BH Online
Ringkasan Berita

Keputusan PRN Johor isyarat awal parti menjelang PRU16

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diumumkan malam ini dijangka menjadi petunjuk penting terhadap landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Keputusan PRN Johor isyarat awal parti menjelang PRU16

Foto hiasan. - Bernama

KEPUTUSAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diumumkan malam ini dijangka menjadi petunjuk penting terhadap landskap politik negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Keputusan itu bukan sekadar menentukan kerajaan negeri baharu, tetapi menjadi ukuran kekuatan parti politik utama serta hala tuju kerjasama dan persaingan dalam politik di peringkat nasional selepas ini.

Tumpuan utama sudah tentu terarah kepada pendirian Barisan Nasional (BN) dan UMNO memilih bertanding secara solo di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan misi mempertahankan kuasa di sambil berharap dapat menambah bilangan kerusi.

Langkah itu memperlihatkan pendirian jelas UMNO mahu menguji kekuatan sendiri, meskipun pada peringkat Persekutuan parti itu masih menjadi sebahagian Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

Keputusan berkenaan bukan sekadar pendirian UMNO Johor, sebaliknya mencerminkan persetujuan kepemimpinan tertinggi parti dan BN.

Walaupun cadangan mungkin bermula pada peringkat negeri, keputusan untuk bertanding secara bersendirian sudah tentu memerlukan restu pucuk pimpinan pusat.

PH tiada pilihan melainkan perlu akur dengan pendirian BN Johor. Sejak awal lagi terdapat petanda BN, khususnya UMNO berhasrat mengembalikan kedudukannya sebagai parti dominan dengan bertanding di semua kerusi seperti pada PRU14 pada 2018 dan PRN 2022.

Hasrat itu secara tidak langsung mengehadkan ruang untuk kerjasama pilihan raya dengan mana-mana parti lain.

Hakikat politik menunjukkan tiada kawan atau lawan yang kekal. Hubungan antara parti lazimnya ditentukan kepentingan semasa.

Atas sebab itu, kerjasama antara BN dan PH dalam Kerajaan Perpaduan sentiasa dilihat bersifat pragmatik, manakala persaingan pilihan raya pula berjalan mengikut pertimbangan strategi masing-masing.

Di sebalik keputusan PRN Johor malam ini, pendirian BN untuk bertanding solo di Johor boleh dianggap sebagai langkah awal dalam percaturan menuju PRU16.

Sebelum ini, kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang pembentukan Kerajaan Perpaduan hanya dapat direalisasikan dengan sokongan Ahli Parlimen BN turut memberi gambaran mengenai kedudukan strategik parti itu dalam kerajaan.

Perkembangan ini menimbulkan persoalan mengenai masa depan hubungan BN dan PH. Walaupun kedua-duanya masih bekerjasama di Putrajaya, persaingan dalam PRN memperlihatkan hubungan itu semakin kompleks.

Selepas ini, BN dan PH akan bertembung sekali lagi pada PRN Negeri Sembilan. Bagaimanapun, kemungkinan untuk mana-mana pihak menamatkan kerjasama dalam masa terdekat ini dilihat masih rendah.

PH tidak mempunyai banyak insentif untuk menyingkirkan BN daripada kerajaan, manakala BN dijangka terus kekal dalam kerajaan selagi kerjasama itu memberi manfaat politik kepada parti berkenaan.

Saling memperkukuhkan pengaruh

Keadaan itu menyebabkan kedua-dua pihak dilihat terus bekerjasama dalam pentadbiran, namun pada masa sama bersaing memperkukuhkan pengaruh masing-masing menjelang PRU16.

Persaingan itu dijangka semakin ketara apabila lebih banyak negeri mengadakan pilihan raya selepas ini. PRN Negeri Sembilan sudah pasti, dijangka PRN Melaka dan Sarawak bakal menyusul.

Dalam konteks PRN Johor, keputusan malam ini bakal memberi gambaran awal mengenai penerimaan rakyat terhadap strategi politik setiap gabungan.

Jika BN berjaya mengekalkan atau meningkatkan pencapaiannya, kemenangan itu akan memperkukuh keyakinan parti berkenaan pendekatan bertanding secara solo masih mempunyai sokongan rakyat.

Sebaliknya, jika majoriti kerusi dimenangi berkurangan dengan ketara, ia mungkin menjadi isyarat BN tidak lagi memiliki pengaruh sehebat sebelum ini. Bermakna, BN dan UMNO perlu muhasabah segera.

Bagi PH pula, jika berlaku kejutan atau setidak-tidaknya peningkatan jumlah kerusi berbanding keputusan PRN lalu, ini akan menjadi petunjuk gabungan itu masih berupaya memperluaskan sokongan.

Sudah tentu keputusan ajaib jika berlaku akan menjadi tonik dan meningkatkan keyakinan PH untuk menghadapi PRU16.

Pada masa sama, prestasi Perikatan Nasional (PN) bakal menjadi petunjuk penerimaan pengundi Melayu terhadap gabungan itu menjelang PRN berikutnya serta PRU16.

Apa yang jelas, perceraian antara BERSATU dan PAS menunjukkan gabungan itu 'tidak boleh diharap' untuk menjadi kerajaan.

Justeru, implikasi PRN Johor tidak terhad kepada negeri itu sahaja. Keputusan malam ini akan diperhatikan dengan teliti parti, penganalisis dan pengundi seluruh negara kerana ia berpotensi mempengaruhi strategi menghadapi PRN Negeri Sembilan, Melaka dan Sarawak.

PRN di negeri berkenaan dijangka menjadi siri ujian akhirnya membentuk momentum menjelang PRU16.

Setiap kemenangan atau kekalahan akan dijadikan rujukan bagi menentukan pendekatan politik lebih berkesan.

Dalam apa juga keputusan, rakyat perlu melihat pilihan raya daripada perspektif lebih luas. Pilihan raya bukan sekadar memberi peluang menghukum atau mengekalkan sesebuah parti, sebaliknya proses memilih wakil rakyat akan membentuk kerajaan baharu.

Oleh itu, pengundi sewajarnya menilai calon berdasarkan keupayaan, integriti dan komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat, bukan dipengaruhi retorik kempen atau janji politik semata-mata.

Keputusan PRN Johor juga bukan penamat kepada persaingan politik, sebaliknya permulaan kepada fasa baharu menuju PRU16.

Sama ada BN berjaya mengukuhkan kedudukannya, PH meningkatkan pengaruh atau PN terus terkontang-kanting, mesej disampaikan pengundi Johor akan menjadi perhatian seluruh negara.

Yang pasti, keputusan itu bakal menjadi penanda aras penting menentukan arah percaturan politik Malaysia untuk tahun mendatang.

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Penulis adalah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM

Video Terkini

Berita Berkaitan