BH Online
Ringkasan Berita

Perkasa ekonomi rakyat melalui gerakan koperasi

SEJAK 1923, Sabtu pertama setiap Julai diisytiharkan Hari Koperasi Sedunia (HKS) seperti ditetapkan Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA). Pada 1995, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktirafnya sempena ulang tahun ke-100 ICA, sekali gus memperaku sumbangan koperasi kepada pembangunan ekonomi dan sosial, meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai model perniagaan koperasi serta menonjolkan peranan koperasi dalam mewujudkan pekerjaan, mengurangkan kemiskinan dan membangunkan komuniti.
Perkasa ekonomi rakyat melalui gerakan koperasi

SEJAK 1923, Sabtu pertama setiap Julai diisytiharkan Hari Koperasi Sedunia (HKS) seperti ditetapkan Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA). Pada 1995, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengiktirafnya sempena ulang tahun ke-100 ICA, sekali gus memperaku sumbangan koperasi kepada pembangunan ekonomi dan sosial, meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai model perniagaan koperasi serta menonjolkan peranan koperasi dalam mewujudkan pekerjaan, mengurangkan kemiskinan dan membangunkan komuniti.

Di negara ini, koperasi pertama didaftarkan pada 1922 bagi membantu petani dan penjawat awam bermasalah kewangan dan mengurangkan kebergantungan kepada peminjam wang tidak berlesen. Sejak itu, ia berkembang pesat dalam pelbagai bidang termasuk kredit, perumahan, pertanian, pengangkutan, peruncitan dan perkhidmatan.

Malaysia mula menganjurkan Hari Koperasi Negara (HKN) pada 21 Julai 2022 dengan pelbagai tema, termasuk isu global seperti pembangunan lestari, keamanan, keterangkuman sosial, keselamatan makanan dan transformasi digital.

Selepas lebih satu abad, koperasi kini antara pemacu penting pembangunan sosioekonomi negara. Berdasarkan statistik, ada lebih 16,000 koperasi berdaftar di negara ini dengan keanggotaan melebihi tujuh juta.

Perolehan keseluruhan tahunan mencecah RM68 bilion, manakala jumlah aset lebih RM173 bilion, sekali gus membuktikan koperasi menjadi antara penyumbang signifikan kepada ekonomi negara.

Kekuatan koperasi terletak pada konsep 'daripada anggota, oleh anggota dan untuk anggota' dengan keuntungannya bukan dimonopoli individu, sebaliknya diagihkan semula kepada anggota melalui dividen, insentif, peluang kerja dan pelbagai bentuk manfaat lain, sekali gus menjadikan koperasi lebih inklusif dan mampu mengurangkan jurang pendapatan masyarakat.

Pelbagai sektor diceburi koperasi termasuk peruncitan, kewangan, perladangan, pertanian, pelancongan, hartanah, pendidikan, kesihatan, pengangkutan dan teknologi, menjadikan koperasi antara penyumbang penting kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dalam sektor kewangan misalnya, koperasi menyediakan kemudahan pembiayaan kepada anggota dengan kadar lebih kompetitif berbanding institusi kewangan komersial, membantu anggota memulakan perniagaan, membeli rumah, membiayai pendidikan anak-anak dan meningkatkan taraf hidup keluarga, termasuk melalui koperasi kredit yang turut memainkan peranan penting menggalakkan budaya menabung dan pengurusan kewangan sistematik.

Dalam sektor pertanian, koperasi menjadi penghubung antara petani dan pasaran dengan petani memperoleh bekalan input pertanian pada harga lebih rendah, selain akses latihan, teknologi moden dan rangkaian pemasaran lebih luas yang bukan sahaja meningkatkan hasil pengeluaran malah membantu menjamin keselamatan makanan negara.

Koperasi turut membuka peluang pekerjaan dengan ribuan individu mendapat manfaatnya, sama ada sebagai pengurus, kakitangan pentadbiran, pekerja ladang, juruteknik, tenaga pengajar mahupun usahawan.

Usahawan mikro, kecil dan sederhana turut dibantu hingga ramai memulakan perniagaan melalui bantuan koperasi, sama ada dari segi pembiayaan, latihan, pemasaran mahupun penyediaan premis yang membolehkan mereka menikmati kelebihan ekonomi berskala yang sebelum ini hanya dimiliki syarikat besar.

Tingkat kesejahteraan sosial

Sumbangan koperasi kepada pembangunan negara turut dilihat melalui usaha meningkatkan kesejahteraan sosial, menyediakan bantuan kebajikan kepada anggota seperti dana pendidikan, bantuan perubatan, khairat kematian, biasiswa, bantuan bencana serta pelbagai skim kebajikan lain.

Dalam bidang pendidikan, koperasi sekolah menjadi platform penting melahirkan generasi memahami nilai keusahawanan, kepemimpinan dan pengurusan kewangan sejak usia muda, manakala koperasi di institusi pengajian tinggi (IPT) menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada warga kampus yang membantu mengurangkan kos sara hidup pelajar serta meningkatkan kesejahteraan komuniti kampus.

Koperasi turut berperanan dalam pembangunan luar bandar untuk meningkatkan pendapatan masyarakat desa melalui aktiviti pertanian, penternakan, pelancongan desa, perusahaan makanan, kraftangan dan perkhidmatan yang bukan sahaja dapat meningkatkan taraf hidup, malah mengurangkan penghijrahan golongan muda ke bandar.

Dalam era digital, koperasi meneroka ekonomi digital, menggunakan platform e-dagang, pemasaran dalam talian, pembayaran digital serta aplikasi mudah alih bagi meningkatkan daya saing, membolehkan koperasi menembusi pasaran lebih luas tanpa bergantung sepenuhnya kepada operasi fizikal.

Koperasi turut menjadi rakan strategik kerajaan menjayakan pelbagai agenda pembangunan negara, dilihat sebagai medium terbaik untuk menyalurkan manfaat ekonomi secara lebih adil kepada rakyat selaras dengan aspirasi membina ekonomi lebih inklusif dan mampan.

Kerajaan melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan agensi berkaitan sentiasa menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada koperasi, daripada aspek kewangan sehinggalah latihan dan pembangunan modal insan.

Ia meningkatkan kemahiran pengurusan koperasi dengan kursus berkait tadbir urus, pemasaran, kewangan, transformasi digital dan keusahawanan sering dianjurkan bagi memperkukuh keupayaan anggota dan pengurusan koperasi.

Koperasi juga digalak terbabit dalam sektor strategik seperti keselamatan makanan, pertanian moden, tenaga hijau, pelancongan komuniti dan ekonomi digital dengan pelbagai insentif disediakan bagi membantu koperasi meneroka bidang baharu yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi.

Ia turut mendapat manfaat daripada pelbagai program pembangunan usahawan dilaksanakan kementerian dan agensi kerajaan termasuk bantuan pemasaran, promosi serta penyertaan dalam pameran perdagangan.

Pelaksanaan Dasar Koperasi Malaysia menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor koperasi agar lebih berdaya saing, inovatif dan mampan. Dasar ini memberi penekanan kepada aspek transformasi digital, pengukuhan tadbir urus, pembangunan modal insan serta pengembangan aktiviti ekonomi baharu.

Selain keuntungan ekonomi, koperasi mempunyai kelebihan dari segi nilai kemanusiaan melalui prinsip keprihatinan terhadap komuniti yang menjadikan entiti itu sentiasa mengimbangi keuntungan dengan tanggungjawab sosial.

Banyak koperasi aktif dalam program kebajikan, kelestarian alam sekitar, bantuan bencana, pembangunan pendidikan dan aktiviti sukarelawan, amat bertepatan dengan aspirasi pembangunan mampan yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan pemeliharaan alam sekitar.

Koperasi mampu menjadi contoh bagaimana sesebuah organisasi boleh berkembang maju tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan, dilihat sebagai instrumen penting memperkukuh ekonomi rakyat dan memastikan pembangunan lebih adil serta inklusif.

Kerajaan mengiktiraf koperasi mampu menjadi jambatan antara pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat dan dalam konteks Malaysia MADANI, koperasi mempunyai ruang lebih luas untuk menyumbang kepada pembangunan negara.

Realitinya, koperasi masih menghadapi pelbagai cabaran, antaranya kekurangan modal, kelemahan pengurusan, tiada kelayakan profesional, tahap tadbir urus tidak seragam, penguasaan teknologi rendah dan persaingan dengan entiti lain, selain sikap anggota yang melihat koperasi hanya tempat memperoleh dividen tanpa terbabit dalam pembangunannya.

Ramai anak muda masih kurang memahami potensi besar sektor koperasi sebagai platform keusahawanan dan pembangunan kerjaya. Justeru, usaha memperkenalkan koperasi melalui pendidikan, media sosial dan inovasi digital dipertingkatkan supaya koperasi kekal relevan.

Koperasi juga perlu memperkukuh penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), analisis data, automasi serta pemasaran digital. Transformasi ini penting bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan operasi.

Dalam menghadapi cabaran masa depan, lebih ramai golongan muda celik teknologi maklumat (IT) perlu menyertai gerakan koperasi bagi membawa inovasi, idea baharu dan tenaga yang diperlukan dalam memastikan kelangsungan gerakan koperasi.

Penulis adalah anggota Koperasi Masjid Ar-Rahman (KoArRahman) Permatang Rambai, SPU, Pulau Pinang

Video Terkini

Berita Berkaitan