veena@bh.com.my
Ada dua bidalan Inggeris menyentuh soal kawan dan lawan - 'keep your friends close, your enemies closer' dan 'the enemy of my enemy, is my friend', sama seperti ungkapan Melayu 'rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari'.
Politik kerap merumuskan tiada kawan dan musuh kekal untuk menakar sokongan. Apa yang ada hanya politik keadaan untuk dimanfaatkan demi mencapai matlamat diimpikan.
Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berada di kemuncak momentumnya turut menghidangkan senario sama, seawal beberapa minggu sebelum penamaan calon.
Ramai menunggu penuh minat bagaimana Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang berada sebaris dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan, perlu turun dalam haluan berbeza di Johor.
Bibit-bibit ke arah ketidaksehaluan itu sukar dibendung, tidak kira sama ada yang menjadi tajuk berita mahu pun modal kempen secara langsung di pentas ceramah dan lapangan.
Menteri Besar, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi, sebagai contoh, lantang meminta Kerajaan Persekutuan menyegerakan pengumuman Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negeri terus diperkukuh.
Dalam cuit balasan yang sedikit sinis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan urusan memuktamadkan perjanjian itu membabitkan Kerajaan Malaysia dan Singapura yang tidak 'sampai ke tahap Menteri Besar lagi'.
Ada medan kelabu di situ - urusan negeri yang sedang 'berperang' dengan pilihan raya dan urusan pentadbiran negara yang memerlukan persefahaman bersama membabitkan jiran di selatan tanah air.
Saling bertingkah tidak berlarutan, namun ia tetap meninggalkan kesan dan mungkin cebisan kekeliruan dalam kalangan pengundi yang kurang memahami gambaran sebenar.
Perikatan Nasional (PN) turut dilanda krisis keyakinan apabila PAS menghentikan kerjasama politik bersama BERSATU, sekali gus menyaksikan sindir-menyindir bertali arus menghiasi dada akhbar dan ruang maya.
Suasananya kelihatan lebih kusut dalam rumah besar PN sehingga ada pemimpin PAS meminta penyokongnya mengundi BN di kawasan tidak ditandingi parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu, selain dilapor tidak membantu kempen BERSATU.
Begitupun, politik Malaysia semakin matang, bukan lagi terperangkap dalam momokan perangai anak kecil yang enggan berkawan.
Dalam pada menghargai 'arahan mengundi BN' itu, beberapa pemimpin BN, termasuk Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertegas dengan kekuatan sendiri dalam meraih sokongan dan menekankan kekuatan sebenar BN terletak pada perpaduan jentera pelbagai kaum dan kesiapsiagaan parti bergerak di lapangan.
Pada masa sama, masih ada jentera PAS dikatakan tetap turun membantu kempen calon BERSATU atas dasar persahabatan dan ikatan persaudaraan.
Politik campuran masih mencari tapak
Profesor Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani, berpandangan senario politik campuran masih mencari tapak di negara ini, malah berkemungkinan mencetuskan sedikit kekeliruan dalam kalangan pengundi pada peringkat awal kempen PRN Johor.

"Ada ruang bertindan mungkin memerlukan masa untuk dicerna, khususnya isu berkaitan pembangunan ekonomi dan pelaburan pada dasarnya, adalah usaha bersama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
"Kerajaan Persekutuan berperanan juga dalam membawa masuk pelaburan ke Johor, manakala kerajaan negeri membuka ruang dan tempat strategik untuk tujuan itu.
"Dari segi pentadbiran, ia bergerak selari tetapi apabila tiba musim kempen pilihan raya seperti sekarang, masing-masing mahukan seberapa banyak kredit yang boleh sebagai sandaran," katanya.
Jelasnya, pengundi Johor dilihat cenderung memberi pertimbangan berat terhadap parti yang menyediakan ruang dan peluang ekonomi demi kemakmuran negeri.
Dengan kadar pertumbuhan 8.0 peratus, iaitu tertinggi di Malaysia dan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencecah RM171 bilion, Johor perlu terus mengorak langkah ke arah memperkukuh sektor perkhidmatan dan pembuatan yang menjadi nadi penggeraknya.
Mungkin angka besar itu tidak menjadi bualan penduduk biasa di ceruk kampung atau luar bandar, namun mereka memahami erti kestabilan dan kemajuan yang dinikmati sejak bertahun-tahun lamanya.
BN dan PH, kata Azizuddin, berada dalam liga setanding apabila memperkatakan soal 'menjual' kisah kemajuan sepanjang kempen pilihan raya ini, berbanding saingan PN keseluruhannya agak suram kerana dibebani krisis dalaman.
"Persaingan BN dan PH menarik diperhatikan kerana pengundi mahukan kestabilan dalam serba-serbi termasuk politik, bagi memastikan apa yang dinikmati hari ini berlanjutan.
"Pada masa sama, 'topi' berbeza yang dipakai pemimpin besar seperti Anwar dan Ahmad Zahid apabila turun berkempen turut dinilai pengundi, walaupun dalam sesetengah keadaan ia kelihatan janggal kerana mereka berada dalam Kabinet Persekutuan yang sama.
"Saya yakin pengundi dapat membezakan fungsi mereka yang berkawan di Putrajaya dan bersaing di Johor. Lumrah sebegitu perlu dibiasakan kerana kita akan kerap melihat keadaan sama selepas ini.
"Di sini pentingnya faktor dasar dibawa dan tawaran manifesto kepada rakyat kerana rakyat mahu segala dijanjikan itu dikotakan dan kerajaan bakal dipilih memiliki kemampuan berbuat demikian," katanya.
Ketetapan BN bertanding solo dalam setiap pilihan raya seperti yang dinyatakan Ahmad Zahid bermakna situasi 'kawan menjadi lawan' bakal berlarutan di setiap PRN sehingga kemuncak pada pertarungan besar Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Berbaki tiga hari sebelum penentuan di kotak undi pada 11 Julai ini, penyokong tegar parti bertanding diramal sudah pun mempunyai pilihan masing-masing.
Azizuddin mengandaikan perkiraan pengundi atas pagar berlegar dalam persekitaran BN atau PH atas dasar rekod pencapaian peringkat negeri dan Persekutuan, ditambah faktor keperibadian calon di beberapa kerusi.
Pengundi muda, pada hematnya, akan memilih parti mempunyai hala tuju jelas berserta segmen perancangan khusus memanfaatkan golongan itu secara langsung, baik soal peluang pekerjaan mahu pun pendidikan serta sosioekonomi mapan.
Keputusan PRN Johor kelak akan menjawab bagaimana kadangkala kawan dan lawan memiliki wajah yang sama.
Ia bukan ciri-ciri sesumpah, jauh sekali pelanduk dua serupa. Ia cuma satu sosok mengisi bingkai berbeza.
Penulis adalah Pengarang Berita Kanan BH
























