nazmi@bh.com.my
DAP bermula dengan langkah kiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan meletusnya isu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim yang tidak mempertahankan kerusinya selepas diminta berpindah ke kerusi DUN Tiram.
Marina memenangi kerusi Skudai dalam PRN 2022 dengan memperoleh 26,359 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Lim Soon Hai yang mendapat 12,416 undi dan calon Perikatan Nasional (PN) Khoo Keng Ek (6,258 undi).
Untuk berlaku 'adil', pengumuman Marina itu berlaku sehari sebelum Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan DUN dibubarkan selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor.
Di sebalik pembubaran DUN itu membuka laluan kepada pilihan raya, DAP dilihat terdedah kepada 'blunder' komunikasi apabila Pengerusi DAP Johor yang juga Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching memberikan penjelasan termasuk mencadangkan Marina sebagai pengerusi badan berkanun tanpa mengira keputusan PRN.
Sudah tentu penjelasan Naib Pengerusi DAP itu mendedahkan partinya kepada kritikan terhadap isu pelantikan ahli politik dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun meskipun pengamalan kaedah ini sudah merentas sempadan daripada BN hinggalah Pakatan Harapan (PH) dan PN yang sebelum menjadi kerajaan bersikap kritis terhadap hal ini.
Bagaimanapun lebih penting lagi, kontroversi Marina ini turut mendedahkan DAP kepada satu lagi serangan yang tidak pernah sunyi dari dulu lagi, iaitu dalam usaha parti itu memancarkan imej inklusif merentas garis kaum, ia tetaplah parti majoriti Cina.
Dalam sains politik, hal ini sering dibincangkan sebagai tokenisme, iaitu amalan menampilkan individu daripada kelompok tertentu sebagai lambang keterangkuman, tetapi tanpa semestinya disertai perkongsian kuasa, pengaruh atau perubahan struktur yang substantif.
Dalam usaha itu juga, DAP didakwa merekrut pemimpin Melayu sejak zaman kegemilangan kesatuan sekerja yang kemudiannya wartawan. Apabila sebahagian pengalaman itu tidak memberikan lonjakan besar sokongan Melayu, malah ada bekas tokoh kemudian mengkritik parti dari luar, DAP tampil dengan pendekatan lebih tersusun melalui Sekolah Demokrasi (SekDem).
Justeru, tindakan terhadap Marina itu boleh mendalamkan kepercayaan orang Melayu bahawa DAP hanya mempergunakan sahaja tokoh sama bangsa dengan mereka dan bersedia mengalihkan ke mana-mana kerusi yang dianggap lebih mencabar apabila tiba masanya.
Wajar uruskan isu dengan lebih baik
Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan sendiri mengakui cara menguruskan isu itu sepatutnya lebih baik, apatah lagi ketika itu pengagihan kerusi dalam PH belumpun selesai, sedangkan tawaran sudah dibuat.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bangi itu menegaskan strategi menghantar seseorang calon Melayu berwibawa dan berpotensi bukanlah salah, malah sering diamalkan DAP termasuk kepada Tan Sri Lim Kit Siang dan Nie Ching sendiri yang dipindahkan dari Serdang ke Kulai.
"Cuma dalam hal ini mungkin dilihat berbeza kerana Marina ialah ADUN berbangsa Melayu. Namun, kita harus melihatnya sebagai pengiktirafan parti bahawa sebagai seorang heavyweight yang boleh jadi game changer untuk memenangkan kerusi Tiram.
"Parti juga mahu mengembangkan sayap kerana kerusi majoriti Cina atau campuran sudah tepu. Kita kena lihat kerusi baharu berpotensi yang sudah tentu majoriti Melayu," katanya ketika diwawancara pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, baru-baru ini.
Mengenai penamaan calon Melayu sebagai tokenisme dan eksperimen dianggap gagal, Syahredzan yang mengakui DAP tidak boleh lari daripada realiti majoriti ahlinya berbangsa Cina berkata, parti berkenaan serius memupuk lebih ramai pemimpin muda Melayu dalam 15 hingga 20 tahun kebelakangan.
"Kita tak boleh lihat itu sebagai eksperimen kerana selain barisan hadapan pemimpin dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) macam saya dan Young Syefura Othman atau wakil rakyat seperti Syerleena Abdul Rashid dan senator, Sheikh Umar Bagharib Ali, kita ada lapisan kedua.
"Pemimpin Melayu dalam DAP ini memegang jawatan dalam kerajaan contohnya Ahli Majlis seperti dua orang dalam Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), ketua kampung serta pengerusi cawangan, selain pelapis pemimpin.
"Apabila Marina tak tanding lagi, saya percaya DAP terutama di Johor akan ada calon lain boleh diketengahkan di kerusi baharu. Jadi ini bukan eksperimen, sebaliknya proses parti berkembang dan menarik orang Melayu bukan hanya satu segmen sahaja, sebaliknya profesional, aktivisme dan sebagainya," katanya.
Sejauh manakah isu Marina memberikan kesan kepada persepsi pengundi Melayu dalam PRN Johor sudah tentu hanya boleh diketahui secara tepat sekiranya ada tinjauan dilakukan penyelidik politik atau undi diperoleh parti itu pada 11 Julai terutama dalam kerusi yang jumlah pengundi Melayu signifikan.
Bagaimanapun buat sementara berdasarkan gambaran awal Majlis Pelancaran Jentera PRN PH Johor awal bulan ini, PH terutama DAP masih boleh berentap dengan keyakinan menang dan mengharapkan pengundi Melayu melupakan isu Marina ini.
Pengarang Berita (Rencana) BH
























