BH Online
Ringkasan Berita

DAP perlu letak calon Melayu di kawasan majoriti Cina

JARANG sekali pemimpin politik dapat keluar daripada fenomena ‘sindrom penafian’ dan bercakap benar untuk menutup kelemahan ataupun kegagalan. Malah, selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan PRU15, ramai pemimpin politik masih belum menginsafi pembacaan politik yang menyebabkan mereka hilang kuasa, gagal ataupun hilang kuasa.
DAP perlu letak calon Melayu di kawasan majoriti Cina

Foto hiasan.

JARANG sekali pemimpin politik dapat keluar daripada fenomena 'sindrom penafian' dan bercakap benar untuk menutup kelemahan ataupun kegagalan. Malah, selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan PRU15, ramai pemimpin politik masih belum menginsafi pembacaan politik yang menyebabkan mereka hilang kuasa, gagal ataupun hilang kuasa.

Terlalu desperado mahu 'angkat diri sendiri', tetapi gagal membaca suara rakyat. Inilah perangai sekumpulan pemimpin politik. Sikap angkuh dan sombong bermaharajalela di pemikiran mereka. Jangan lupa, rakyat memerhatikan setiap gerak geri mereka.

Sekejap tunjuk berbaik kononnya demi rakyat dan kestabilan politik, tapi tiba-tiba bertindak seperti 'habis madu sepah dibuang'. Namun bagi mereka, segala-galanya betul, berprinsip dan jujur. Alasan politik digunakan untuk menjustifikasikan perangai mereka.

Penulis tak pernah duduk sebelah Anthony Loke, tetapi teruja dengan pengakuan 'berani kerana benar'. Setiausaha Agung DAP itu menyatakan selepas enam dekad parti berkenaan masih gagal meraih keyakinan pengundi Melayu.

"DAP akui masih bergelut dengan cabaran untuk menarik keyakinan pengundi Melayu khususnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, meskipun sudah enam dekad parti itu bertapak di negara ini," katanya.

Bagaimanapun, Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, pihaknya percaya usaha menarik keyakinan pengundi Melayu mesti berpaksi keyakinan kaum berkenaan kepada parti itu, bukannya individu tertentu.

Jarang sama sekali pemimpin politik yang berada pada peringkat atas dapat mengakui kesilapan, kelemahan ataupun kegagalan. Loke berani melakukan perubahan. Sejak mengambil alih tugas sebagai Setiausaha Agung parti itu, gaya kepemimpinannya cukup komited dengan reformasi dalam parti dan negara. Malah, beliau dilihat antara Menteri Kabinet yang disukai semua bangsa kerana kebolehan dan kepemimpinannya mengendalikan Kementerian Pengangkutan.

Justeru, sebagai seorang pemimpin bersifat 'moderate' yang mampu melakukan perubahan, sudah tiba masanya parti itu memasuki 'fasa strategi politik' lebih inklusif.

Ya betul, pemimpin datang dan pergi. Parti yang kekal selama-lamanya. DAP sudah berusia 60 tahun. Majoritinya diwakilinya komuniti Cina yang menjadi kekuatan dan pengaruh utama parti itu.

Pengakuan terbuka kepemimpinan DAP menunjukkan kejujuran politik jarang dilihat, namun ia perlu diikuti dengan pelan tindakan lebih konkrit dan konsisten pada peringkat akar umbi.

Pengakuan sahaja tidak cukup. Dalam politik, pengiktirafan dan penyelesaian masalah mesti disusuli dengan langkah strategik boleh diukur. Inilah yang saya sifatkan sebagai fasa kedua selepas 60 tahun yang bersifat inklusif.

Daripada pengakuan kepada pelaksanaan fasa kedua, ia perlu memberi fokus kepada usaha membina semula keyakinan melalui pendekatan lebih dekat dengan realiti masyarakat Melayu, khususnya di kawasan luar bandar dan semi-urban (separuh bandar).

DAP perlu tunjuk kewibawaan mereka sebagai parti rakyat Malaysia yang menekankan komitmen berterusan terhadap keadilan, kesamarataan dan hak asasi semua. Pembahagian kuasa dan jawatan dalam parti juga perlu mewakili suara rakyat Malaysia.

Tidak salah untuk menjaga hati komuniti Cina. Memang tidak dapat dinafikan, masyarakat Cina menaruh harapan tinggi terhadap parti untuk membela nasib mereka.

Sekiranya Kerajaan MADANI boleh melantik Hannah Yeoh sebagai menteri menjaga hal ehwal Wilayah Persekutuan dan Steven Sim sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi daripada DAP, seharusnya sudah tiba masanya parti itu memikirkan komposisi jawatan Kabinet kepada pemimpin berbangsa Melayu secara adil dan inklusif.

Cabaran utama belenggu parti

DAP bukannya ketandusan pemimpin Melayu, tetapi perlu ada keikhlasan dan keterbukaan mengiktiraf peranan semua kaum seperti perjuangan parti itu yang menekankan 'Malaysia untuk rakyat Malaysia'.

DAP juga seharusnya dapat menangani isu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim dengan tertib. Isu seperti inilah boleh mengurangkan undi masyarakat Melayu terhadap parti itu. Mungkin sudah tiba masanya DAP menurunkan calon berbangsa Melayu di majoriti kawasan penduduk Cina?

DAP yang sering melaungkan slogan reformasi, perlu 'merakyatkan reformasi' di parti itu untuk kekal relevan di hati semua rakyat Malaysia.

Penekanan kepada dasar menyentuh isu kos sara hidup, peluang ekonomi belia, perumahan mampu milik serta pembangunan usahawan mikro tanpa mengira latar belakang politik perlu dijadikan 'duta politik' parti DAP.

Rakyat tidak menilai parti berdasarkan sejarah semata-mata, tetapi berdasarkan manfaat yang mereka rasa secara langsung dalam kehidupan harian.

Penjagaan suara rakyat pada peringkat akar umbi dan kehadiran konsisten turut menegaskan pendekatan turun padang tidak boleh bersifat bermusim, terutama hanya muncul menjelang pilihan raya.

Sebaliknya, parti politik perlu membina kehadiran konsisten melalui program komuniti, dialog terbuka serta pembabitan berterusan dengan masyarakat setempat termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi sosial dan pemimpin tempatan.

Keyakinan tidak dibina dalam satu malam atau satu kempen. Ia memerlukan masa, konsistensi dan keikhlasan yang dapat dirasai rakyat.

Cabaran utama masih membelenggu DAP ialah isu persepsi politik yang terbentuk sejak sekian lama, termasuk jurang komunikasi dengan pengundi Melayu.

DAP perlu mengambil pendekatan komunikasi politik diperkemas dengan penggunaan naratif yang lebih inklusif dan kurang bersifat konfrontasi. DAP perlu keluar daripada imej 'pembangkang'.

Bahasa politik perlu berubah. Ia mesti membawa mesej Malaysia bersama, bukan lagi dilihat dalam kerangka lama yang memecahkan keperluan untuk membangunkan mekanisme penilaian sentimen pengundi secara lebih sistematik bagi memahami perubahan sikap rakyat, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu muda.

Pendekatan berasaskan data akan membantu parti merangka strategi yang lebih tepat dan tidak bergantung kepada andaian semata-mata.

Politik moden 'memerlukan data, bukan sekadar intuisi'. Tanpa itu, sukar untuk membina keyakinan jangka panjang. Cabaran DAP dalam menarik keyakinan pengundi Melayu bukanlah baharu, namun pengakuan terbuka kepemimpinan parti dilihat sebagai titik mula kepada fasa pembetulan strategi.

Fasa kedua ini bukan soal imej, tetapi soal kehadiran, dasar dan keberhasilan. Jika dilaksanakan secara konsisten, tidak mustahil jurang keyakinan itu boleh dikecilkan secara berperingkat. Ambillah iktibar.

Penulis adalah Penganalisis politik dan perunding media

Video Terkini

Berita Berkaitan