasa tertentu diletakkan di luar capaian politik harian. Kuasa pengampunan adalah antaranya.
Di Malaysia, kuasa pengampunan ini terserah kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan juga ketua negeri masing-masing.
Ini bukan kerana seorang Ketua Negara atau ketua negeri dianggap lebih bijaksana, tetapi kerana ada keputusan terlalu berat untuk ditentukan melalui polemik politik.
Persoalan ini kembali hangat apabila timbul tanggapan kemenangan besar sesebuah gabungan pada satu Pilihan Raya Negeri (PRN) boleh dibaca sebagai isyarat sokongan rakyat terhadap pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menteri memegang portfolio undang-undang dan reformasi institusi menolak kaitan itu, menegaskan keputusan membebaskan seseorang sedang menjalani hukuman terletak pada Lembaga Pengampunan di bawah kuasa Agong dan tidak berkait dengan politik.
Sebahagian pihak mungkin menganggap jawapan itu mengecewakan. Namun, dari sudut Perlembagaan, ini jawapan yang betul.
Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan memberikan Agong dan ketua negeri kuasa memberi pengampunan bagi kesalahan disabitkan di mahkamah.
Petisyen pengampunan disalurkan kepada Lembaga Pengampunan yang bermesyuarat, menimbang pendapat ahli Lembaga Pengampunan dan seterusnya menasihati Agong ataupun ketua negeri masing-masing.
Mahkamah dalam kes berkaitan bekas Perdana Menteri menegaskan Agong sebagai Raja Berperlembagaan bertindak menurut kerangka proses ini, bukan di luarnya.
Perlu difahami bahawa proses pengampunan bukan lanjutan kepada proses undang-undang dijalankan. Lembaga Pengampunan tidak membicarakan semula kesalahan sudah disabit mahkamah, sebaliknya menimbang tingkah laku individu, faktor peribadi dan kepentingan awam sebelum menasihati Ketua Negara.
Peranan yang khusus ini menuntut ia dijauhkan daripada tekanan politik dan sorakan orang ramai. Susunan Perlembagaan sedemikian bukan sekadar formaliti. Ia direka untuk memutuskan satu nexus yang berbahaya, iaitu hubungan antara kuasa politik dan kuasa membebaskan seseorang.
Sekiranya undi boleh diterjemahkan sebagai tekanan ke atas keputusan suatu pengampunan, proses keadilan jenayah tidak lagi bersandar atas merit sesuatu kes, tetapi jumlah sokongan berjaya diraih dalam suatu proses politik.
Persepsi memainkan peranan besar dalam hal ini. Rakyat jarang berpeluang meneliti sendiri sesuatu petisyen pengampunan atau menimbang meritnya. Yang mereka nilai ialah sama ada proses itu dianggap adil dan bebas daripada perhitungan politik.
Sebaik sahaja pengampunan mula dianggap dagangan dalam pilihan raya, keyakinan terhadap keseluruhan sistem Perlembagaan akan terhakis. Inilah sebabnya pengasingan fungsi dan kuasa di sini bukan sekadar doktrin akademik.
Fungsi mendakwa adalah pada Pendakwa Raya, fungsi menghukum diletakkan pada mahkamah dan fungsi mengampun pada Ketua Negara melalui Lembaga Pengampunan.
Setiap fungsi di sini dipisahkan supaya tiada mana-mana pihak menguasai keseluruhan nasib seorang individu, daripada tuduhan hingga pembebasan mahupun pengampunan.
Ada yang mungkin berhujah suara rakyat sepatutnya didengari dalam setiap hal. Dalam kebanyakan perkara, itu benar.
Batasan kehendak majoriti
Bagaimanapun, asas Demokrasi Berperlembagaan dibina atas kesedaran kehendak majoriti perlu dibataskan dalam bidang tertentu, khususnya apabila ia menyentuh hak, kebebasan dan keadilan seseorang individu.
Tanpa batasan ini, majoriti hari ini boleh menjelma menjadi ancaman kepada minoriti esok. Batasan inilah menjadi antara tiang keabsahan sesebuah negara. Tanpanya, keadilan hanya bermakna kehendak mereka yang kebetulan lebih ramai.
Bahaya sebenar dalam episod ini bukan sama ada seseorang pada akhirnya diampunkan atau tidak. Bahayanya terletak pada cara pemikiran menganggap institusi keadilan sebagai lanjutan medan pilihan raya.
Apabila rakyat beranggapan undi mereka mampu membuka pintu penjara, mereka sebenarnya beranggapan keadilan boleh ditundukkan dengan kehendak majoriti.
Justeru, pertahanan batasan ini adalah kepentingan bersama, bukan kepentingan sesebuah kerajaan sahaja. Ada satu ironi jarang disebut dalam perdebatan ini. Arah pembaharuan sedang digerakkan kerajaan sebenarnya menjauhkan proses pengampunan daripada politik, bukan mendekatkannya.
Di bawah Rang Undang-Undang (RUU) pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, nasihat berhubung permohonan pengampunan dijangka berpindah kepada seorang Pendakwa Raya yang berasingan.
Dengan kata lain, dasar rasmi negara bergerak ke arah mengurangkan, bukan menambah, sentuhan politik terhadap proses ini. Pemeliharaan batasan ini juga soal melindungi kedudukan institusi diraja dalam kerangka Perlembagaan.
Apabila keputusan pengampunan dibiarkan kekal sebagai proses berperlembagaan yang tenang, istana tidak akan ditarik ke dalam pertelingkahan harian.
Mengheret institusi diraja ke dalam kempen politik, walaupun atas nama sokongan, hanya akan membebankannya dengan tekanan tidak sepatut dipikulnya.
Realitinya, sesiapa memerintah akan sentiasa berdepan dengan godaan untuk menggunakan atau menepis isu pengampunan demi kepentingan politik.
Ketahanan sesebuah sistem diukur pada masa sebegini, apabila jalan yang betul dari sudut Perlembagaan bukan jalan paling menguntungkan dari sudut politik.
Ini tidak bermakna proses pengampunan tidak boleh dipersoalkan. Rakyat berhak bertanya sama ada ia dilaksanakan secara telus, konsisten dan saksama.
Mempersoalkan integriti sesuatu proses berbeza sama sekali daripada cuba menundukkannya kepada keputusan pilihan raya. Yang pertama menguatkan institusi, yang kedua meruntuhkannya.
Perbezaan ini halus, tetapi memberikan ketentuan, membetulkan proses menguatkan institusi, manakala menundukkannya kepada nafsu majoriti menjadikannya sekadar alat di tangan pihak berkuasa.
Undi rakyat menentukan siapa memerintah. Ia tidak menentukan dan tidak sepatutnya menentukan siapa bebas dari penjara. Garis itulah memisahkan negara diperintah undang-undang daripada sekadar pemerintahan majoriti.
Penulis adalah penyelidik perundangan dan perunding pengurusan risiko yang juga bekas pegawai penyelidik kepada menteri di Jabatan Perdana Menteri
























