KETIKA perhatian politik negara tertumpu kepada kemelut perlembagaan serta adat di Negeri Sembilan dan pilihan raya negeri (PRN) Johor, Perlis pula berdepan episod ketidakstabilan politik tidak kurang signifikannya.
Meskipun negeri paling utara Semenanjung itu tidak memiliki jumlah kerusi besar atau pengaruh politik setanding Johor, apa yang berlaku di Perlis sebenarnya mencerminkan satu fenomena semakin membimbangkan dalam politik Malaysia, iaitu perebutan kuasa berpotensi mengatasi keutamaan rakyat.
Dalam tempoh hanya beberapa minggu, Malaysia menyaksikan tiga negeri menjadi tumpuan atas sebab berbeza tetapi berkongsi tema sama iaitu legitimasi kepemimpinan, kestabilan pentadbiran dan masa depan kerajaan negeri.
Di Negeri Sembilan, krisis bermula sebagai pertikaian institusi pemerintahan Melayu berkembang menjadi kebuntuan politik sehingga membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Di Johor pula, pembubaran DUN lebih awal daripada jadual asal membuka gelanggang kepada pertembungan politik dijangka menjadi referendum terhadap kekuatan parti utama negara. Di Perlis, isu berkaitan sokongan terhadap Menteri Besar terus menjadi bahan perdebatan politik.
Apa yang menarik ialah ketiga-tiga negeri ini sebenarnya memberikan gambaran cabaran sedang dihadapi landskap politik nasional.
Di Negeri Sembilan, krisis berlaku jauh melangkaui persaingan biasa antara parti. Pertikaian mengenai institusi Yang di-Pertuan Besar mencetuskan keadaan luar biasa sehingga kerajaan Persekutuan tampil menegaskan pengiktirafan terhadap Tuanku Muhriz Tuanku Munawer.
Pertikaian punca hilang kestabilan
Pada masa sama, pertikaian politik dalam DUN menyebabkan kerajaan negeri kehilangan kestabilan diperlukan untuk mentadbir dengan berkesan. Akhirnya, pembubaran DUN dipilih sebagai jalan keluar bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.
Johor pula memperlihatkan dimensi berbeza. Negeri sering dianggap sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN) kini menjadi pentas kepada perdebatan lebih besar mengenai masa depan kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan.
Kenyataan beberapa pemimpin Johor mengenai hubungan dengan DAP mencetuskan polemik nasional dan memperlihatkan kesepakatan di Putrajaya tidak semestinya diterjemahkan secara seragam di peringkat negeri.
Dalam konteks ini, PRN Johor bukan sekadar pertandingan menentukan kerajaan negeri, tetapi ujian terhadap hubungan politik membentuk kerajaan Persekutuan hari ini.
Namun, di sebalik perhatian diberikan kepada Negeri Sembilan dan Johor, Perlis tidak seharusnya diketepikan. Negeri kecil ini mungkin tidak menjadi tajuk utama setiap hari, tetapi persoalan yang timbul sama penting. Adakah kerajaan negeri masih mempunyai kestabilan politik mencukupi untuk mentadbir dengan berkesan.
Dalam sistem Demokrasi Berparlimen, ukuran utama sesebuah kerajaan bukan sejauh mana ia mampu bertahan dalam perebutan kuasa, tetapi kemampuan memperoleh dan mengekalkan keyakinan majoriti.
Jika kerajaan masih mempunyai majoriti jelas, maka pentadbiran harus diteruskan. Namun jika majoriti menjadi persoalan berpanjangan, keadaan itu boleh menjejaskan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap masa depan negeri.
Terdapat pihak berpandangan penyelesaian terbaik di Perlis ialah Menteri Besar mengambil tanggungjawab politik dengan mengundurkan diri sekiranya beliau tidak lagi mempunyai sokongan mencukupi.
Langkah sedemikian bukan luar biasa dalam amalan demokrasi. Dalam banyak negara Komanwel, pengunduran pemimpin sering dianggap mekanisme memulihkan kestabilan tanpa perlu mengheret rakyat ke dalam konflik politik berpanjangan.
Namun persoalannya tidak terhenti di situ. Sekiranya Menteri Besar berundur, adakah terdapat individu lain mampu membentuk kerajaan dengan majoriti stabil.
Jika jawapannya ya, maka pertukaran kepemimpinan mungkin mencukupi tetapi jika tiada pihak mampu menunjukkan sokongan meyakinkan, maka PRN mungkin menjadi satu-satunya jalan mendapatkan mandat jelas daripada rakyat.
Pengalaman Negeri Sembilan menunjukkan apabila kebuntuan politik mencapai tahap tertentu, pembubaran DUN boleh menjadi penyelesaian paling demokratik.
Walaupun pilihan raya memerlukan kos tinggi dan menuntut pengorbanan masa serta tenaga, ia tetap mekanisme terbaik menyelesaikan pertikaian politik secara aman dan sah di sisi Perlembagaan.
Namun begitu, pilihan raya juga bukan ubat kepada semua masalah. Sejarah menunjukkan pilihan raya kadangkala hanya menyelesaikan satu krisis sambil membuka kepada krisis lain.
Oleh itu, pembubaran DUN seharusnya menjadi pilihan terakhir selepas semua usaha untuk mencapai kestabilan melalui proses politik dan perlembagaan digunakan sepenuhnya.
Kestabilan prasyarat pembangunan
Dalam konteks ini, Perlis, Negeri Sembilan dan Johor sebenarnya memberikan satu pengajaran sama kepada seluruh negara. Kestabilan politik bukan matlamat akhir, tetapi prasyarat kepada pembangunan.
Tanpa kestabilan, sukar untuk kerajaan melaksanakan dasar secara konsisten. Tanpa keyakinan rakyat, sukar pemimpin memperoleh legitimasi moral walaupun mempunyai majoriti di atas kertas.
PRN Johor dan Negeri Sembilan akan diperhatikan sebagai petunjuk kepada sentimen rakyat terhadap parti utama negara. Pada masa sama, perkembangan di Perlis akan terus menjadi ukuran terhadap kemampuan pemimpin negeri menyelesaikan konflik secara matang dan berhemah.
Apa juga keputusan akhirnya diambil di Perlis, sama ada mengekalkan Menteri Besar, menggantikannya dengan pemimpin baharu atau mengembalikan mandat kepada rakyat melalui pilihan raya negeri, ukuran kejayaannya tetap sama.
Yang penting, keputusan itu mampu mengembalikan kestabilan, membolehkan kerajaan menumpukan perhatian kepada pembangunan negeri dan memenuhi harapan rakyat.
Pada akhirnya, kerajaan datang dan pergi, pemimpin silih berganti, tetapi kepentingan rakyat mesti sentiasa kekal menjadi keutamaan.
Pada akhirnya, kematangan politik menjadi kunci utama. Perlis, seperti negeri lain, tidak memerlukan pertikaian berpanjangan, sebaliknya kepemimpinan stabil, inklusif dan berorientasikan rakyat.
Hanya dengan pendekatan ini keyakinan rakyat dapat dipulihkan, manakala institusi demokrasi terus dihormati dan diperkukuh untuk masa depan lebih mampan dan sejahtera secara berterusan dan konsisten.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA Perlis
























