KETIKA Hujan Pagi, iaitu novel kewartawanan Sasterawan Negara (SN) yang juga bekas Ketua Pengarang Berita Harian (BH), A Samad Said diterbitkan pada 1987, Malaysia sudah suku abad meninggalkan peristiwa Mogok Utusan yang menjadi titik penting perjuangan wartawan tanah air. Namun, tahun sama juga menjadi antara halaman paling getir dalam sejarah media negara apabila Operasi Lalang menyaksikan bukan sahaja ratusan individu ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), bahkan penerbitan The Star, Sin Chew Jit Poh dan Watan digantung.
Pada dekad sama, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 pula terus memperkukuh kuasa kerajaan, terutama melalui keperluan permit penerbitan diperbaharui setiap tahun dan kuasa Menteri Dalam Negeri yang luas, suatu kerangka perundangan kemudiannya sentiasa menghantui syarikat akhbar pasca-Operasi Lalang.
Ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 1981, menyelaraskan zon masa antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, sebelum memacu negara dengan pelbagai polisi termasuk Dasar Pandang Ke Timur, pensyarikatan Malaysia, penswastaan dan perindustrian berat termasuk automotif yang mengubah wajah ekonomi Malaysia, sekali gus mengukuhkan cengkaman kuasa.
Barangkali bukan kebetulan Hujan Pagi lahir dalam latar zaman sedemikian. Melalui watak Lokman, wartawan generasi sebelum perang semakin terasing dalam dunia akhbar baharu, Pak Samad - sebagaimana panggilan kami baik dari dunia kewartawanan mahupun kesusasteraan, sebenarnya tidak sekadar menulis sebuah novel kewartawanan.
Beliau sedang mengisahkan pergulatan nurani pengamal media yang melihat profesionnya berubah daripada medan perjuangan kepada gelanggang semakin sarat dengan tuntutan kuasa, organisasi dan perubahan zaman.
Ketika Dr Ahmad Dio cuba memahami kekusutan dialami Lokman, pembaca disentak ke dunia halusinasinya kembali ke zaman sebelum merdeka merenung persoalan tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, iaitu apakah yang tinggal kepada seorang wartawan apabila pegangan hidupnya mula bertembung dengan perubahan ekosistem media?
Soalan itu sebenarnya terus bergema hingga kini meskipun Dr Mahathir bukan sahaja sudah bersara dan diganti Tun Abdullah Ahmad Badawi, bahkan menjadi Perdana Menteri kali kedua, Datuk Seri Najib Razak melaksanakan transformasi luar biasa, tetapi kemudian diheret ke mahkamah dan dipenjarakan kerana isu 1MDB serta Malaysia mencatat sejarah menyaksikan tiga Perdana Menteri silih berganti dalam tempoh tiga tahun, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kini, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hakikatnya, cabaran kewartawanan kini jauh lebih rencam daripada hubungan 'simbiotik, konfrontatif dan eksploitatif' antara kerajaan dengan akhbar yang mungkin cenderung dilihat pihak lain, termasuk pengkritik, pengkaji dan sarjana.
Kuasa politik masih wujud dan tetap menjadi faktor penting dalam menentukan sejauh mana ruang kebebasan media dapat berkembang, terutama dengan peralihan kuasa daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) kemudian Perikatan Nasional (PN) dan kini kerajaan campuran pimpinan PH.
Namun, dunia media sedang diasak oleh apa boleh dinamakan pada awalnya, gelombang gendala digital (digital disruption) dan kemudian tsunami media sosial, iaitu rempuhan dan limpahan besar kandungan dipilih bukan lagi oleh editor atau pemilik akhbar, tetapi algoritma yang menyukat perhatian, emosi, trend dan kecenderungan pengguna.
Penentuan susun atur pembingkaian berita
Dalam dunia sedemikian, wartawan bukan sekadar bersaing dengan rakan sejawatan akhbar, stesen televisyen dan radio, tetapi dengan puluhan ribu pengguna media sosial yang membawa jutaan kandungan yang muncul setiap saat di hujung jari pembaca.
Tidak kurang mencabarnya, kuasa editorial yang sangat dominan dalam menentukan keutamaan dan susun atur serta pembingkaian berita, semakin berkongsi dengan kuasa ekonomi. Jika dahulu ketua pengarang menjadi garis terakhir sebelum sesuatu berita diterbitkan, kini keputusan editorial sering perlu dirundingkan dengan realiti pasaran, data capaian, trafik digital dan pengiklanan.
Sudah tentu ini tidak membawa maksud integriti kewartawanan terhakis, tetapi medan pertimbangannya menjadi jauh lebih kompleks. Wartawan hari ini bukan sahaja berdepan tekanan politik, bahkan tekanan model perniagaan dan digital yang berubah hampir sepenuhnya.
Namun, mengingati semua ini bukan bermaksud kita mahu tenggelam dalam nostalgia atau meromantiskan masa lampau. Setiap zaman mempunyai cabarannya sendiri, termasuk sebelum dan selepas merdeka seperti dialami Lokman dalam dunia halusinasi Hujan Pagi dan dunia sebenar Sinar Pagi; masa realisme dikongsi Tan Sri A Samad Ismail dalam Temasya Tinta; era Mogok Utusan yang berdepan cabaran kuasa secara langsung atau dekad kuasa menggigit pentadbiran Dr Mahathir.
Wartawan dalam alaf baharu kini berhadapan ledakan maklumat, kecerdasan buatan (AI), penyebaran maklumat palsu dan krisis kepercayaan dan perhatian masyarakat terhadap institusi media, sambil mewarisi cabaran sedia ada baik politik mahupun ekonomi yang cuba saya kongsi dalam kumpulan cerpen Seberat Tangan Tuan Pengarang.
Justeru, ulang tahun ke-69 BH pada hari ini, bukan sekadar sambutan ritual sesebuah akhbar, tetapi peringatan kewartawanan sentiasa hidup dalam ketegangan antara idealisme dengan realiti.
Sebuah akhbar mungkin berubah daripada kertas kepada skrin telefon pintar atau daripada halaman bercetak kepada portal, media sosial dan langganan digital, tetapi tugas asasnya tetap sama, iaitu menyampaikan peristiwa, pandangan dan perspektif kepada masyarakat dengan disiplin dan etika kewartawanan serta tanggungjawab kepada negara dan rakyat.
Malah, ulang tahun sesebuah akhbar juga bukan hanya peringatan kepada pengamal media, sebaliknya kepada kerajaan dan pemegang taruh yang turut membentuk ekosistem dan budaya media.
Di sebalik akhbar masih memerlukan permit daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bergerak dalam lunas undang-undang, kebebasannya tidak diberikan oleh kerajaan (begitu juga radio, televisyen dan portal).
Kerajaan boleh menggubal undang-undang, menetapkan peraturan atau membantu dalam membentuk badan penyelia seperti Majlis Media Malaysia, namun perlu menghormati pihak yang menjadi Fourth Estate (kuasa keempat) atau tiang seri keempat demokrasi ini.
Hubungan kompleks kerajaan dengan media perlu diseimbangkan dengan peranannya sebagai jambatan antara masyarakat dengan pemerintah yang bukan bersifat jalan sehala. Media pada masa sama juga perlu menguruskan cabaran baik bersifat ekonomi mahupun digital yang tentunya akan bertambah kritikal.
Mungkin itulah Hujan Pagi masih relevan. Lokman tidak hanya watak dalam novel, tetapi bayang-bayang yang sentiasa mengiringi setiap generasi wartawan apabila dunia berubah pantas dengan cabaran lama terus menguji.
Di bawah langit sama itulah, BH yang melangkah usia ke-69 hari ini bersama media lain tidak kira apa wadahnya, bukan sekadar membawa sejarah, tetapi memikul harapan bahawa kewartawanan baik sentiasa mampu menyinar, walaupun perubahan 'iklimnya' semakin luar biasa.
Penulis adalah Pengarang Berita (Rencana) BH
























