MENJELANG hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 27 Jun ini, suasana di negeri itu masih tenang. Bendera parti belum memenuhi jalan utama. Poster belum menguasai ruang awam. Ceramah besar-besaran juga belum benar-benar bermula.
Semua mungkin menunggu tarikh penamaan calon untuk mula berkempen secara rasmi dan agresif sebelum hari mengundi tiba pada 11 Julai nanti.
Namun, jika ada yang beranggapan kempen pilihan raya masih belum bermula, mereka mungkin silap. Bagi sebahagian besar pengundi, proses membuat keputusan sebenarnya sudah bermula lebih awal.
Mereka sedang memerhati, membandingkan dan menilai. Inilah perubahan paling ketara dalam landskap politik moden. Pilihan raya hari ini bukan lagi bermula apabila calon diumumkan atau manifesto dilancarkan.
Sebaliknya, proses penilaian berlaku setiap hari melalui apa yang dilihat, didengar dan dialami rakyat, jauh sebelum tempoh kempen rasmi bermula.
Pada era digital, setiap kenyataan, tindakan dan tindak balas terhadap isu semasa menjadi sebahagian daripada proses berkenaan. Pengundi tidak lagi bergantung kepada satu sumber maklumat semata-mata.
Mereka membaca portal berita, mengikuti media sosial, menonton video pendek, menyertai kumpulan WhatsApp dan membandingkan pelbagai pandangan sebelum membuat kesimpulan sendiri.
Dalam satu kajian berkaitan tingkah laku pengguna media sosial dan politik, sebanyak 63 peratus responden menyatakan mereka mengikuti perkembangan politik melalui hantaran media sosial pemimpin politik.
Sebanyak 32 peratus berada pada kedudukan neutral, iaitu tidak mengikuti secara aktif tetapi masih mengambil tahu apabila sesuatu isu atau hantaran muncul dalam media sosial mereka. Hanya lima peratus menyatakan mereka tidak berminat.
Dapatan ini membawa satu hakikat yang menarik. Sebanyak 95 peratus responden sama ada mengikuti atau sekurang-kurangnya masih terdedah kepada kandungan politik disampaikan melalui media sosial.
Ini menunjukkan media sosial hari ini bukan lagi sekadar medium komunikasi tetapi menjadi ruang pemerhatian rakyat.
Rakyat mungkin tidak menekan butang suka, meninggalkan komen atau berkongsi sesuatu hantaran tetapi tetap memerhati.
Dalam konteks PRN Johor, perkara ini mempunyai implikasi besar. Parti politik mungkin sedang memberi tumpuan kepada penyusunan jentera, pemilihan calon dan strategi kempen.
Rakyat bina persepsi dan keyakinan
Namun pada masa sama, rakyat sedang membina persepsi dan keyakinan berdasarkan apa yang mereka lihat sepanjang tempoh sebelum pilihan raya.
Mereka menilai rekod prestasi, keupayaan kepimpinan dan kemampuan menyelesaikan masalah rakyat. Mereka juga menilai sama ada sesuatu janji mempunyai asas boleh diyakini atau sekadar slogan akan dilupakan selepas pilihan raya.
Johor mempunyai budaya politik tersendiri. Sebagai negeri menjadi pemacu ekonomi negara dan pintu masuk utama ke Singapura, rakyat Johor lazimnya memberi perhatian kepada aspek kestabilan, pembangunan dan kecekapan pentadbiran.
Isu peluang pekerjaan, kos sara hidup, pelaburan, pembangunan wilayah serta kesejahteraan rakyat kekal menjadi perkara yang dekat dengan kehidupan mereka.
Atas sebab itu, persoalan sedang bermain dalam fikiran ramai pengundi bukan sekadar siapa akan bertanding. Mereka juga mahu mengetahui siapa mampu memimpin, mentadbir dan membawa Johor terus maju dalam suasana ekonomi dan politik semakin mencabar.
Di sinilah letaknya cabaran sebenar kepada semua parti politik. Mendapatkan perhatian rakyat bukan perkara paling sukar. Media sosial membuktikan perhatian boleh diperoleh dalam beberapa saat.
Cabaran sebenar ialah mendapatkan keyakinan. Perhatian boleh menjadi tular, keyakinan mengambil masa untuk dibina, perhatian boleh dibeli melalui iklan.
Keyakinan hanya diperoleh melalui kredibiliti, manakala perhatian boleh berubah dalam sehari. Keyakinan pula terbentuk melalui rekod, tindakan dan pengalaman dilihat rakyat.
Sebab itu, PRN Johor bukan sekadar pertandingan jentera, poster atau media sosial, ia pertandingan mendapatkan kepercayaan rakyat.
Dalam beberapa minggu akan datang, parti politik akan berusaha mendapatkan perhatian pengundi melalui pelbagai pendekatan dan kempen.
Namun apabila tiba hari mengundi, rakyat tidak akan membuat keputusan berdasarkan siapa paling banyak bercakap. Mereka akan membuat keputusan berdasarkan siapa paling mereka yakini.
Dalam politik moden, kempen mungkin bermula pada hari penamaan calon tetapi penilaian pengundi bermula jauh lebih awal.
Penulis adalah pemerhati politik bebas
























