Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melabuhkan tirainya dengan kemenangan memihak kepada Barisan Nasional (BN) dengan menguasai 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Kini, selepas berakhirnya persaingan politik, sudah tiba masanya semua pihak di Johor kembali memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negeri, kesejahteraan rakyat serta usaha memperkukuhkan budaya integriti dan antirasuah.
Terdapat tujuh pengajaran utama wajar dijadikan panduan semua parti politik pasca PRN Johor dan menjelang PRN Negeri Sembilan, negeri lain dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Pertama, kemenangan BN membuktikan rakyat menghargai kestabilan dan prestasi. Prestasi cemerlang BN di Johor bukan berlaku secara kebetulan.
Kepemimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berjaya membina keyakinan rakyat menerusi pelbagai program menyentuh keperluan sebenar masyarakat.
Gabungan prestasi pentadbiran, kestabilan politik serta hubungan baik dengan institusi diraja memperkukuhkan sokongan rakyat terhadap kerajaan negeri.
Keputusan ini membuktikan pengundi semakin menilai prestasi sebenar sesebuah kerajaan, bukan sekadar slogan politik.
Kedua, rakyat memilih parti diyakini mampu mentadbir. PRN Johor menunjukkan rakyat semakin melihat kekuatan sesebuah parti secara keseluruhan, bukan hanya bergantung kepada populariti individu tertentu.
Bagi mana-mana parti mengalami kekalahan, termasuk Perikatan Nasional (PN), keputusan ini perlu dijadikan ruang melakukan penilaian semula terhadap organisasi, strategi komunikasi serta hubungan antara parti komponennya.
Sebarang konflik dalaman berpanjangan hanya melemahkan keyakinan rakyat terhadap kemampuan sesebuah gabungan untuk mentadbir negara.
Ketiga, politik persepsi tidak lagi menjadi formula kemenangan. Sepanjang tempoh kempen, kepemimpinan Pakatan Harapan (PH), khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, lebih banyak menumpukan perhatian kepada serangan politik terhadap lawan berbanding menawarkan penyelesaian konkrit terhadap isu dihadapi rakyat.
Isu kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi, pelaburan serta masa depan anak muda sepatutnya menjadi fokus utama kempen.
Sebaliknya, pelbagai naratif politik dan retorik seperti 'gelombang hijau' lebih banyak mendominasi perbahasan dan ceramah kempen.
Rakyat semakin bijak buat pilihan
Keputusan PRN Johor membuktikan rakyat semakin bijak membezakan antara persepsi politik dengan penyelesaian sebenar.
Keempat, landskap politik Malaysia semakin dinamik. Prestasi beberapa parti di kawasan tertentu turut membuktikan corak pengundian rakyat semakin berubah.
Sebagai contoh, peningkatan sokongan kepada DAP di beberapa kawasan, walaupun gagal memenangi kerusi menunjukkan pola pengundian tidak lagi boleh dinilai berdasarkan sentimen kaum semata-mata. Pengundi hari ini mempertimbangkan faktor dasar, prestasi dan kredibiliti kepimpinan. Ini perkembangan positif bagi kematangan demokrasi Malaysia.
Kelima, amanah selepas menang lebih berat daripada kempen pilihan raya. Ini bermaksud semua Ahli DUN (ADUN) baharu dipilih perlu memahami kemenangan pilihan raya hanya permulaan kepada satu amanah jauh lebih besar.
Setiap keputusan berkaitan kewangan negeri, pemberian projek, proses perolehan, pelantikan serta pengurusan aset awam hendaklah dilaksanakan secara telus, profesional dan bebas daripada rasuah serta salah guna kuasa.
Rakyat tidak menilai kejayaan berdasarkan jumlah kerusi dimenangi, tetapi melalui tahap integriti dan keberkesanan pentadbiran sepanjang tempoh lima tahun akan datang.
Keenam, Johor berpeluang mencontohi budaya integriti Singapura. Kedudukan Johor yang strategik kerana berjiran rapat dengan Singapura, negara sering diiktiraf antara terbaik di dunia dari sudut tadbir urus dan pengawalan rasuah.
Budaya disiplin, ketelusan, kecekapan pentadbiran, pematuhan kepada undang-undang serta sikap tidak bertolak ansur terhadap rasuah adalah nilai wajar dipelajari dan disesuaikan dengan konteks Malaysia.
Johor berpotensi menjadi negeri perintis membudayakan pentadbiran berintegriti yang akhirnya menjadi contoh kepada seluruh negara.
Ketujuh, PRN Negeri Sembilan perlu menampilkan politik berintegriti. Menjelang PRN Negeri Sembilan semua parti politik patut mengambil iktibar daripada senario PRN Johor.
Kempen pilihan raya perlu lebih tertumpu kepada dasar, penyelesaian masalah rakyat, integriti calon dan tadbir urus yang baik.
Politik fitnah, kebencian, manipulasi persepsi serta penyalahgunaan jentera kerajaan harus dihentikan kerana ia hanya melemahkan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi. Apa yang jelas, kemenangan sebenar bukan sekadar memenangi pilihan raya, tetapi mengekalkan kepercayaan rakyat menerusi pentadbiran bersih, telus dan berintegriti.
PRN Johor 2026 memberikan mesej jelas rakyat semakin matang membuat pilihan. Mereka bukan sahaja menilai siapa mampu menang, tetapi siapa benar-benar layak memimpin.
Penulis adalah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)
























