bhrencana@bh.com.my
PILIHAN raya tidak bermula apabila pusat mengundi dibuka. Pilihan raya sebenarnya bermula apabila pengundi mula membentuk keyakinan terhadap seseorang pemimpin, parti dan hala tuju ingin mereka pilih. Hari mengundi hanya detik rasmi mengesahkan keyakinan itu di peti undi.
Itulah pengajaran paling besar daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Sabtu lalu. Ramai melihat keputusan PRN Johor sebagai kemenangan besar Barisan Nasional (BN) atau kekalahan parti lain.
Namun daripada sudut sains politik, keputusan itu sebenarnya membawa makna jauh lebih besar daripada pertambahan atau pengurangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Ia memberi petunjuk cara pengundi membuat keputusan sedang berubah.
Selama beberapa dekad, kekuatan sesebuah parti politik sering diukur melalui saiz jentera, jumlah ceramah, banyaknya bendera dipasang atau besarnya kehadiran penyokong di sesuatu program. Semua itu masih mempunyai nilai, namun tidak lagi menjadi ukuran mutlak.
Dalam era digital, pengundi tidak menunggu tempoh kempen untuk mengenali seseorang pemimpin. Mereka menilai hampir setiap hari melalui prestasi pentadbiran, gaya kepemimpinan, keupayaan menyelesaikan masalah rakyat serta bagaimana semua itu dipersembahkan dan dibincangkan dalam ruang digital.
Perubahan ini menjadikan politik hari ini jauh lebih kompleks berbanding sedekad lalu. Pengundi tidak lagi bergantung kepada satu sumber maklumat. Mereka membandingkan berita daripada media arus perdana, media sosial, portal berita, aplikasi mesej dan pengalaman sendiri sebelum membentuk penilaian.
Keputusan mengundi akhirnya bukan lahir daripada satu ceramah atau satu video tular, tetapi daripada proses berlangsung secara berterusan dalam fikiran mereka. Persoalannya, apakah sebenarnya membentuk keputusan itu.
Ramai beranggapan media sosial penentu kemenangan pilihan raya. Ada pula melihat kekuatan jentera atau populariti calon sebagai faktor utama.
Semua itu mempunyai pengaruhnya. Namun faktor semakin dominan ialah keyakinan terbina hasil gabungan prestasi, komunikasi dan pengalaman rakyat terhadap kepimpinan.
Sepanjang 14 hari mengikuti kempen PRN Johor, perubahan itu berlaku dengan begitu jelas. Tinjauan mesra, ziarah, dialog bersama masyarakat dan pelbagai program turun padang bukan lagi sekadar aktiviti mendekati rakyat.
Setiap pertemuan dirakam, dimuat naik ke media sosial, dikongsi, dibincangkan dan dinilai ribuan pengguna. Aktiviti di lapangan tidak lagi berakhir apabila program selesai. Sebaliknya, ia memasuki satu fasa baharu apabila kandungan itu terus hidup dalam telefon pintar pengundi.
Di sinilah perubahan paling besar dalam komunikasi politik moden. Kempen fizikal hari ini bukan lagi destinasi. Ia menjadi bahan mentah membentuk keyakinan dalam ruang digital.
Mungkin atas sebab itu ramai sering tersilap memahami peranan media sosial dalam pilihan raya. Perbincangan selama ini lebih banyak tertumpu kepada platform digunakan atau jumlah tontonan diperoleh, sedangkan persoalan lebih penting ialah bagaimana semua itu mempengaruhi cara pengundi menilai pemimpin.
Maksudnya, media sosial bukan penentu utama kemenangan pilihan raya. Media sosial hanya medium dan yang menentukan kemenangan ialah keyakinan berjaya dibina dalam minda pengundi.
Perbezaan ini penting
Sebuah video boleh ditonton berjuta-juta kali tetapi tidak semestinya mengubah keputusan mengundi. Sebaliknya, satu tindakan konsisten menyelesaikan masalah rakyat mungkin tidak pernah menjadi tular, namun mampu membina keyakinan berkekalan.
Ertinya, media sosial mempercepatkan penyebaran maklumat tetapi hanya memberi kesan apabila ia disokong pengalaman sebenar rakyat.
Dapatan kajian sebelum ini mengukuhkan pemerhatian ini. Lebih 95 peratus pengundi aktif di media sosial. Dalam kalangan pengundi berusia 18 hingga 40 tahun, Instagram mencatat kadar pemilikan akaun tertinggi, diikuti Facebook, TikTok dan Twitter/X.
Pada masa sama, hanya 48 peratus memiliki keempat-empat platform utama secara serentak. Angka ini membawa satu mesej sangat penting.
Pengundi tidak lagi berada dalam satu platform media sosial. Mereka hidup dalam satu ekosistem media sosial. Maklumat bergerak daripada Facebook ke TikTok, daripada TikTok ke Instagram, kemudian memasuki WhatsApp sebelum menjadi bahan perbualan di kedai kopi, tempat kerja dan dalam keluarga.
Sebab itu persepsi atau keyakinan terhadap seseorang pemimpin tidak dibentuk oleh satu platform, tetapi keseluruhan ekosistem komunikasi saling berkait.
Atas sebab itu, strategi komunikasi politik yang hanya bergantung kepada satu platform semakin sukar memberikan impak menyeluruh.
Parti politik mungkin berjaya menguasai satu medium, tetapi pengundi tetap akan membandingkan maklumat diterima dengan pengalaman sebenar serta sumber lain mereka percayai.
Namun begitu, media sosial sahaja tidak pernah mencukupi. Ia hanya saluran komunikasi jika tiada interaksi. Maka, interaksi menjadikannya benar-benar media sosial.
Daripada interaksi lahir kepercayaan, terbina keyakinan dan akhirnya lahir keputusan untuk mengundi. Perubahan ini paling ketara pada PRN Johor. Pengundi semakin menilai prestasi berbanding retorik, keyakinan berbanding janji dan konsistensi berbanding populariti sementara.
Mereka bukan lagi sekadar bertanya 'apa akan dilakukan' tetapi lebih banyak bertanya 'apa sudah dilakukan'.
Perubahan soalan itu mungkin kelihatan kecil namun dalam politik, ia mengubah segala-galanya. Jika diperhatikan lebih mendalam, PRN Johor membawa satu mesej melangkaui keputusan di peti undi.
Ia memperlihatkan pengundi semakin cenderung membuat keputusan berdasarkan penilaian terbentuk lebih awal, bukan dipengaruhi kempen sepanjang tempoh rasmi pilihan raya.
Dalam konteks Johor, prestasi pentadbiran negeri menjadi antara faktor wajar diberikan perhatian dalam memahami corak sokongan rakyat.
Cakap serupa bikin
Pendekatan kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sering dikaitkan dengan pendekatan 'walk the talk' atau 'cakap serupa bikin', penyelesaian isu rakyat secara langsung serta kehadiran konsisten di lapangan turut membentuk tanggapan tertentu dalam kalangan pengundi.
Sudah tentu faktor ini bukan penjelasan tunggal kepada keputusan PRN Johor. Kekuatan calon, organisasi parti, isu tempatan, strategi kempen dan komposisi pengundi turut memainkan peranan. Namun daripada sudut analisis politik, persepsi terhadap prestasi pentadbiran tidak boleh diketepikan.
Sementara itu, manifesto masih penting, tetapi hari ini ia lebih banyak berfungsi mengukuhkan keyakinan yang terbina. Ia bukan lagi titik permulaan kepada keyakinan pengundi.
Dalam dunia politik yang semakin dipengaruhi media sosial, rakyat menilai pemimpin hampir setiap hari. Mereka melihat bagaimana sesuatu isu ditangani, bagaimana janji diterjemahkan kepada tindakan dan bagaimana pemimpin berinteraksi dengan masyarakat.
Penilaian yang berlaku secara berterusan inilah akhirnya membentuk kecenderungan mereka apabila tiba hari mengundi. Politik Malaysia sedang bergerak daripada politik retorik kepada politik keyakinan.
Daripada pemerhatian di lapangan serta dapatan penyelidikan dijalankan sebelum ini, satu rantaian semakin jelas dalam politik moden dapat disaksikan.
Prestasi melahirkan kandungan, mencetuskan interaksi, membentuk persepsi, membina keyakinan dan akhirnya diterjemahkan kepada undi. Rantaian inilah semakin menjelaskan bagaimana keputusan pilihan raya terbentuk dalam era digital.
Fenomena ini menjadi 'politik persepsi', iaitu keadaan apabila tingkah laku mengundi semakin dipengaruhi persepsi lahir daripada gabungan prestasi, komunikasi, pengalaman rakyat dan interaksi dalam ekosistem media sosial.
Persoalan yang menarik selepas Johor ialah sama ada corak sama akan dapat dilihat pada PRN Negeri Sembilan.
Formula berbeza di Negeri Sembilan
Johor tidak boleh dijadikan formula meramalkan keputusan PRN Negeri Sembilan. Setiap negeri mempunyai sejarah politik, komposisi pengundi, kepemimpinan serta isu tempatan berbeza. Namun begitu, mekanisme bagaimana pengundi membuat keputusan mungkin semakin serupa.
Jika di Johor persepsi terhadap prestasi pentadbiran, kestabilan dan keyakinan terhadap kepemimpinan menjadi antara faktor munasabah dianalisis, maka Negeri Sembilan bakal menguji sama ada faktor sama turut mempengaruhi tingkah laku pengundi atau sama isu negeri lebih dominan menentukan keputusan.
Dengan kata lain, yang mungkin 'berjangkit' daripada Johor bukan kemenangan mana-mana parti, tetapi cara pengundi membuat keputusan.
Mereka semakin menilai secara menyeluruh sebelum membuat pilihan. Prestasi, kestabilan, kredibiliti dan keyakinan semakin menjadi pertimbangan utama, sementara kempen sepanjang dua minggu lebih berfungsi mengesahkan penilaian sudah terbentuk.
Perubahan ini membawa implikasi besar kepada semua parti politik. Pilihan raya bukan lagi pertandingan selama dua minggu tetapi pertandingan berlangsung sepanjang tempoh sesebuah kerajaan mentadbir.
Setiap dasar, tindakan, kenyataan dan penyelesaian kepada masalah rakyat akan menjadi sebahagian daripada proses membentuk keyakinan masyarakat.
Barangkali inilah perubahan paling besar sedang berlaku dalam politik Malaysia. Parti tidak lagi bersaing untuk menguasai pentas ceramah atau media sosial semata-mata tetapi bersaing membina kepercayaan rakyat.
PRN Johor mungkin dikenang sebagai kemenangan besar Barisan Nasional (BN) namun daripada sudut sains politik, ia membawa satu pengajaran lebih besar.
Pilihan raya tidak lagi dimenangi parti paling lantang berkempen sahaja tetapi parti paling berjaya membina keyakinan rakyat sebelum kempen bermula.
Jika corak sama terus muncul pada pilihan raya akan datang, maka PRN Johor mungkin akan dikenang bukan sekadar kerana keputusan dicapainya, tetapi menandakan permulaan era politik persepsi dalam demokrasi Malaysia.
Penulis adalah penganalisis politik bebas
























